Telefon Pintar Gaming Xiaomi Black Shark Kini Dilancarkan Secara Rasmi – Snapdragon 845 Dan RAM 8GB Comments Off on Telefon Pintar Gaming Xiaomi Black Shark Kini Dilancarkan Secara Rasmi – Snapdragon 845 Dan RAM 8GB

Seperti yang kami telah kongsikan sebelum ini, Xiaomi telah disahkan akan hadir dengan telefon pintar gaming keluarannya yang pertama iaitu model Black Shark.

Kini model itu telah dilancarkan secara rasmi di China dengan sokongan spesifikasi berprestasi tinggi yang sesuai untuk pengguna yang gemarkan aktiviti permainan mudah alih. Xiaomi Black Shark dikuasakan dengan pemproses Qualcomm Snapdragon 845 berkelajuan 2.8 GHz, pilihan storan UFS 2.1 yang lebih pantas iaitu 64GB + RAM 6GB atau 128GB + RAM 8GB, dan juga bateri sebesar 4000 mAh dengan teknologi pengecasan pantas Quick Charge 3.0.

Xiaomi Black Shark yang dilengkapi dengan paparan IPS LCD berukuran 5.99 inci ini menyokong nisbah paparan 18:9 dengan resolusi 2160 x 1080 piksel. Jika Razer Phone berbangga dengan paparan skrin dengan kadar segar semula (refresh rate) mencecah sehingga 120Hz, Xiaomi mahupun Black Shark tidak pula mendedahkan kadar segar semula paparan skrin untuk peranti keluaran mereka ini.

Xiaomi Black Shark – Polar Night

Apa yang lebih istimewanya, pengalaman bermain pada Xiaomi Black Shark tidak akan berhadapan dengan isu overheating kerana ia telah dilengkapi dengan ‘sistem penyejukan cecair’ yang mampu menurunkan suhu CPU sekitar 8°C. Ini secara tidak langsung mampu memastikan kelancaran permainan dengan lebih baik. Malah penyediaan butang ‘SHARK’ berupaya mengaktifkan mod prestasi tinggi ketika bermain.

Xiaomi Black Shark – Sky Gray

Black Shark turut menyokong dwi kamera utama beresolusi 12 Megapiksel + 20 Megapiksel dengan sokongan aperture f/1.75. Manakala kamera swafotonya pula dilengkapi lensa beresolusi 20 Megapiksel dengan aperture f/2.2. Berbeza dengan peranti Xiaomi yang lain, Black Shark tidak menggunakan antaramuka MIUI sebaliknya menyokong antaramuka dari Black Shark sendiri iaitu JOY UI. Memandangkan ia tidak disediakan dengan port 3.5mm audio jack, anda perlu menyambungkannya ke fon telinga tanpa wayar ataupun memainkan audio melalui satu speaker yang terletak di bahagian bawah kerangkanya.

Prestasi ketika bermain tidak akan terganggu dengan isu overheating kerana ia dilengkapi sistem penyejukan cecair.

Buat masa ini Xiaomi Black Shark akan hanya dijual di China sahaja melalui pra-tempah di JD.com bermula dari 20 April 2018 nanti. Terdapat dua warna pilihan ditawarkan iaitu Polar Night dan Sky Gray. Black Shark model 64G + RAM6GB dijual pada harga CNY2,999 (kira-kira RM1,860) dan model 128GB + RAM 8GB pula dijual pada harga CNY3,499 (kira-kira RM2,170).

Xiaomi Black Shark Gamepad menjanjikan kawalan permainan yang lebih mudah.

Serentak dengan pelancaran Xiaomi Black Shark, aksesori pertama untuk telefon pintar ini turut diperkenalkan iaitu Black Shark Gamepad yang akan dijual secara berasingan pada harga CNY179 (kira-kira RM110). Alat kawalan permainan tanpa wayar ini hadir dengan sambungan Bluetooth dan ia dilengkapi bateri terbina-dalam yang boleh dicas semula sebesar 340 mAh. Bagi 50,000 pembeli terawal Xiaomi Black Shark, mereka akan turut menerima gamepad ini secara percuma.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend