Samsung Galaxy Z Flip – Skrin Berlipat Yang Bukan Lagi Plastik Comments Off on Samsung Galaxy Z Flip – Skrin Berlipat Yang Bukan Lagi Plastik

Telefon keempat yang dilancarkan Samsung hari ini adalah Samsung Galaxy Z Flip. Telefon dalam kategori tersendiri yang menawarkan paparan boleh lipat dengan spesifikasi kelas mercu.

Baca: Samsung Malaysia Umum Tarikh Pra-tempah Galaxy S20 – Dari 12 Hingga 26 Feb Percuma Galaxy Buds+

Bukan lagi plastik seperti Galaxy Fold, teknologi paparan kini telahpun dipertingkatkan melalui panel kaca fleksibel yang paling nipis pernah dibina Samsung, menjanjikan skrin yang lebih jelas serta tajam.

Galaxy Z Flip adalah lawan kepada Moto Razr tapi dengan rekaan dalam yang lebih kemas. Tiada bonggol atau dagu di bawah memandangkan skrin telah dibentangkan penuh di atas panel kaca 6.7-inci FHD+ Dynamic AMOLED bernisbah 21.9:9 yang memanjang. Terdapat skrin kedua di bahagian luar iaitu bersaiz 1.1-inci Super AMOLED berfungsi memaparkan notifikasi dan jam.

Naik taraf turut dilakukan pada bahagian rekaan dimana Galaxy Z Flip kalis kepada habuk dan engselnya pula dikatakan mampu bertahan sebanyak lebih 200,000 ulang lipat. Secara kasar, bentuk engsel telefon ini tidak kurang bezanya dengan Galaxy Fold.

Daripada segi kamera, Z Flip hadir dengan sistem dwikamera 12MP f/2.2 dan 12MP f/1.8 berupaya mengezum masuk 8x digital. Jadi, bab kamera ia tidak dapat menandingi kamera yang ada pada barisan Galaxy S20. Bagaimanapun, kamera ini menyokong rakaman video 4K dan video gerak perlahan 720p pada 960fps.

Perkakasan lain yang disumbatkan adalah cip pemproses Exynos 990 7nm, memori 8GB RAM LPDDR5, dan 256GB storan selain sistem operasi dijalankan di atas Samsung One UI 2.0 berasaskan Android 10. Melengkapkan peranti, ia disertakan pembesar suara mono, Bluetooth 5.0, LTE Cat.16, dan pengimbas cap jari di bahagian tepi kerangka.

Baca: Pengalaman Seketika Bersama Samsung Galaxy S20, S20+, S20 Ultra Versi Malaysia

Kesimpulannya, spesifikasi Z Flip tidaklah sehebat siri Galaxy S20 namun daripada segi reka bentuk, ia jauh lebih memukau dan menawan. Malangnya, Samsung Malaysia masih belum mengumumkan tarikh ketersediaan peranti ini untuk pengguna tempatan. Harga USD1380 (~RM5708) dan mungkin kurang dari RM6 ribu di Malaysia kelak.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend