[Pra Pandang] Samsung Galaxy Note 10 / Note 10+, Ini Ciri Menarik Yang Kami Suka Comments Off on [Pra Pandang] Samsung Galaxy Note 10 / Note 10+, Ini Ciri Menarik Yang Kami Suka 733

Samsung Galaxy Note 10 telah diperkenalkan secara rasmi dalam acara Galaxy Unpacked awal pagi tadi bertempat di Barclays Center, Brooklyn, New York.

Samsung turut membuat kelainan dalam pengenalan siri Note kali ini, seperti yang anda tahu mereka telah memperkenalkan dua model dengan saiz yang berbeza.

Galaxy Note 10 dan Note 10+ berkongsi ciri dan fungsi yang sama tetapi masih terdapat perbezaan antara kedua-duanya. Senarai di bawah merupakan ciri yang kami sukai setakat ini:

Baca juga: Samsung Galaxy Note 10/Note 10+ Kini Rasmi Dengan Paparan 6.3″ Dan 6.8″, 12GB RAM, Pengecasan 45W

♦ Rekaan serba BAHARU

Galaxy Note 10 memiliki saiz badan yang lebih kompak berbanding Note 10+. Kedua-duanya menawarkan saiz bezel yang nipis serta lebih ringan berbanding model terdahulu. Daripada segi binaan, Samsung nampaknya masih mengekalkan aspek premium untuk kedua-dua peranti.

♦ Bentuk kamera belakang kini MENEGAK

Siri Note tahun ini tampak lebih segar melalui rekaan kamera belakang yang baharu. Walaupun, Galaxy Fold pertama kali hadir dengan kamera menegak, nampaknya siri Note tahun ini mengambil posisi yang lebih awal.

Jika anda perasan, Galaxy Note 10 dilengkapi sistem tri-kamera manakala Note 10 + dilengkapi sistem kuad-kamera. Kamera tambahan untuk Note 10+ ialah lensa 3D ToF yang mana membantu menangkap gambar bokeh yang lebih baik.

♦ Paparan Infinity-O di TENGAH

Samsung telah memperkenalkan paparan Infinity-O pada siri Galaxy S10. Nampaknya konsep yang sama telah diguna pakai pada siri Note tahun ini apabila kedua-dua menawarkan rekaan kamera berlubang pada skrin.

Galaxy Note 10 hadir dengan skrin bersaiz 6.3-inci FHD+ sementara Note 10+ menggunakan skrin 6.8-inci QHD+, masing-masing dengan teknologi paparan Dynamic AMOLED. Jika kamera depan 10MP ini membantutkan pandangan anda, kami mendapati ianya boleh disembunyikan melalui bingkai palsu yang boleh dihidupkan di bahagian tetapan.

♦ GABUNGAN butang Bixby dan kuasa

Masalah yang sering dihadapi pengguna peranti Samsung adalah mereka sering tertekan butang dedikasi Bixby secara tidak sengaja. Perkara ini agak menjengkelkan dan oleh kerana itu, Samsung telah membina satu butang sahaja untuk kuasa dan Bixby pada siri Note 10. Kedudukan butang ini kini diletakkan sebaris dengan butang laras suara pada sebelah kiri sekaligus menjadikan bahagian sisi kanan kelihatan lebih kemas tanpa sebarang butang.

♦ S-Pen dengan fungsi AIR GESTURE

Tahun lalu S-Pen hadir dengan ciri kawalan jauh untuk menangkap gambar. Ciri itu nampaknya disukai ramai khususnya pengguna Note 9. Kini S-Pen telah dipertingkatkan dengan adanya cip baharu yang membolehkan pengguna menggunakan gerakan pen untuk mengawal kamera seperti menukar kamera depan/belakang dan mengezum masuk/keluar.

♦ Pengecasan kini sokong 45W

Samsung telah memperkenalkan teknologi pengesan pantas, Super Fast Charging berkuasa 45W pada Galaxy Note 10+. Dikatakan dengan 30 minit pengecasan, peranti ini mampu bertahan untuk tempoh 7 hari. Bagaimanapun, untuk mendapatkan sokongan ini pengguna perlu membeli palam kuasa khas secara berasingan.

♦ Warna Aura Glow yang UNIK

Sebaik melihat warna baharu Aura Glow ini, kami berpendapat Samsung pandai memainkan peranan dalam aspek pandang pertama. Kami yakin, jika anda melihatnya anda juga akan tertarik dengan kemasan warna ini. Sekiranya ia dipantulkan pada sumber cahaya, efek pelangi akan kelihatan dan ini membuatkan Aura Glow antara warna yang paling menarik setakat ini kami pernah lihat.

♦ Memori BESAR

Selamat tinggal kepada storan 128GB kerana kali ini anda hanya diberikan pilihan sama ada 256GB atau 512GB. Seperti biasa storan ini boleh diperluaskan lagi melalui sokongan kad microSD, menjadikan jumlah storal adalah 1TB. Selain itu, kapasiti RAM juga dipertingkatkan sehingga 12GB bagi membolehkan pengguna melakukan apa sahaja tuga walaupun kerja komputer pada peranti ini.

Senarai di atas mungkin sebahagian sahaja daripada ciri menarik yang ada pada Galaxy Note 10 dan Galaxy Note 10+. Sebenarnya, ada lebih banyak lagi ciri menarik yang ditawarkan antaranya adalah sokongan Samsung DeX menerusi satu kabel USB-C, sistem penstabilan imej optikal yang lebih hebat pada rakaman video, sokongan penapis cahaya biru yang lebih canggih, sokongan pengecasan pantas tanpa wayar dan pengecasan berbalik, serta banyak lagi.

Pra-tempah dengan hadiah percuma kini dibuka untuk pengguna di Malaysia. Klik sini untuk keterangan lanjut.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend