Terminal Feri Antarabangsa Labuan Dilengkapi Pengimbas Haba Canggih Comments Off on Terminal Feri Antarabangsa Labuan Dilengkapi Pengimbas Haba Canggih

Bagi mengekang penularan wabak penyakit berjangkit, Malaysia telah menempatkan sejumlah pasukan kesihatan di setiap pintu masuk negara termasuklah dari pintu laut.

Terkini, Jabatan Kesihatan Labuan telah memasang sebuah pengimbas haba di pintu masuk utama Terminal Feri Antarabangsa Labuan untuk mengesan penumpang yang mempunyai simptom COVID-19 atau sebarang penyakit berjangkit.

Pengimbas berteknologi canggih itu dikatakan mampu mengesan sejauh 20 meter, merekod, menganalisis, dan menghasilkan imej corak suhu permukaan kulit (haba badan/radang) sebagai gambaran fisiologi manusia yang normal atau tidak.

Pengarahnya, Dr Ismuni Bohari berkata terminal itu dipilih kerana peranannya sebagai pintu masuk utama pelepasan pelawat tempatan dan luar negara dari Kota Kinabalu dan Brunei.

Gambar: Bernama

Mesin ini dipasang bertujuan untuk memberi sokongan kepada kakitangan perubatan dalam menjalankan saringan yang lebih berkesan selain dapat mengurangkan risiko.

Mesin ini dikatakan dapat menggantikan pengimbas termometer bergerak yang sama seperti digunakan di Lapangan Terbang Labuan. Langkah pencegahan ini bagaimanapun telah mendapat kerjasama daripada agensi penguatkuasaan dan keselamatan negara seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Gerakan Marin, dan Jabatan Laut Malaysia.

Terdahulu, kapal persiaran Diamond Princess yang berlabuh di pelabuhan Yokohama kelmarin telah dikesan menerima ancaman COVID-19 apabila 355 daripada penumpangnya dikesan mempunyai simptom koronavirus. Sementara itu, Hong Kong pula dilaporkan berusaha untuk membawa pulang 330 rakyatnya yang dikuarintin di kapal tersebut melalui penerbangan khas.

sumber

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend