
U Mobile baru-baru ini telah menyumbangkan sejumlah 100 telefon bimbit baharu dengan 100 SIM pascabayar GX68 kepada dua hospital utama yang bertungkus lumus melawan COVID-19. Sumbangan ini telah diserahkan kepada wakil-wakil dari Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Hospital Sungai Buloh semalam.
Kedua-dua hospital ini akan menggunakan telefon bimbit dan SIM dengan data berkelajuan tinggi serta panggilan tanpa had ini untuk menghubungi pesakit di bawah siasatan (PUI) serta menjalankan pengesanan hubungan.
Selain itu, U Mobile juga telah menjalinkan kerjasama dengan ZTE dan edotco untuk membina tapak rangkaian sementara berdekatan dengan Hospital Sungai Buloh untuk meningkatkan liputan di sekitar kawasan tersebut.

Sebagai usaha untuk membendung penularan wabak COVID-19, U Mobile sebelum ini turut menyumbangkan RM1 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Rangkaian Tindak Balas Bencana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) atau GDRN.
Untuk maklumat lanjut mengenai pelbagai inisiatif COVID-19 U Mobile, sila layari www.u.com.my.