Realme 2 Hadir Dengan Paparan Dan Bateri Besar Pada Harga Bajet – Sub-Jenama Oppo Comments Off on Realme 2 Hadir Dengan Paparan Dan Bateri Besar Pada Harga Bajet – Sub-Jenama Oppo

Realme 2 dilancarkan secara rasmi di India hari ini memperlihatkan peranti bertakuk paling mampu milik setakat ini di sana. Jika Realme 1 sebelum ini hanya dijual di negara Tamil Nadu, kini pihak Realme ingin memasarkannya di tiga rantau iaitu Timur Tengah, India, dan Asia Tenggara.

Realme 2 hadir dengan skrin 6.2-inci dengan resolusi 1520 x 720 piksel yang dipadankan dengan rekaan tubuh badan potongan berlian. Didalamnya terdapat sebuah bateri berkapasiti 4,230mAh berteknologi AI Power Master khusus untuk pengurusan bateri yang lebih baik. Menurut Realme, peranti ini boleh memainkan permainan mudah alih sehingga 10 jam dan panggilan sehingga 44 jam.

Dikuasakan oleh Snapdragon 450, ia juga didatangkan dengan memori 3GB + 32GB atau 4GB + 128GB malah menyokong tiga slot untuk dua kad SIM nano dan satu kad microSD. Walaupun dijual pada harga bajet, peranti ini tidak ketinggalan untuk menawarkan sistem keselamatan pengimbas cap jari, Facial Unlock, dan Smart Unlock yang menggunakan sambungan Bluetooth.

Dwi kamera utama pula diberikan sensor 13MP f/2.2 dan 2MP f/2.4 untuk penggambaran potret, sementara kamera depan 8MP f/2.2 berkongsi fungsi untuk pengecaman wajah. Peranti ini dikuasakan Android 8.1 Oreo disamping antaramuka ColorOS 5.1 – sama seperti yang digunakan pada peranti Oppo F9.

Realme 2 ditawarkan dalam pilihan warna Diamond Black, Diamond Red, dan Diamond Blue bermula 4 September di India pada harga bermula INR8,990 (~RM524) dan INR10,990 (~RM641) untuk varian teratas. Untuk pasaran Malaysia, tiada tarikh khusus diberikan.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend