Samsung Malaysia Lancar Galaxy Note 9 Dengan Tiga Pilihan Warna Pada Harga Bermula RM3,699 Comments Off on Samsung Malaysia Lancar Galaxy Note 9 Dengan Tiga Pilihan Warna Pada Harga Bermula RM3,699

Samsung Galaxy Note 9 kini dilancarkan secara rasmi di Malaysia membawakan sejumlah ciri terbaharu antaranya skrin besar dengan bezel nipis, bateri lebih besar berbanding generasi terdahulu, fungsi S-Pen dengan sokongan Bluetooth, kamera yang dikemas kini, sistem penyejukan cecair dan ‘banyak lagi’.

S-Pen kuning didatangkan dengan peranti berwarna Ocean Blue

Galaxy Note 9 yang dilengkapi pemproses yang sama Qualcomm Snapdragon 845 kini hadir dengan memori yang lebih besar. Model asas menawarkan 6GB RAM dan yang kedua 8GB RAM. Keluasan storan juga telah dipertingkatkan kepada 128GB untuk model asas dan 512GB untuk yang paling mahal. Samsung dalam masa sama memaklumkan storan pada peranti ini boleh diperluaskan menerusi kad microSD sehingga 512GB menjadikan jumlah keseluruhan melebihi 1TB.

Kombinasi Galaxy Watch dan Galaxy Note 9

Bagi menyelesaikan masalah bateri yang cepat habis pada model terdahulu, Galaxy Note 9 kini dibekalkan bateri berkapasiti 4,000mAh yang menyokong pengecasan pantas berwayar atau tanpa wayar. Skrin Infinity Display 6.4-inci pada peranti ini juga telah ditabalkan sebagai paparan telefon pintar terbaik daripada Display Mate minggu lalu. Melalui pengubahsuaian yang dilakukan, berat peranti kini mencecah 201 gram.

Butang shutter boleh ditekan melalui S-Pen

Jika anda masih tidak boleh membezakan manakah Galaxy Note 9 dan Galaxy Note 8, anda boleh lihat pada pengimbas cap jari yang kini telah diposisikan di sebelah bawah kamera utama. Bercakap tentang kamera, Galaxy Note 9 hadir dengan sensor 12MP +12MP. Setiap lensa membolehkan pengguna mengambil gambar Live Focus (melaras tahap kabur), zum optikal sehingga 2x, dan kebolehan aperture boleh-laras f/2.4 ke f/1.5 untuk penggambaran dalam cahaya malap. Samsung telah menaik taraf kualiti audio pada peranti ini menjadikan speaker atas dan bawah mengeluarkan bunyi bass yang lebih mendalam yang ditala oleh AKG.

Midnight Black, Ocean Blue, Metallic Copper

Galaxy Note 9 didatangkan dengan tiga pilihan warna iaitu Midnight Black, Metallic Copper, dan Ocean Blue bersama S-Pen berwarna kuning. Anda boleh dapatkan Galaxy Note 9 128GB pada harga RM3,699 dan Galaxy Note 9 512GB pada harga RM4,599 di kedai-kedai sah seluruh negara bermula 24 Ogos 2018.

Spesifikasi:

  • 6.4″ QHD+ Super AMOLED 2960 x 1440 (~516ppi)
  • Qualcomm Snapdragon 845
  • Android 8.1 Oreo
  • 6GB RAM / 8GB RAM
  • 128GB ROM / 512GB ROM
  • 4,000 mAh Quick Charge 2.0
  • 12MP + 12MP aperture f/2.4 / f/1.5
  • 8MP f/1.7
  • Slot hibrid (nano+nano / nano+microSD sehingga 512GB)
  • Bluetooth v5.0, USB Type-C, NFC, LTE Cat.18
  • Speaker stereo AKG
Previous ArticleNext Article

Send this to a friend