Samsung Galaxy A70 Diumumkan Dengan Skrin 6.7″ Super AMOLED, Bateri 4500 mAh dan Pengecasan Pantas 25W Comments Off on Samsung Galaxy A70 Diumumkan Dengan Skrin 6.7″ Super AMOLED, Bateri 4500 mAh dan Pengecasan Pantas 25W

Hari ini Samsung dilihat telah mula mendedahkan kewujudan satu lagi telefon pintar terbaharunya iaitu Galaxy A70 yang menampilkan sokongan spesifikasi terbaik pernah ditawarkan pada siri Galaxy A.

Samsung Galaxy A70 menyokong skrin bernisbah 20:9 dengan paparan sebesar 6.7 inci Super AMOLED FHD+ (2400 x 1080 piksel). Menggunakan rekaan takuk jenis Infinity-U, ia turut menempatkan kamera swafoto beresolusi 32MP. Manakala untuk penggambaran utamanya pula telah tersedia dengan tiga kamera beresolusi 32MP (f/1.7) + 8MP Ultra Wide-angle (f/2.2, 123 darjah) + 5MP Depth sensor (f/2.2).

Dari segi prestasinya pula, Galaxy A70 telah dioperasikan dengan antaramuka baharu One UI berasaskan Android Pie, dikuasakan oleh cipset lapan teras (Dual-core 2.0 GHz + Hexa-core 1.7 GHz), pilihan memori RAM 6GB ataupun 8GB, ruang storan sebesar 128GB, dan juga menyokong slot kad microSD sehingga 512GB.

Samsung Galaxy A70 turut menjanjikan masa penggunaan yang lebih lama melalui sokongan bateri berkapasiti 4500 mAh, lengkap dengan teknologi pengecasan pantas 25W. Tidak cukup dengan itu, ia turut dilengkapi dengan teknologi pengimbas cap jari di dalam skrin yang buat masa ini masih belum didedahkan sama ada menggunakan optikal ataupun ultrasonik.

Harga dan ketersediaan Samsung Galaxy A70 akan hanya didedahkan secara rasmi di dalam majlis pelancaran rasminya nanti pada 10 April 2019.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend