[Pra-Pandang] Xiaomi Mi Mix 3 Dalam Warna ‘Jade Green’ 0 466

Sehingga hari ini peranti Xiaomi Mi Mix 3 masih belum memasuki pasaran Malaysia. Tinjauan kami ke kedai-kedai besar di sekitar Kuala Lumpur juga masih belum ada yang menjualnya. Malah pertanyakan kami juga dilanjutkan kepada wakil Xiaomi Malaysia dan mereka memaklumkan peranti ini mungkin akan dibawa masuk mengikut permintaan pasaran.

Xiaomi Mi Mix 3 ialah peranti mercu terbaru yang menawarkan rekaan kamera gelongsor seakan Oppo Find X – cuma ia menggunakan mekanisma manual. Spesifikasi yang dimuatkan pula tidak terlalu berbeza dan pengguna kali ini ditawarkan skrin yang lebih luas jenis AMOLED berbanding generasi terdahulu yang menggunakan LCD. Selain rekaan yang dikemas kini, perkakasan dalaman juga masih kekal dengan cipset Snapdragon 845 selain ditambah baik dengan sistem operasi terkni, Android 9.0 Pie.

Bercakap tentang kamera, secara kasar ia menggunakan resolusi kamera yang sama seperti dahulu iaitu 12MP + 12MP namun daripada segi lensa ia telahpun diubah suai. Kini pengguna Mi Mix 3 boleh menangkap gambar bersudut luas yang menyokong penstabilan imej optikal. Pada sebelah depan, kamera 24MP yang dipadankan sangat jauh beza kerana model yang sebelumnya hanya didatangkan dengan sensor 5MP sahaja.

Sumber kuasa pula, kapasiti bateri Mi Mix 3 telah dikurangkan kepada 3,200mAh daripada 3,400mAh (Mi Mix 2S dan Mi Mix 2). Bagaimanapun dengan Mi Mix 3, pengguna kini boleh memenuhkan bateri dengan lebih cepat menggunakan teknologi pengecasan pantas yang lebih baru iaitu Quick Charge 4.0. Tidak dilupakan juga ialah sokongan pengecasan tanpa wayar menerusi dermaga yang diberikan secara pakej di dalam kotak pembelian.

Unit pra-pandang yang kami terima ialah sistem ROM versi China (MIUI 10), jadi pengalamannya sedikit berbeza dengan versi ‘Global Version’ yang biasa dijual di Malaysia. Kami juga tidak dapat memeriksa sistem dalaman peranti ini kerana ia dioperasikan dalam bahasa Mandarin.

Mekanisma gelongsor manual ini terasa mantap tanpa sebarang bunyi kerepek rapuh. Pada masa sama sebaik digelongsorkan, kamera depan akan dilancarkan secara automatik dan disebabkan rekaan ini, Mi Mix 3 tidak menyokong fungsi kalis air.

Difahamkan, jika Mi Mix 3 dibawa masuk ke pasaran tempatan secara rasmi, pengguna akan menerima pakej pembelian yang lengkap merangkumi sarung pelindung plastik (kesat), kabel USB Type-C, palam kuasa, dan dermaga pengecas tanpa wayar 18W (lebih pantas daripada pengecas pantas tanpa wayar Huawei). Tambah Xiaomi, tanda harganya pula ialah sekitar RM2,200 ke RM2,500 seunit.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend