[Ulasan] ASUS ROG Phone II, Miliki Semua Benda Yang Pemain Mahu Comments Off on [Ulasan] ASUS ROG Phone II, Miliki Semua Benda Yang Pemain Mahu 162

ASUS ROG Phone II (atau Phone 2) telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia baru-baru ini. Ia ditawarkan dalam dua varian iaitu 512GB dan 1TB masing-masing pada harga RM3499 dan RM4499 sebuah. Peranti generasi kedua ini telah menjalani perubahan dari segi luar dan dalam untuk memberikan kepuasan sepenuhnya kepada pengguna khusus dalam permainan mudah alih.

Spesifikasi

  • 6.59″ AMOLED FHD+ 2340 x 1080p
  • 120Hz/1ms 10-bit HDR, Corning Gorilla Glass 6, Pengimbas cap jari bawah skrin
  • Qualcomm Snapdragon 855+ (7nm)
  • Qualcomm Adreno 640 (700Mhz)
  • ROG UI (berasaskan Android 9)
  • 12GB RAM LPDDR4X + 512GB / 1TB UFS 3.0
  • Kamera belakang: 48MP f1/.8 Sony IMX586+ 13MP f/2.4 ultralebar 125°
  • Kamera depan: 24MP f/2.0
  • 6000mAh ROG Hypercharge (Quick Charge 4.0 30W)
  •  2×2 MIMO WiFi, USB-C, Bluetooth 5.0, NFC
  • Dwi-speaker DTS:X, DTS Headphone X, Air Trigger
  • 171 x 77.6 x 9.5mm
  • 240g

Pakej Pembelian

Pembelian ROG Phone II didatangkan dengan sarung pelindung, kipas AeroActive Cooler II, palam kuasa 30W, kabel braided USB-C, penutup port, dan pendiri (lekat pada kipas). Selain itu, kotak pembungkusan peranti ini juga direka eksklusif serta unik. Berbeza pada kali ini, kotak ROG Phone II perlu ditarik keluar. Ya, nampak simple, tapi ada juga yang masih terkial-kial untuk buka kotak ini.

Rupa Fizikal

ROG Phone II hadir dengan rekaan yang tersendiri melalui sistem aerodinamik untuk penyejukan pada bahagian panel belakang. Tidak dinafikan, agak keliru untuk membezakan ROG Phone generasi pertama dan kedua, namun sebenarnya ada kelainan pada kedua-dua peranti. ROG Phone II memiliki dua LED flash bersebelahan dengan modul kamera selain tiada lagi pengimbas cap jari tradisional di belakang. Ia juga memiliki tubuh badan yang lebih memanjang disebabkan nisbah skrin telah ditukar dari 18:9 ke 19.5:9. Untuk pencahayaan, Aura RGB masih dikekalkan bersama fungsi nyalaan yang boleh dikustomasi.

Tubuh peranti ini dibina daripada bahan berasaskan logam dan ia sebenarnya membebankan penulis semasa bermain lebih-lebih lagi dalam keadaan berbaring. Tangan akan berasa lenguh apabila bermain untuk tempoh masa yang panjang malah ini belum termasuk lagi kipas yang disertakan dalam pakej pembelian. Setelah kipas dan sarung pelindung dipakai, berat peranti semakin bertambah dan ia cukup membebankan penulis.

Paparan Lebih Tepat

Mengapa paparan ROG Phone II dikatakan lebih tepat adalah kerana ASUS telah membuat tingkat taraf paling banyak pada paparan terbaru ini. Ia menyokong masa respon serendah 1ms (milisaat) iaitu masa respon paling cepat pernah dicapai untuk paparan berteknologi tinggi pada masa kini. Ia juga menyokong kadar segar semula 90Hz dan paling tinggi 120Hz untuk kelancaran pergerakan pada skrin. Sokongan ini bukan sahaja boleh digunakan pada permainan tetapi boleh diaktifkan sepanjang masa. Lebih tinggi kadar segar semula ditetapkan, lebih banyak kuasa bateri diperlukan.

Pengalaman seumpama ini kebiasaanya hanya terdapat pada monitor-monitor permainan bertahap sederhana di pasaran. Selain itu, teknologi paparan AMOLED yang digunakan pula turut menawarkan sokongan HDR 10-bit, DCI-P3, sRGB, dan beberapa lagi untuk ketajaman imej, kejituan warna, dan gamut warna yang lebih tepat dan terperinci.

Permukaan Skrin Paling Lasak

Melihat pada rupa fizikal ROG Phone II, kita boleh menganggap ia sebuah telefon tahan lasak. Walaupun tiada sokongan IP rating tetapi permukaan skrin ini adalah yang paling lasak berbanding telefon pintar permainan dari jenama lain. Ia dilapisi Corning Gorilla Glass 6, panel perlindungan terkini yang telah terbukti tahan lasak. Sepanjang ulasan, penulis tidak menemui sebarang kesan calar walaupun jari tangan sering menggesek kuat pada skrin.

Sistem Penyejukan 5 Lapis

Dalam majlis pelancaran ROG Phone II yang lalu, Ketua Pereka ROG Phone turut memberitahu bahawa telefon pintar ini dibina dengan cukup teliti. Pasukannya telah berjaya membina sistem penyejukan terbaru menerusi rekaan lima lapisan penyejukan. Lapisan ini bermula dari papan induk melintasi perkakasan dalaman sehinggalah ke bahagian permukaan panel belakang. Seterusnya, ia disokong pula dengan kipas luaran (didatangkan sekali dalam kotak) melalui AeroActive Cooler II yang membolehkan haba dari peranti disedut keluar pada masa sama menarik masuk udara untuk disalurkan ke bahagian sisi kipas bagi mendinginkan jari di kedua-dua belah tangan.

Telefon Gaming Pertama Dengan Snapdragon 855+

Mod biasa (kiri) dibandingkan dengan mod prestasi (X Mode)

ASUS mendakwa ROG Phone II mereka adalah telefon pintar pertama di dunia yang menggunakan Snapdragon 855+. Buat masa ini, hanya ROG Phone II ditawarkan secara rasmi untuk para pengguna di negara ini. Keupayaan cipset ini juga tidak dinafikan adalah yang terbaik untuk peranti Android masa kini. Prestasi GPU dalam cipset ini juga telah ditingkatkan kepada 15% berbanding sistem GPU pada Snapdragon 855. Penulis juga tidak lupa untuk mencatatkan skor penanda aras ROG Phone II ini. Satu dengan mod biasa dan satu lagi dengan mod prestasi (X Mode). Ternyata mod prestasi ini dapat melonjakkan lagi sistem operasi peranti ke tahap yang tertinggi.

Bateri Bersaiz Gergasi

ROG Phone II memiliki tubuh badan seberat 240g sekaligus menjadikan ia telefon pintar yang paling berat pernah kami pegang untuk tahun 2019. Walaupun beratnya agak membebankan, penulis tidak begitu merungut apabila membawanya. Ini kerana bateri yang dimuatkan pada peranti sudah cukup besar iaitu berkapasiti 6000mAh. Dengan adanya bateri sebesar ini, powerbank tidak lagi diperlukan semasa keluar dari rumah. Daripada segi pengecasan, peranti ini menyokong pengecasan pantas 30W melalui teknologi Quick Charge 4.0 dan Power Delivery (PD charging).

SOT atau screen on time pada peranti ini ialah sekitar 60 minit pada bateri di tahap 74% selepas pengecasan penuh. Boleh dikatakan ROG Phone II menawarkan ketahanan bateri yang cukup lama jika mahu dibandingkan dengan ROG generasi pertama.

Ujian Pengecasan

Menurut ASUS, untuk memenuhkan kapasiti 4000mAh, pengecasan hanya mengambil masa sekitar 58 minit sahaja. Bagaimanapun bagi penulis, ujian sebenar perlu dilakukan untuk melihat sendiri kehebatan teknologi ini. Setelah ujian dilakukan, penulis mendapati sistem pengecasan ini memang benar-benar pantas kerana bateri yang kosong boleh diisi hanya dalam masa kurang dari 1 jam 40 minit sahaja. Bayangkan, masa mengecas ini kebiasaanya hanya boleh diperolehi pada peranti dengan bateri 4000mAh. Tetapi ini 6000mAh!

Fungsi Armoury Crate

Armoury Crate ialah pusat tetapan di mana pengguna boleh membuat segala tetapan pada permainan. Armoury Crate mengambil masa yang lama untuk dieksplorasi. Melaluinya, pengguna boleh tetapkan kadar segar semula atau memasang paparan yang kedua menggunakan TwinView Dock. Di sini juga, ciri AirTriggers boleh dihidupkan membolehkan pengguna memicit bahagian kerangka untuk dijadikan sebagai butang kawalan tambahan semasa bermain. Bagi yang membeli alat kawalan tambahan seperti Kunai GamePad, di Armoury Crate jugalah tetapan perlu dilakukan.

This slideshow requires JavaScript.

Disamping itu, akses kepada Armoury Crate juga membolehkan pengguna melaraskan sensitiviti sentuhan pada skrin, audio, atau mengawal CPU, suhu, dan rangkaian. Tetapan yang begitu banyak ini juga sangat sesuai kepada pemain yang mahukan permainan paling optimum.

Game Genie

This slideshow requires JavaScript.

Fungsi ini boleh ditarik keluar dari penjuru skrin. Game Genie merupakan ciri pintas yang membolehkan pengguna menyekat notifikasi, mengunci keterangan skrin, memantau kadar segar semula skrin, suhu pemproses, kelajuan pemproses, dan platfom untuk pengguna membuat penstriman langsung. Pengguna juga boleh menambat akaun YouTube bagi memudahkan penstriman dilakukan apabila sedang bermain.

Video: ASUS ROG Phone II – Mod Permainan, Ujian PUBG Mobile

Hasil Gambar

This slideshow requires JavaScript.

Kesimpulan

ASUS telah membawa perubahan besar dalam siri ROG Phone kali ini. Memorinya kini lebih besar malah storan yang mencapai 1TB bukan lagi alasan untuk pengguna yang gemar permainan untuk tidak memilikinya. Bateri sebesar 6000mAh sekali pandang nampak seperti lambat untuk dicas penuh, tetapi ternyata dakwaan itu tidak benar kerana waktu pengecasan peranti ini hampir sama dengan peranti mercu lain di pasaran.

Video: Buka Kotak ASUS ROG Phone II

Daripada segi harga, nak diikutkan ROG Phone II lebih murah sebenarnya jika nak dibandingkan dengan ROG Phone pada mula-mula ia dijual tahun lalu. Kelengkapan aksesori yang pelbagai menjadikan ROG Phone II telefon yang paling versatil sekaligus boleh menggantikan fungsi komputer riba permainan. Jika tanya kepada penulis sama ada ingin membeli, ROG Phone II? Penulis boleh katakan ia sebuah telefon yang baik untuk dimiliki. Walaubagaimanapun, jika fotografi yang diutamakan, ia bukanlah peranti yang perlu anda miliki.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend