[Ulasan] Acer Predator Triton 500 – Sokong GeForce RTX Dalam Rekaan Nipis Dan Ringan Comments Off on [Ulasan] Acer Predator Triton 500 – Sokong GeForce RTX Dalam Rekaan Nipis Dan Ringan 241

Apabila anda inginkan sebuah komputer riba yang memfokuskan aspek permainan yang berkuasa, antara ciri utama yang perlu anda korbankan sudah tentunya kerangka yang besar dan juga berat yang mencapai lebih daripada 2kg. Ternyata cabara itu berjaya diatasi oleh Acer dengan penawaran Acer Predator Triton 500 yang bukan sahaja menampilkan rekaan yang kompak, tetapi dalam masa yang sama ia turut menjanjikan prestasi grafik yang baik dengan sokongan kad grafik GeForce RTX 2060.

Spesifikasi Unit Ulasan:

  • Windows 10 Home
  • Intel Core i5-9300H @ 2.40GHz (8th Gen)
  • NVIDIA GeForce RTX 2060 (6GB GDDR6)
  • 15.6 inci ComfyView IPS LCD FHD (1920 x 1080 piksel)
  • LED Backlit, 144Hz, 3ms
  • 512GB NVMe SSD (2x 256GB)
  • 16GB DDR4 2,666MHz (sokong dua slot)
  • 4-cell Lithium Polymer 5400 mAh
  • Output pengecasan 180W
  • 1x audio jack, 1x microfon jack, 1x HDMI 2.0, 3x USB Type-A 3.1, 1x Gigabit LAN, 1x DC in, 1x mini DisplayPort 1.4, 1x Thunderbolt 3
  • HD webcam (1MP, 720p)
  • Killer Wireless AC 1550i (WiFi 802.11ac), Bluetooth 5.0
  • Papan kekunci dengan tiga zon RGB
  • Stereo speaker
  • 358.5 x 255 x 17.9mm
  • 2kg

Varian, Harga dan Ketersediaan

Acer Predator Triton 500 untuk pasaran tempatan telah ditawarkan dalam tiga varian berbeza seperti berikut:

  • Predator Triton 500 (PT515-51-71KN) – RM8,699
    • Intel Core i7-9750H + GeForce RTX 2070 (8GB)
  • Predator Triton 500 (PT515-51-73YN) – RM7,599
    • Intel Core i7-9750H + GeForce RTX 2060 (6GB)
  • Predator Triton 500 (PT515-51-52FF) – RM6,999
    • Intel Core i5-9300H + GeForce RTX 2060 (6GB)

Ketiga-tiga varian ini sudahpun boleh dibeli melalui pengedar Acer yang sah di seluruh negara dan anda boleh mencari lokasi kedai berdekatan di www.acer.com/ac/en/MY/content/wheretobuy. Anda juga boleh membelinya secara atas talian secara eksklusif di Lazada Acer Official Store.

Pakej Pembelian

Kotak pembungkusan Acer Predator Triton 500 hadir dalam saiz yang agak nipis tetapi dalam masa yang sama memiliki saiz kotak yang agak panjang. Apabila kotak dibuka, anda boleh melihat bahawa terdapat kotak keras kedua yang menempatkan Predator Triton 500. Manakala terdapat satu lagi kotak yang menempatkan adapter pengecas dengan output 180W (19.5V/9.23A).

Penampilan Fizikal

Rekaan

Apabila pertama kali kami mengeluarkan Acer Predator Triton 500 ini dari kotak, perkara pertama yang bermain di fikiran adalah rekaan yang minimalis. Tidak seperti sesetengah komputer riba gaming lain yang mewah dengan lampu RGB sebagaimana yang dimiliki oleh ROG Strix G yang telah kami ulas sebelum ini, Predator Triton 500 kelihatan lebih ringkas tetapi praktikal.

Kami sangat tertarik dengan sentuhan warna biru gelap yang dikenali sebagai Abyssal Black Metal – sekaligus menyaksikan sedikit kelainan pada komputer riba ini berbanding kebanyakan pesaingnya yang hadir dengan warna hitam kusam tipikal. Rekaan bahagian bucu skrin yang menerima potongan unik ini juga turut membantu menyerlahkan penampilannya.

Walaupun hadir dalam rekaan kerangka yang nipis dan ringan, Predator Triton 500 masih mampu menjanjikan ketahanan kerangka yang lebih baik berbanding dengan sesetengah komputer riba gaming yang lain di pasaran. Ini kerana bahagian belakang skrin, papan kekunci dan juga bahagian bawah kerangkanya diperbuat daripada aloi aluminium yang menjanjikan sentuhan yang lebih licin dan premium.

Skrin

Selain spesifikasi yang berkuasa, antara kriteria utama yang sering dititik beratkan oleh pengguna pada komputer riba gaming adalah sokongan skrin yang berkualiti. Ternyata Predator Triton 500 mampu menjanjikan pengalaman terbaik dengan sokongan paparan skrin IPS LCD berukuran 15.6 inci FHD, kadar segar semula 144Hz, dan juga 3ms masa respons.

Paparan skrin pada keterangan maksimum dalam persekitaran di dalam bilik dengan pencahayaan terang.
Panel skrin kusam (matte) memastikan efek pantulan cahaya yang minimum dan ia kelihatan memuaskan.

Panel skrin dengan saiz bezel yang nipis juga menjadi salah satu daripada keistimewaannya kerana ia menyaksikan sokongan nisbah skrin-ke-kerangka mencecah sehingga 81.3%. Walaupun tampil dengan saiz bezel yang nipis, Acer dilihat masih mampu memuatkan kamera web HD beresolusi 1MP pada bahagian atas skrin.

Pada pendapat kami, rekaan engsel yang menyambungkan antara panel skrin dengan bahagian kerangkanya bukanlah yang terbaik atau menarik perhatian. Ini kerana ia kelihatan biasa-biasa sahaja dan bahagian sambungan plastik mungkin kurang boleh dipersoalkan tahap kekuatannya.

Tetapi kekurangan rekaan engsel itu mungkin boleh diselamatkan dengan kemampuan panel skrin Predator Triton 500 yang boleh dibuka sehingga 180 darjah. Ini secara tidak langsung mampu meminimumkan kerosakan pada engsel kerana anda tidak perlu risau tekanan berlebihan apabila panel skrin ditolak.

Papan Kekunci

Predator Triton 500 menyokong papan kekunci dengan menggunakan font eksklusif ‘Predator’ dengan sentuhan butang ‘WASD’ yang lut sinar pada bahagian bawahnya. Sentuhan yang sama turut dapat dilihat pada butang empat arah (Up, Down, Left, Right), dan juga butang dedikasi ‘PredatorSense’.

Pada bahagian atas papan kekunci, anda boleh menemui butang ‘TURBO’ yang boleh diaktifkan dengan mudah bagi memastikan prestasi GPU digunakan pada frekuensi yang paling maksimum. Apabila mod ‘TURBO’ ini diaktifkan, kipas GPU akan dioperasikan pada kelajuan sehingga dua kali ganda iaitu hingga mencecah 6,642 RPM, dan kipas CPU pula akan dioperasikan pada kelajuan 4,726 RPM. Ini secara tidak langsung menghasilkan bunyi kipas yang agak bising.

PredatorSense – Fan Speed
PredatorSense – GPU Core Clock yang boleh dilaras pada tiga tahap berbeza.

Satu lagi butang dedikasi khas untuk gaming yang boleh ditemui pada komputer riba ini adalah butang ‘PredatorSense’ yang terletak pada bahagian kanan papan kekunci. Apabila perisian PredatorSense diaktifkan, anda boleh mengawal pelbagai fungsi seperti nyalaan lampu LED RGB, kawalan kipas, prestasi GPU, dan banyak lagi.

Kedudukan butang PredatorSense yang agak menjengkelkan.

Sungguhpun butang PredatorSense ini menjanjikan akses pantas dan mudah untuk anda mengawal pelbagai fungsi pada komputer riba ini, kedudukan butang dedikasi yang terletak bersebelahan butang backspace sememangnya sangat tidak praktikal. Ini kerana kami sering mengaktifkan perisian tersebut tanpa sengaja, setiap kali mahu menekan butang backspace dan ia sememangnya sangat menjengkelkan.

Terdapat empat tahap keterangan nyalaan RGB boleh anda pilih.
Pilihan nyalaan lampu RGB jenis Dynamic.
Pilihan nyalaan lampu RGB jenis Static dengan keupayaan pilihan warna berbeza untuk ketiga-tiga zon papan kekunci.

Nyalaan lampu LED RGB pada papan kekunci Predator Triton 500 ini bukanlah didatangkan secara berasingan bagi setiap butang, tetapi sebaliknya ia terbahagi kepada tiga zon berbeza iaitu kiri, tengah dan kanan. Terdapat dua jenis nyalaan RGB boleh dipilih iaitu mod statik yang mana anda boleh menentukan warna RGB yang berasingan untuk ketiga-tiga zon, ataupun mod dinamik yang hadir dengan 9 efek berbeza.

Port I/O

Bahagian sisi kiri Predator Triton 500 telah tersedia dengan port DC in dengan keupayaan pengecasan berkelajuan 180W,  port Gigabit LAN, satu port USB Type-A 3.1, port HDMI 2.0, bicu mikrofon, dan juga bicu audio. Pada bahagian ini turut tersedia dengan satu ruang pengudaraan yang agak besar dengan sentuhan gril berwarna biru.

Manakala pada sisi kanannya pula turut tersedia dengan ruang pengudaraan yang sama seperti di sisi kiri kerangka. Pada bahagian ini turut menempatkan dua port USB Type-A 3.1, satu DisplayPort mini, satu port USB Type-C dengan sokongan  Thunderbolt 3. Bersebelahannya pula hadir dengan dua lampu LED status.

Ruang Pengudaraan

Bagi memastikan sistem penyejukan yang lebih efisien, Predator Triton 500 tersedia dengan ruang pengudaraan dengan sentuhan gril berwarna biru muda yang agak low-profile berbanding warna merah yang merupakan warna tipikal digunakan pada kebanyakan komputer riba gaming. Sungguhpun begitu, ia masih mampu menarik perhatian kerana warna yang sama turut digunakan pada logo ‘Predator’.

Rekaan gril unik dengan sentuhan warna biru.

Berbeza dengan rekaan ruang pengudaraan pada bahagian belakang dan atas, Predator Triton 500 tersedia dengan sentuhan rekaan lubang untuk ruang pengudaraan yang lebih ringkas pada bahagian bawah kerangkanya. Tugasan pembebasan udara panas ini telah digalas oleh teknologi AeroBlade 3D generasi ke-4 yang mampu memastikan pengaliran udara lebih maksimum, dengan bunyi kipas yang minimum.

Jika diperhatikan kehadiran pad getah pada bahagian ini memberi sedikit ruang untuk pelepasan udara panas kerana permukaan bahagian bawah komputer riba tidak diletakkan rata di atas permukaan meja. Namun begitu, penggunaan pad getah keras ini telah menyebabkan komputer riba sedikit mudah berganjak berbanding penggunaan pad getah jenis lembut.

Speaker Stereo

Sebagaimana kebanyakan komputer riba lain di pasaran, kedudukan speaker stereo pada Predator Triton 500 telah ditempatkan pada bahagian bawah kiri dan kanan kerangkanya. Berdasarkan pengalaman kami ketika menggunakan komputer riba ini, kualiti bunyi stereo dapat didengari dengan sangat baik. Namun begitu, efek bes yang dihasilkan bukanlah yang terbaik jika dibandingkan dengan sesetengah model yang pernah kami cuba.

Waves MaxxAudio
Waves Nx

Sungguhpun begitu, penyediaan teknologi audio Waves MaxxAudio pada Predator sememangnya mampu membantu anda untuk menala kualiti audio iaitu kekuatan bes dan juga keperincian bunyi bergantung kepada citarasa masing-masing. Manakala Waves NX pula merupakan talaan khusus apabila anda menggunakan fon kepala/telinga.

Prestasi

Predator Triton 500 menjanjikan pengalaman permainan dengan sambungan Internet yang telah dioptimumkan bagi mengurangkan
latency pada rangkaian. Melalui kombinasi antara cip Killer Ethernet E3000, Killer Wireless-AC 1550, dan juga perisian Killer Control Center 2.0, sambungan rangkaian komputer riba ini akan sentiasa dioptimumkan dan turut memastikan ping yang lebih rendah.

Ujian prestasi GPU – 3DMark Time Spy
Ujian prestasi CPU – PCMark 10
Ujian prestasi kepantasan storan – CrystalDiskMark

*Perhatian: Unit ulasan yang kami terima ini telah dikuasakan dengan CPU intel Core i5-8300H @ 2.30GHz dengan GPU RTX 2060.

Dengan sokongan bateri 4-cell berkapasiti 5400 mAh, ketahanan bateri Predator Triton 500 boleh dikatakan agak baik untuk sebuah komputer riba gaming. Berdasarkan percubaan kami, baterinya boleh bertahan sekitar 5 jam untuk aktiviti biasa termasuklah menonton YouTube, mendengar radio online, menyiapkan artikel dan juga bermain Counter Strike: Global Offensive sekitar 30 minit.

Proses pengecasan yang diambil oleh Predator Triton 500 juga boleh dibuat dengan sangat cepat melalui sokongan adapter pengecas yang menjanjikan output pengecasan 180W (19.5V/9.23A). Tidak dinafikan bahawa ia bukanlah pengecas yang paling laju di pasaran, tetapi menariknya ia menawarkan saiz adapter yang agak nipis.

Kesimpulan

Acer Predator Triton 500 boleh dianggap sebagai salah satu daripada komputer riba yang menjanjikan pakej lengkap untuk anda yang mementingkan prestasi berkuasa, dan dalam masa yang sama hadir dalam kerangka yang kompak dan ringan. Tidak dinafikan bahawa kami tidak begitu gemar untuk membawa komputer riba gaming ke mana-mana, tetapi ia tidak menjadi isu besar dengan Predator Triton 500.

Selain daripada aspek kerangka yang ringan dan nipis, Predator Triton 500 masih mampu menjanjikan sokongan perkakasan berprestasi tinggi dengan pemproses tertinggi sehingga Intel Core i7-9750H, dan juga kad grafik sehingga GeFore RTX 2070. Apa yang lebih penting, harga jualannya juga masih boleh dikatakan masih berbaloi untuk anda miliki di pasaran buat masa ini.

Kelebihan:

  • Hadir dalam rekaan yang ringan dan nipis, malah dalam masa yang sama ia menjanjikan kerangka premium yang diperbuat daripada logam.
  • Prestasi CPU yang sangat baik dengan sokongan CPU sehingga Intel Core i7-9750H dan GPU sehingga GeForce RTX 2070.
  • Paparan skrin 144Hz, 3ms masa respon, dan paparan G-SYNC menjanjikan pengalaman bermain yang jauh lebih baik.
  • Ketahanan bateri yang agak baik bagi sebuah komputer riba gaming.
  • Saiz bezel yang nipis dengan bukaan paparan skrin sehingga 180 darjah.

Kekurangan:

  • Permukaan bahagian penutup terasa agak lembut dan mudah dilentur setiap kali paparan skrin dibuka atau ditutup.
  • Hanya menyokong tiga zon RGB pada papan kekunci dan bukannya untuk setiap butang.
  • Kedudukan butang ‘PredatorSense’ sememangnya sangat menjengkelkan kerana ia sering diaktifkan tanpa disengajakan.
  • Bunyi kipas yang agak kuat apabila butang ‘TURBO’ diaktifkan.
  • Kualiti audio stereo yang sederhana.
Previous ArticleNext Article

Send this to a friend