Redmi Note 7 Kini Rasmi Dengan Snapdragon 660, 6GB RAM, Kamera 48MP Dan Quick Charge 4.0 0 600

Hari ini secara rasminya telah menyaksikan pelancaran model Redmi Note 7 di China, iaitu model pertama daripada Redmi selepas ia diasingkan sebagai sub-jenama daripada Xiaomi. Dengan menyingkirkan penggunaan jenama Xiaomi, Redmi Note 7 telah membawakan rekaan moden yang diperbuat daripada kaca bagi menggantikan rekaan aluminium pada generasi Redmi Note sebelum ini.

Membawakan paparan skrin bernisbah 19.5:9 sebesar 6.3 inci FHD+ (2340 x 1080 piksel), Redmi Note 7 turut menampilkan rekaan takuk yang lebih kecil pada panel Corning Gorilla Glass 5. Menurut Redmi, keempat-empat penjuru Redmi Note 7 telah menerima proses gilapan ‘microcrack’ yang mampu menjanjikan ketahanan peranti ini.

Dari segi prestasi pula, Redmi Note 7 telah dikuasakan dengan Snapdragon 660, kapasiti RAM sehingga 6GB, pilihan ruang storan sehingga 64GB, dan juga dioperasikan oleh MIUI 10 berasaskan Android 9.0 Pie. Kapasiti bateri mencecah 4000 mAh yang dimilikinya juga mampu dicas dengan lebih pantas melalui sokongan teknologi Quick Charge 4.0 yang mampu mengecas penuh dalam masa 1 jam 43 minit.

Keupayaan penggambaran Redmi Note 7 juga tidak mengecewakan kerana ia menyokong konfigurasi dwi kamera beresolusi 48MP + 5MP dengan aperture f/1.8. Menurut Redmi, lensa utama peranti ini telah menggunakan sensor Ultra Clear daripada Samsung ISOCELL GM1 yang dipercayai mampu mengambil gambar dalam persekitaran gelap dengan lebih baik. Untuk kamera swafoto pula, ia dilengkapi lensa 13MP.

Terdapat tiga varian ditawarkan untuk Redmi Note 7 iaitu 3GB + 32GB berharga CNY999 (kira-kira RM603), 4GB + 64GB berharga CNY1,199 (kira-kira RM724), dan varian tertinggi 6GB + 64GB berharga CNY1,399 (kira-kira RM845). Redmi Note 7 tersedia dalam tiga warna pilihan iaitu Black, Fantasy Blue dan Twilight Red.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend