[Ulasan] ASUS ROG Strix Scar III, Mesin Permainan Paling Wajar Dimiliki Comments Off on [Ulasan] ASUS ROG Strix Scar III, Mesin Permainan Paling Wajar Dimiliki

ASUS ROG tidak asing lagi di negara kita apabila jenama ini telah menjadi jenama komputer riba permainan nombor satu di Malaysia dengan 48 peratus perkongsian pasaran. Penawaran komputer riba ROG yang mengikut trend semasa menjadikan ia pilihan utama kebanyakan penggemar permainan.

Antara produk yang mendorong kepada pencapaian ini salah satunya adalah ASUS ROG Strix Scar III yang mana telah dilancarkan di pasaran tempatan pada penghujung bulan Mei dan mula dijual sekitar Jun 2019 serta merupakan varian paling atas selepas Strix G dan Strix Hero III.

[Ulasan] ROG Strix G531G Prestasi Berkuasa Dengan Rekaan Menonjol

Spesifikasi

  • Windows 10 Home
  • Intel® Core™ i7-9750H
  • 16GB DDR4 2666Mhz (sehingga 32GB)
  • PCIE NVME 512GB M.2 SSD (extra SATA slot: 1)
  • NVIDIA GeForce RTX 2070 with 8GB GDDRR6 VRAM
  • 15.6-inci FHD IPS LCD (1920 x 1080 piksel)
  • 240Hz, 3ms, Anti-glare
  • 66WHrs, 4S1P, 4-cell Li-ion Battery
  • 2 pembesar suara 4W Smart AMP technology
  • I/O Port:
    • 1x USB-C 3.2 (sokong DP function)
    • 3x USB-A 3.2
    • 1x HDMI 2.0b
    • 1x 3.5mm audio jack
    • 1x RJ-45 LAN jack
  • Intel® 802.11ac (2×2) Gigabit WiFi (RangeBoost technology), Bluetooth 5.0
  • Papan kekunci RGB, RGB untuk setiap kekunci, Hotkeys (volume up, volume down, mute, HyperFan, Armoury Crate)
  • Aura Sync, ROG Keystone Technology
  • 360 x 275 x 24.9 mm
  • 2.57 kg

Harga

Sebut tentang harga, Strix Scar III hadir dalam dua varian iaitu spesifikasi asas ditawarkan pada harga RM7099 dan varian diatasnya berharga RM7999. Kontra harga sebanyak RM900 memperlihatkan perbezaan saiz skrin, kadar segar semula, kad grafik, serta pakej pembelian.

Misalnya jika anda membeli varian seperti unit yang kami ulas sekarang ini, anda akan menerima paparan skrin sebesar 15.6-inci diikuti sokongan kadar segar semula setinggi 240Hz, kad grafik lebih baik, selain didatangkan bersama beg galas dan tetikus ROG Gladius II (bernilai RM359).

Reka Bentuk

Strix Scar III muncul dengan konsep reka bentuk yang menyamai Strix G, namun apa yang membezakannya ialah Scar III dihiasi logo ROG bercahaya RGB di bahagian luar manakala Strix G tidak. Perbezaan lain adalah pada bahagian papan kekunci yang mana jika anda lihat pada gambar, terdapat satu slot khas di sebelah kanan.

Bagi memudahkan anda mencari perbezaan antara Strix Scar III dengan Strix G selain itu adalah pada panel papan kekunci. Komputer riba ini tampak lebih agresif melalui kulit bercorak gentian karbon yang berwarna kusam. Apa yang baik pada kulit ini, ia lebih licin dan selesa untuk disentuh. Walaupun warnanya agak kusam, ia juga tidak mudah kotor dan tidak perlu dibersihkan dengan kerap.

Aspek reka bentuk tidak perlu kami terangkan lebih lanjut kerana ia telah kami tunjukkan dalam artikel sebelum ini, [Ulasan] ROG Strix G531G Prestasi Berkuasa Dengan Rekaan Menonjol.

Apa-apapun, adalah lebih baik kami tunjukkan kepada anda bagaimana rupa tetikus yang disertakan di dalam kotak.

ROG Gladius II

Tetikus ini direka khusus untuk permainan dan ia merupakan gandingan terbaik untuk mana-mana variasi ROG. Beberapa butang dedikasi telah dimuatkan di sekeliling tetikus antaranya scroll wheel, next/last page, dan dua butang DPI dengan fungsi berbeza.

Reka bentuk Gladius II cukup ergonomik dan berdasarkan pengalaman mengguna, ia selesa malah balutan getah di kiri dan kanan tetikus menawarkan cengkaman yang baik. Paling penting, butang left/right berada lebih tinggi berbanding tetikus biasa membuatkan jari kurang berasas penat ataupun kebas.

Menurut ROG, tetikus ini boleh diselenggara sekiranya suiz butang left/right bermasalah. Anda boleh menggantikan komponen tersebut dengan yang baharu menggunakan Omron D2F dan D2FC yang terdapat di pasaran. Walaubagaimanapun, tidak perlu khuatir kerana ROG mendakwa butang ini mampu digunakan sehingga 50 juta klik.

Gladius II tampak menonjol dengan lampu RGB-nya berbanding Gladius I. Sokongan Aura Sync turut membolehkan anda melaraskan pencahayaan dengan mudah menerusi butang dedikasi Armoury Crate pada papan kekunci.

Bercakap tentang DPI, dua butang ini terletak di ibu jari dan diantara butang left/right. Apa itu DPI? Ianya butang yang akan memperlahankan cursor. Misalnya dalam permainan tembak menembak, butang ini memudahkan anda membidik sasaran tanpa tersasar.

ROG Gladius II boleh dikustomasi daripada segi butang, prestasi, pencahayaan, penentukuran selain boleh dikemas kini.

Butang DPI di ibu jari adalah untuk kesan sementara manakala butang di di bawah scroll wheel adalah untuk kesan kekal. Butang kedua DPI ini nampaknya lebih sesuai untuk kerja-kerja produktviti seperti melakar dan mereka bentuk (cth: AutoCAD, SolidWork, dll).

Terakhir sekali, Gladius II adalah tetikus permainan yang menggunakan wayar. Tidak dinafikan tetikus dengan wayar ini begitu responsif berbanding tetikus tanpa wayar. Ia dapat menghindarkan gangguan frekuensi ketika bermain.

Keystone

Keystone merupakan kunci istimewa yang didatangkan bersama Strix Scar III. Fungsinya adalah untuk menyimpan konfigurasi pengguna dalam satu kunci kecil yang mudah dibawa. Sebaik Keystone ini dicucuk pada slot khas, segala kustomasi yang dibuat pada komputer sebelumnya akan dipindahkan terus ke komputer kedua.

Sebaik dicucuk, tetingkap Armoury Crate akan dibuka untuk mengesahkan kehadiran Keystone. Namun ciri ini hanya boleh digunakan pada variasi komputer ROG yang memiliki sokongan Keystone sahaja. Selain daripada menyimpan tetapan peribadi anda, Keystone juga berfungsi sebagai penyimpan data berbentuk pautan maya yang selamat serta privasi.

Ruang simpanan yang disulitkan dapat menawarkan keselamatan tambahan pada data peribadi, program, dan fail yang anda mahu rahsiakan. Ia juga boleh dipautkan ke pemacu Keystone lain untuk berkongsi akses atau jadikan sebagai kunci kedua anda.

Audio

Bab audio, Strix Scar III didatangkan dengan dua buah pembesar suara yang kuat dan lantang. Kami sempat membandingkannya dengan ASUS VivoBook S15 untuk mengetahui sejauh mana kualiti audio pada komputer riba permainan ini.

Selepas memainkan beberapa buah lagu di YouTube, perbezaan audio dapat didengar dengan jelas. Kualitinya cukup ketara dan boleh dikatakan berlipat kali ganda lebih baik berbanding lawannya. Bunyi bes yang padu menjadikan sesiapa yang mendengarnya menjadi teruja.

Beberapa tetapan boleh dibuat pada sistem audio

Ini kerana Scar III ini memiliki sistem amplifier pintar pada setiap satu pembesar suaranya. Maka logiklah untuk kami katakan kualiti audionya antara yang terbaik pernah kami dengar dari sebuah komputer riba.

Baca: [Ulasan] ASUS VivoBook S15 – Komputer Riba 15.6″ Dengan Bezel Nipis Dan Rekaan Engsel Unik

Prestasi

ROG Strix Scar III boleh dikatakan komputer riba permainan yang berkuasa setaraf dengan komputer desktop. Penanda aras menunjukkan sistem dapat melaksanakan tugas membaca dan menulis dengan baik dengan memperoleh skor yang tinggi. Tidak diragukan lagi RTX 2070 dan Intel Core Generasi ke-9 adalah gandingan yang terbaik untuk sebuah mesin permainan mobiliti masa kini.

PCMARK 10

Daripada segi hayat bateri, sememangnya ia bukanlah sebuah komputer yang jimat tenaga. Namun begitu, anda diberi ketenangan minda kerana adapter AC/DC 240W ini boleh mengecas bateri semula dengan pantas pada masa sama memberikan prestasi yang optimum semasa bermain permainan.

CrystalDiskMark

Tanpa kuasa dari soket, penggunaan selama sejam mendapati bateri akan menurun sehingga hampir 40%. Ini tidak termasuk melancarkan permainan bergrafik tinggi seperti Destiny 2 yang mana memerlukan kipas penyejuk berpusing pada kelajuan maksima.

Kesimpulan

ROG Strix Scar III menawarkan pengalaman permainan yang cukup imersif, kad grafik dan pemproses yang canggih tidak dinafikan dapat memainkan permainan dengan sangat lancar dan realistik. Walaupun komputer riba ini mengeluarkan bunyi bising semasa bermain permainan, sistem penyejuknya terbukti berkesan apabila dapat membebaskan haba dengan baik.

Permukaan papan kekunci yang sentiasa dingin membuatkan kami berasa selesa untuk meneruskan permainan. Kedudukan butang pada papan kekunci ergonomik juga tidak menghalang kami membuat kerja-kerja menaip malahan, pencahayaan RGB pula meningkatkan lagi keterujaan semasa menggunakannya.

Pada pandangan kami, skrin komputer riba ini hampir menyamai skrin yang ada pada telefon pintar yang mana lebih mesra pada mata berbanding skrin komputer riba yang kami miliki di pejabat. Ternyata ROG bukan sahaja berjaya meletakkan sokongan kadar segar semula tinggi pada komputer ini, malahan mereka juga berjaya menghasilkan panel paparan yang terbaik buat para pengguna.

Kelebihan

  • Paparan 240Hz yang tidak ada pada kebanyakan komputer riba di pasaran.
  • Sistem audio yang jauh lebih baik berbanding komputer riba biasa.
  • Reka bentuk dengan keunikan tersendiri.
  • Konfigurasi RGB yang terperinci.
  • Sistem penyejukan yang baik.
  • Permukaan panel yang sukar meninggalkan kesan cap jari.
  • Butang pintas di atas papan kekunci QWERTY.
  • Pakej pembelian didatangkan dengan tetikus ROG.

Kekurangan

  • Bunyi kipas yang kuat.
  • Hayat bateri yang pendek.
  • Pad sentuh yang kecil.
  • Berat melebihi 2 kilogram.
  • Panel skrin tidak boleh buka dengan rata (180º).
  • Tiada pad nombor fizikal.
Previous ArticleNext Article

Send this to a friend