Selangor Melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) Comments Off on Selangor Melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD)

Selepas YAB Perdana Menteri mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 1 Mei yang lepas, Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) di negeri itu.

Melalui pertemuan dan mesyuarat yang melibatkan Majlis Keselamatan Negara Negeri Selangor, Bilik Gerakan COVID-19 Selangor, Selangor Task Force COVID-19 (STFC), Datuk Bandar, YDP Majlis dan Pihak Berkuasa Tempatan, Kerajaan Negeri telah membuat keputusan untuk melaksanakan PKPB dengan pertambahan perincian seperti berikut:

1. Restoran, para penjaja dan peniaga berpremis dibenarkan untuk beroperasi mulai 4 Mei 2020 terhad kepada urusan bawa pulang (take away) dan penghantaran (delivery) dari jam 7 pagi hingga 10 malam.

Manakala peniaga tiada berpremis termasuk penjaja tepi jalan dan trak saji (food truck) hanya dibenarkan untuk beroperasi selepas 12 Mei 2020 bagi memastikan pihak PBT dan peniaga mempunyai cukup masa untuk mengatur persediaan untuk penjarakan sosial dan ‘contact tracing’.

Namun, pasar malam, pasar pagi, jualan karnival, bazar Ramadan dan Aidilfitiri tidak dibenarkan sebagaimana yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.

2. Industri pembinaan dibenarkan beroperasi pada kadar maksimum tetapi syarikat harus menyediakan Pelan Tindakan Keselamatan Kawalan Penularan Wabak Covid-19 untuk mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing terlebih dahulu.

3. Bagi sektor sosial, orang awam dibenarkan untuk melakukan aktiviti senaman di kawasan lapang dan taman komuniti dengan mengamalkan penjarakan sosial. Kegiatan di taman-taman awam seperti Tasik Shah Alam, Taman Jaya dan Tasik Cempaka tidak dibenarkan.

Semua kemudahan rekreasi dan sukan dalam kawasan berbumbung dan tertutup seperti kolam renang dan gimnasium masih ditutup. Aktiviti hiking seperti di Bukit Gasing juga tidak dibenarkan. PBT akan mengeluarkan notis susulan senarai taman awam yang dilarang buat orang awam sewaktu PKPB ini.


Keputusan ini terpakai kepada seluruh Selangor kecuali di zon merah Selayang Baru buat masa ini. Manakala bagi butiran lain adalah berdasarkan ketetapan dan garis panduan MKN yang telah dikeluarkan terdahulu.

Semua sektor adalah ditegaskan untuk melaksanakan amalan penjagaan kesihatan yang baik seperti pemakaian topeng muka, amalan pencucian tangan yang kerap dan mengelakkan dari menyentuh muka.

Kerajaan Negeri turut memperkenalkan suatu system pengesanan kontak (contact tracing) yang komprehensif bagi melengkapi usaha-usaha KKM dan akan diperkenalkan hari ini.

Kerajaan Negeri menyedari tanggungjawab untuk mengimbangi keperluan ekonomi dan kemaslahatan rakyat. Justeru, langkah bertahap yang dilaksanakan amat perlu sebagai sebahagian dari pendekatan ‘soft landing’ supaya kesan wabak Covid-19 ini dapat ditampan dengan lebih baik.

sumber

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend