Samsung Galaxy A8+ : Mengapa Anda Perlu Memilikinya?! Comments Off on Samsung Galaxy A8+ : Mengapa Anda Perlu Memilikinya?!

Sebagaimana yang kita ketahui, Samsung Galaxy A8+ sudahpun dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada Januari 2018 yang lalu dan ini bermakna ia telah berada di pasaran lebih kurang empat bulan. Dalam tempoh yang agak singkat ini juga, pelbagai model terbaru telah diperkenalkan di negara ini dan kebanyakan daripadanya tampil dengan rekaan moden terutamanya sokongan paparan skrin penuh dengan rekaan takuk. Jadi dengan persaingan daripada pengeluar telefon pintar yang lain, kami merasakan Samsung Galaxy A8+ masih memiliki keistimewaannya yang tersendiri seperti berikut…

Harga: RM 2,499

#1. Skrin Infinity Display tanpa takuk

Jika kebanyakan pengeluar memperkenalkan paparan skrin besar dengan rekaan takuk, Galaxy A8+ dilihat masih mengekalkan rekaan tradisi yang lebih selesa untuk dilihat dan digunakan. Malah jika dibandingkan dengan peranti yang dijual pada harga yang setanding dengannya, kualiti paparannya adalah lebih baik kerana menyokong paparan Super AMOLED bernisbah 18.5:9 sebesar 6.0 inci dengan resolusi FHD+ (2220 x 1080 piksel). Ia juga turut dilengkapi dengan fungsi Always-on Display (AOD) bagi memudahkan anda melihat masa, tarikh, status bateri dan juga notifikasi tanpa perlu mengaktifkan paparan skrin.

#2. Dwi kamera hadapan

Pengalaman swafoto menggunakan Galaxy A8+ sememangnya menarik kerana ia dilengkapi dengan dua buah kamera iaitu lensa utama beresolusi 16 Megapiksel (f/1.9), manakala lensa kedua pula beresolusi 8 Megapiksel (f/1.9). Sokongan lensa kedua ini secara tidak langsung membolehkan anda menggunakan dua mod tambahan iaitu Live Focus yang akan mengaktifkan mod bokeh dengan bahagian latar belakang dikaburkan, dan mod kedua adalah Wide Selfie dengan sudut penggambaran lebih luas.

#3. Tiga slot kad berasingan

Dengan Galaxy A8+, anda tidak lagi perlu memeningkan kepala kerana ia disediakan dengan tiga slot kad berasingan dan bukannya slot kad hibrid seperti kebanyakan pesaingnnya yang lain. Slot pertama yang terletak pada bahagian sisi kiri kerangka menempatkan slot kad SIM 1 (nano), manakala slot kedua pada bahagian atas kerangka pula tersedia dengan dua slot berasingan untuk kad SIM 2 (nano) dan juga kad microSD sehingga 400GB.

#4. Port audio dikekalkan

Walaupun kebanyakan pengeluar dilihat sudahpun menyingkirkan port 3.5mm audio jack pada peranti keluaran mereka, Galaxy A8+ dilihat masih mengekalkan port tersebut. Ini bermakna anda masih boleh mengecas peranti sambil mendengar muzik menggunakan fon telinga konvensional tanpa sebarang masalah.

#5. Pengimbas cap jari dengan fungsi tambahan 

Berbeza dengan telefon pintar keluaran Samsung sebelum ini, sensor pengimbas cap jari pada Galaxy A8+ telah diubah kedudukannya pada bahagian bawah kamera agar ia lebih mudah untuk dicapai. Lebih menariknya, sensor pengimbas cap jari ini juga boleh digunakan untuk anda memaparkan panel notifikasi dan sebaliknya dengan menggunakan kaedah leretan jari pada permukaan sensor.

#6. Bateri 3500 mAh dengan pengecasan pantas

Galaxy A8+ menyokong bateri yang agak besar iaitu berkapasiti 3500 mAh, sama seperti model flagship Galaxy S9+. Sokongan teknologi pengecasan pantas Samsung Adaptive Fast Charging dengan output maksimum sehingga 9V 1.67A (15W) menjanjikan masa mengecas yang sangat pantas.

#7. Kalis air dan debu dengan IP68

Salah satu daripada keistimewaan yang terdapat pada Galaxy A8+ tetapi jarang ditemui pada pesaingnya yang lain adalah ciri kalis air dan debu. Melalui pengiktirafan IP68, Galaxy A8+ mampu menjanjikan ketahanan yang lebih baik apabila digunakan di dalam air tanpa perlu tanpa masalah. Kebiasaannya IPX8 mampu digunakan di dalam air bersih pada kedalaman sehingga 1.5 meter selama 30 minit.

Apabila peranti anda terkena air, pastikan baki air dilap dengan baik dan elakkan mengecas atau menyambungkan fon telinga bagi mengelakkannya dari rosak.

SPESIFIKASI

  • Android 7.1.1 Nougat

  • Samsung Exynos 7 Octa 7885

  • 2x 2.2GHz Cortex-A73 + 6x 1.6GHz Cortex-A53

  • Mali-G71 MP2 @ 1300 Mhz

  • 64GB (eMMC 5.1) + RAM 6GB (LPDDR4)

  • microSD sehingga 400GB

  • 6.0 inci Super AMOLED FHD+ (2220 x 1080 piksel)

  • Kamera utama: 16 Megapiksel (f/1.7)

  • Kamera hadapan: 16 Megapiksel (f/1.9) + 8 Megapiksel (f/1.9)

  • Sambungan: WiFi 802.11 a/b/g/n/ac, Bluetooth 5.0, NFC, USB Type-C, 3.5mm audio jack

  • 3500 mAh (Teknologi pengecasan pantas)

  • 159.9 x 75 x 8.3mm / 191g

  • IP68

  • Pilihan warna: Gold, Black, Orchid Gray

REKAAN FIZIKAL

Rekaan panel depan dan panel belakang Samsung Galaxy A8+

PAKEJ PEMBELIAN

Dengan pembelian Samsung Galaxy A8+, anda akan turut menerima palam kuasa Adaptive Fast Charging, kabel USB Type-C, fon telinga, adapter microUSB ke USB Type-C, dan juga sarung pelindung plastik keras.

PRESTASI

Dari segi benchmark sintetik yang telah dijalankan, Samsung Galaxy A8+ yang dikuasakan dengan pemproses Exynos 7 Octa 7885 menjanjikan prestasi sederhana tinggi. Malah dari aspek penggunaan dalam dunia sebenar, kami sendiri tidak pernah berhadapan dengan isu prestasi sepanjang lebih kurang dua minggu menggunakannya.

KEPANTASAN MENGECAS

Bagi melihat sendiri kepantasan mengecas Samsung Galaxy A8+ (2018), kami telah menggunakan palam kuasa Samsung Adaptive Fast Charging dengan output 9V1.67A / 5V2A. Untuk mengecas dari 10% hingga 100%, ia hanya mengambil masa lebih kurang 91 minit atau bersamaan 1 jam 31 minit.

KEUPAYAAN PENGGAMBARAN

1. Live Focus

Sokongan dua kamera hadapan beresolusi 16 Megapiksel + 8 Megapiksel membolehkan anda menggunakan mod penggambaran Live Focus yang mana subjek utama dengan latar belakang boleh diasingkan dengan efek bokeh atau kabur. Tahap kabur bukan sahaja boleh dilaras secara manual sebelum atau selepas gambar diambil, tetapi bahagian yang ingin difokuskan juga boleh ditentukan dengan menekan mana-mana bahagian pada gambar.

Live Focus

2. AR Stickers
Melalui bantuan teknologi pengecaman wajah, penggambaran menjadi lebih menyeronokkan kerana anda boleh menggunakan efek AR Stickers pada kamera utama dan juga kamera hadapan. Terdapat sebanyak 31 efek stiker boleh dipilih dan setiap satu daripadanya menawarkan efek animasi yang berbeza. Lebih menariknya efek ini boleh mengesan beberapa wajah secara serentak.

AR Stickers

3. Swafoto lebih luas
Secara default, gambar swafoto anda akan diambil menggunakan kamera hadapan pertama yang beresolusi 16 Megapiksel (lensa sebelah kanan). Walau bagaimanapun, anda sebenarnya boleh mengaktifkan mod penggambaran swafoto yang lebih luas dengan bantuan kamera hadapan kedua yang beresolusi 8 Megapiksel (lensa sebelah kiri). Dengan adanya mod swafoto yang lebih luas, ia sesuai untuk anda mengambil gambar swafoto berlatar belakangkan pemandangan.

Mod swafoto lebih luas boleh diaktifkan dengan hanya satu klik pada ikon yang terdapat pada viewfinder.

4. Bixby Vision
Dengan mengaktifkan mod penggambaran Bixby Vision, anda boleh mengambil gambar objek untuk mendapatkan maklumat ringkas berkaitan objek tersebut dengan bantuan pangkalan data dari Pinterest. Selain itu, Bixby Vision turut menyokong satu lagi fungsi tambahan berasaskan AR bagi membolehkan anda mendapatkan lokasi POI (Point of Interest) seperti restoran, kedai, galeri dan banyak lagi mengikut arah kamera dihalakan.

Bixby Vision mampu mengenal pasti objek yang anda ambil dan senarai gambar yang berkaitan dengan maklumat ringkas akan dipaparkan.
Fungsi AR pada Bixby Vision membolehkan anda mengetahui jarak dan juga lokasi perniagaan atau tempat menarik yang terdapat di sekeliling anda.

GAME LAUNCHER

Sokongan aplikasi Game Launcher pada Galaxy A8+ membolehkan anda menempatkan kesemua koleksi permainan yang dimuat turun pada peranti di dalamnya. Ini bermakna kesemua permainan yang telah dimuat turun tidak lagi akan dipaparkan pada antaramuka Home atau Apps. Malah aplikasi ini turut membolehkan anda untuk memilih mod ketika bermain iaitu High performance, Normal performance ataupun Save power.

Game Launcher

Lebih menariknya, anda juga boleh bermain tanpa gangguan dengan mengaktifkan mod ‘No alerts during game’ bagi memastikan notifikasi tidak akan dipaparkan pada skrin. Selain itu anda juga boleh mengakses beberapa fungsi tambahan yang lain seperti Navigation key lock, Screen touch lock, Screenshot dan juga Record. Untuk mengakses menu Game Tools ini, anda hanya perlu klik pada ikon Game Launcher yang terdapat pada bar butang navigasi.

Game Tools

HASIL GAMBAR

KESIMPULAN

Dengan harga jualan RM2499, Samsung Galaxy A8+ boleh dikategorikan sebagai peranti kelas pertengahan premium dan pada pendapat kami, ia menjanjikan ciri-ciri telefon pintar moden yang agak lengkap. Paparan Super AMOLED sememangnya menjanjikan kualiti paparan yang sangat baik, dan ketiadaan takuk pada rekaan skrin Galaxy A8+ ini sememangnya memiliki pengikutnya yang tersendiri. Malah berbeza dengan pesaingnya yang lain di pasaran, Galaxy A8+ menampilkan ciri-ciri menarik seperti fungsi kalis air sepenuhnya, penyediaan tiga slot kad berasingan, dwi kamera hadapan dan juga masih mengekalkan port audio untuk sambungan fon telinga berwayar.

Cuma pada kami ia masih memiliki kelemahannya yang tersendiri iaitu speaker mono, masih dioperasikan dengan Android Nougat, dan hanya dilengkapi satu lensa sahaja untuk kamera utamanya. Ini bermakna anda tidak boleh menggunakan fungsi zum optikal ataupun mod potret yang kini menjadi trend utama kebanyakan peranti.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend