ROG Phone II Kini Rasmi Dengan Snapdragon 855 Plus, Paparan 120Hz HDR, Bateri 6000mAh Comments Off on ROG Phone II Kini Rasmi Dengan Snapdragon 855 Plus, Paparan 120Hz HDR, Bateri 6000mAh

Selepas generasi pertama diumumkan pada Jun tahun lalu, ASUS hari ini telah memperkenalkan ROG Phone II secara rasmi kepada umum.

Banyak tingkat taraf telah dilakukan pada peranti ini antaranya seperti paparan skrin, bateri, memori, cip pemproses, dan tidak lupa pada rekaan luaran.

ROG Phone II hadir dengan paparan lebih besar iaitu 6.59-inci FHD+ AMOLED dengan perlindungan panel Corning Gorilla Glass 6. Jika dahulu skrin menyokong kadar segar semula 90Hz, kini ia telah dipertingkatkan kepada 120Hz selain menyertakan ciri HDR10+ untuk permainan mudah alih yang lebih imersif.

Daripada segi dalaman, ROG Phone II merupakan telefon pintar gaming pertama yang dilengkapi cip pemproses Snapdragon 855 Plus (7nm-berbanding SDM845 10nm) dan memori 12GB RAM berserta storan dalaman seluas 256GB/512GB.

Untuk kamera, ROG Phone II menawarkan sensor yang lebih besar menerusi konfigurasi 48MP f/1.8 utama + 13MP f/2.4 ultra lebar yang digandingkan dengan dua LED flash. Sementara bahagian depan pula hadir dengan kamera 24MP yang mana menjanjikan swafoto lebih berkualiti berbanding dahulu.

Bercakap tentang bateri, ROG Phone II menawarkan kapasiti bateri yang cukup besar iaitu 6000mAh. Ia juga mengekalkan sokongan pengecasan pantas 30W seperti generasi terdahulu. Menariknya, peranti ini juga boleh dijadikan sebagai bank kuasa dengan fungsi pengecasan berbalik 10W.

Sistem audio juga mendorong keasyikan pengguna, oleh itu pembesar suara stereo masih dikekalkan tetapi teknologinya telah dipertingkatkan. Sistem keselamatan pengimbas cap jari pula tidak lagi diletakkan di panel belakang tetapi telah dialihkan ke bawah paparan skrin.

Menyentuh kepada rekaan luaran, ROG Phone II boleh dibezakan dengan model terdahulu. Dari jauh ia dilihat lebih besar kerana paparannya yang lebih luas serta bateri yang lebih besar. Pencahayaan RGB pada logo masih lagi ditawarkan, pada masa sama elemen ‘Tactical Knife’ masih dibiarkan pada rekaan keseluruhan peranti.

Untuk melengkapkan ROG Phone II, ASUS telah mengeluarkan aksesori khas untuk peranti ini. Kunai Gamepad merupakan salah satu akseori yang baharu, ia hadir dengan rekaan yang diilhamkan daripada Nintendo Switch.

Alat kawalan ini boleh digunakan dengan cara memasangnya di kiri dan kanan peranti atau digunakan secara berasingan sebagai alat kawalan jauh tanpa wayar.

Kunai Gamepad boleh digunakan bersama TwinView Dock II. Dermaga yang telah dinaik taraf daripada versi sebelumnya boleh dipasang bersama skrin sesentuh 120Hz/1ms, kipas penyejuk, dan bateri tambahan 5000mAh. Kesemuanya menyokong permainan seperti Asphalt 9 dan Shadowgun Legends ketika ini.

Untuk ketersediaan, ROG Phone II dijangka akan dijual di A.S. dan Eropah terlebih dahulu pada bulan September depan. Tetapi harganya pula masih belum diumumkan.

sumber

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend