Sharp Perkenalkan Dua Peranti Kelas Pertengahan Aquos C10 Dan B10 Pada Harga Melampau Comments Off on Sharp Perkenalkan Dua Peranti Kelas Pertengahan Aquos C10 Dan B10 Pada Harga Melampau

Sharp hari ini mengemas kini siri Aquos dengan memperkenalkan Aquos C10 dan B10 ke pasaran Eropah. Dua peranti ini mewakili kategori telefon pintar kelas pertengahan yang menawarkan fungsi dwi kamera dan salah satu model hadir dengan skrin bertakuk.

Sharp Aquos C10 dibina dengan paparan 5.5-inci IPS LCD beresolusi FHD+ yang menggunakan nisbah skrin 17:9 dan bukannya memanjang kebawah seperti kebanyakan peranti di pasaran. Skrin bertakuk yang dilindungi Corning Gorilla Glass ini juga turut menempatkan kamera swafoto menerusi sensor 8MP f/2.0.

Di sebelah belakang, ia hadir dengan sistem dwi kamera menggabungkan sensor 12MP dan 8MP yang menyokong aperture serendah f/1.75 serta rakaman video 1080p. Aquos C10 dijana dengan Android 8.0 Oreo berteraskan cip pemproses Snapdragon 630, RAM 4GB, dan storan 64GB yang menyokong kad microSD. Apa yang mengecewakan ialah bateri yang digunakan berkapasiti kecil sebesar 2,700mAh yang mana pada hari ini ramai pengguna akan elakkan.

Sharp Aquos B10 pula tidak dilengkapi paparan bertakuk walaupun begitu, skrin sebesar 5.7-inci beresolusi HD+ diletakkan bagi pengguna yang tidak menghiraukan aspek paparan. Nisbah skrin 18:9 ini juga menampilkan kamera depan 13MP disamping dilindungi Corning Gorilla Glass.

Kamera utama pada B10 telah memuatkan dwi sensor 13MP dan 8MP yang membawakan penggambaran sudut lebar sehingga 120-darjah. Rakaman video turut menyokong sehingga 1080p. Dikuasakan dengan cipset MediaTek MT6750 ia dijalankan dengan sistem perisian lama, Android 7.0 Nougat dan memori RAM 3GB selain storan 32GB. Walaupun spesifikasi agak ketinggalan, bateri yang ada pada telefon ini ialah 4,000mAh disamping ketersediaan slot kad hibrid.

Sharp Aquos C10 dan B10 dijual dengan tanda harga €400 dan €300 iaitu sekitar RM1,845 dan RM1,421 seunit.

Sumber

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend