[Pra-Pandang] Vivo V15 Pro Menampilkan Rekaan Kamera Swafoto Yang Boleh ‘Disembunyikan’ 0 399

Di awal kemunculan jenama Vivo di pasaran, kebanyakan perantinya tampil dengan rekaan yang sangat konvensional dan tidak begitu jauh berbeza jika dibandingkan dengan pesaingnya yang lain. Tetapi sejak kebelakangan ini, Vivo dilihat lebih berani untuk berekperimentasi dengan rekaan inovasi yang agak unik seperti sokongan dwi skrin pada model Vivo NEX Dual Display dan juga rekaan kamera swafoto yang boleh disembunyikan pada model Vivo NEX.

Menariknya rekaan kamera depan yang boleh disembunyikan di sebalik kerangka yang sebelum ini diperkenalkan peranti mercu keluaran Vivo telah diperkenalkan pada model kelas pertengahannya yang terbaru iaitu Vivo V15 Pro. Dijadualkan akan dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat ini, apa kata kita lihat dulu rekaan pra-pandang peranti terbaru daripada Vivo ini…

  • Harga → RM1,899 (Jangkaan)
  • Tarikh pra-tempah rasmi → 26 Februari 2019
  • Pra-tempah di Satu Gadget Dot Com kini dibuka dan dapatkan hadiah percuma bernilai RM999

Paparan skrin


Rekaan paparan skrin penuh pada Vivo V15 Pro tampil lebih kemas kerana ia tidak diganggu dengan kehadiran takuk mahupun lubang kamera pada skrin. Bahkan saiz bezel pada bahagian atas dan bawah peranti ini juga telah diminimumkan, dan secara tidak langsung menjanjikan rekaan yang lebih premium.

Saiz bezel nipis



Berbeza dengan bezel pada bahagian atas skrin, saiz bezel pada bahagian bawah skrin kelihatan sedikit tebal tetapi secara keseluruhannya ia tidaklah sehingga mencacatkan penampilan rekaan skrin penuhnya.

Kamera swafoto tersembunyi


Memandangkan Vivo V15 Pro tidak memiliki takuk ataupun lubang kamera pada skrin, lensa depan beresolusi 32MP pada peranti ini telah tersembunyi di sebalik kerangkanya. Sama seperti Vivo NEX, lensa kamera depannya jenis ‘pop-up’ ini akan ditolak naik secara automatik apabila anda ingin mengambil gambar swafoto, membuat panggilan video ataupun mengakses peranti menggunakan fungsi pengecaman wajah.

Pengimbas cap jari pada skrin


Walaupun disasarkan untuk pasaran kelas pertengahan, Vivo V15 Pro turut menyokong teknologi pengimbas cap jari pada skrin yang kebiasaannya ditawarkan pada peranti mercu. Proses imbasan cap jari pada peranti ini setanding dengan teknologi yang disokong oleh Vivo NEX.

Panel belakang kaca



Vivo V15 Pro menyokong panel belakang yang diperbuat daripada kaca dengan efek warna yang cantik kerana ia memiliki dua tona warna iaitu biru terang dan biru gelap apabila terkena pantulan cahaya. Lebih istimewanya, panel belakang kaca yang melengkung ini turut memiliki permukaan dengan tekstur yang sangat menarik.

Tiga kamera utama


Mengikuti trend penggunaan tiga kamera utama, Vivo V15 Pro tersedia dengan kombinasi tiga lensa AI beresolusi 48MP (RGB) + 8MP (Wide angle) + 5MP (Depth sensor). Berbeza dengan peranti sedia ada di pasaran, rekaan tiga kamera pada peranti ini tampil lebih unik dengan sentuhan panel berwarna hitam yang kelihatan selari dengan kamera depan apabila ia ditolak keluar.

Butang kawalan


Seperti biasa sisi kanan Vivo V15 Pro telah menempatkan dua butang kawalan fizikal iaitu butang melaras suara dan juga butang kuasa. Kedua-dua ini tampil dengan kemasan warna biru yang sama seperti warna kerangkanya.

Slot kad microSD


Sisi kirinya pula tersedia dengan satu slot yang dikhaskan untuk sokongan kad memori microSD. Bersebelahan dengan slot itu turut ditemui satu lagi butang fizikal yang boleh digunakan untuk anda mengaktifkan fungsi pembantu AI Vivo iaitu Jovi. Namun berdasarkan percubaan kami, butang ini akan mengaktifkan fungsi Google Assistant untuk pasaran tempatan.

Bicu audio


Bahagian atas kerangkanya pula tersedia dengan bicu audio 3.5mm dan juga sebuah lubang mikrofon. Bahagian ini juga jelas memperlihatkan slot khas bagi menyembunyikan kamera swafoto apabila tidak digunakan.

Port microUSB


Vivo V15 Pro hadir dengan sokongan satu speaker berkualiti mono yang terletak pada bahagian bawah kerangkanya. Selain itu, bahagian ini turut menempatkan port microUSB, lubang mikrofon, dan juga slot kad SIM yang boleh menerima dwi kad SIM bersaiz nano secara serentak.

 

“Nantikan ulasan penuh Huawei Nova 4 daripada kami tidak lama lagi…”

Baca juga:

Vivo V15 Pro Dengan Kamera Pop-Up Akan Dijual Pada Harga RM1899?

Vivo V15 Pro Dengan Kamera Swafoto 32MP Dan Tiga Kamera Utama 48MP Boleh Dipra-tempah Di Satu Gadget

 

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend