[Pra-Pandang] Rekaan Fizikal Vivo NEX Dual Display Dengan Rekaan Dua Skrin Unik Comments Off on [Pra-Pandang] Rekaan Fizikal Vivo NEX Dual Display Dengan Rekaan Dua Skrin Unik 587

Vivo NEX Dual Display sememangnya tampil unik berbanding peranti sedia ada di pasaran kerana ia menampilkan rekaan dua panel skrin yang boleh digunakan pelbagai tujuan berbeza. Berbeza dengan rekaan Vivo NEX yang hadir dengan rekaan kamera swafoto mekanikal yang tersembunyi di sebalik kerangkanya, Vivo NEX Dual Display pula dilihat masih mengekalkan rekaan skrin penuh tetapi kini ia tidak lagi menyokong rekaan kamera depan seperti generasi pertamanya.

Jadi bagi mengatasi ketiadaan kamera depan, panel belakang pada Vivo NEX Dual Display ini boleh digunakan sebagai viewfinder untuk pengguna mengambil gambar swafoto menggunakan tiga lensa kamera yang disokongnya. Memandangkan kami berjaya menyentuh Vivo NEX Dual Display ini untuk tempoh masa yang sangat terhad, maka ingin kami kongsikan penampilannya dalam ruangan pra-pandang pada kali ini…

Spesifikasi asas Vivo NEX Dual Display:

  • Funtouch 4.5 (Android 9.0 Pie)
  • Qualcomm Snapdragon 845
  • 10GB RAM + 128GB
  • Skrin utama: 6.39 inci Super AMOLED, FHD+ (2340 x 1080 piksel), 19.5:9
  • Skrin kedua: 5.49 inci Super AMOLED, FHD (1920x 1080 piksel), 16:9
  • Tri-kamera: 12MP (f/1.8, 1.4µm, OIS, Dual Pixel PDAF) + 2MP (f/1.8, Depth Sensor) + Kamera TOF (f/1.3)
  • Dua slot kad SIM nano (tiada slot kad microSD)
  • 3500 mAh (teknologi pengecasan pantas 22.5W)
  • WiFi 802.11ac, Bluetooth 5.0, USB Type-C
  • 157.2 x 75.3 x 8.1mm / 199g
  • Pilihan warna: Polar Blue dan Nebula Purple

Paparan skrin

Skrin utama pada panel depan
Skrin kedua pada panel belakang

Berbeza dengan kebanyakan telefon pintar sedia ada di pasaran, Vivo NEX Dual Display menjanjikan rekaan inovasi yang sangat unik kerana tampil dengan dua skrin berasingan pada kedua-dua panel depan dan belakangnya. Lebih istimewanya, jika kebanyakan pengeluar telefon pintar dengan sokongan dwi skrin lebih cenderung menawarkan skrin kedua dengan kualiti yang agak rendah, Vivo NEX Dual Display masih mampu menjanjikan skrin kedua yang sangat berkualiti.

Rekaan skrin penuh tanpa takuk

Vivo NEX Dual Display masih mengekalkan identiti rekaan skrin penuh tanpa takuk sama seperti generasi pertamanya iaitu Vivo NEX. Bahkan ia juga tidak terpengaruh dengan trend rekaan lubang kamera pada skrin sebagaimana yang digunakan pada kebanyakan telefon pintar dengan rekaan skrin penuh. Pendekatan sebegini lebih menarik kerana paparan skrin telah dioptimumkan sepenuhnya.

Bezel bawah lebih kecil

Bezel pada bahagian bawah Vivo NEX Dual Display ini tampil dalam saiz yang agak kecil tetapi masih tidak boleh menandingi saiz bezel pada model iPhone XS. Walau bagaimanapun, ia masih boleh dianggap antara yang ternipis boleh anda miliki di pasaran buat masa ini.

Tri-kamera pada panel belakang

Satu lagi keunikan yang dibawakan oleh Vivo NEX Dual Display adalah sokongan tiga kamera (tri-kamera) pada panel belakangnya iaitu lensa utama beresolusi 12MP, lensa depth sensor beresolusi 2MP, dan juga lensa kamera TOF. Jika anda perhatikan pada dua kamera utama yang terdapat pada panel belakang ini, terdapat satu gelung yang dikenali sebagai ‘Lunar Ring’. Rekaan gelung ini jelas dapat dilihat pada skrin kedua dan ia sedikit mencacatkan permukaan skrin.

Saiz bezel bawah pada skrin kedua

Berbeza dengan rekaan skrin utamanya yang menampilkan saiz bezel bawah yang nipis, panel skrin kedua Vivo NEX Dual Display hadir dengan saiz yang agak besar. Ini berikutan saiz skrin kedua tampil lebih kecil iaitu berukuran 5.49 inci Super AMOLED FHD dengan nisbah paparan 16:9.

Viewfinder kamera untuk swafoto

Seperti yang kami nyatakan sebelum ini, proses pengambilan gambar swafoto menggunakan Vivo NEX Dual Display perlu dibuat menggunakan kamera utama yang terdapat pada panel belakangnya. Sokongan skrin kedua yang besar dengan resolusi penuh ini membolehkan gambar swafoto diambil dengan lebih mudah dan dalam masa yang sama menjanjikan kualiti gambar yang lebih baik.

Dwi LED Flash yang unik

Lunar Ring yang disokong oleh Vivo NEX Dual ini bukan sahaja boleh digunakan sebagai lampu notifikasi RGB, tetapi ia juga sebenarnya boleh digunakan sebagai lampu LED Flash ketika mengambil gambar. Nyalaan lampu LED Flash dengan efek lampu bulat sememangnya kelihatan unik dan mampu menarik perhatian ketika digunakan di dalam gelap.

Bicu audio dan speaker


Walaupun menampilkan rekaan inovasi yang unik, Vivo NEX Dual Dislay masih tidak mengabaikan ciri-ciri penting yang sering disingkirkan oleh kebanyakan pengeluar iaitu bicu audio 3.5mm yang terletak pada bahagian atas kerangkanya. Bahagian kerangka bawah pula tersedia dengan slot kad SIM, USB Type-C dan juga speaker.

Butang pada sisi kerangka

Sisi kiri Vivo NEX Dual Display
Sisi kanan Vivo NEX Dual Display

Seperti biasa sisi kanan Vivo NEX Dual Display telah menempatkan dua butang fizikal iaitu butang suara dan juga butang kuasa. Manakala sisi kirinya pula tersedia dengan satu lagi butang kuasa yang digunakan untuk mengaktifkan paparan skrin kedua. Anda juga boleh menukarkan paparan dari skrin utama ke skrin kedua atau sebaliknya, dengan menekan kedua-dua butang kuasa di kiri dan kanan kerangka serentak.

Slot kad SIM

Vivo NEX Dual Display menyokong dua slot kad SIM bersaiz nano dan untuk pengetahuan anda, tiada slot kad microSD disediakan pada peranti ini.

Pakej pembelian

Kotak pembungkusan

Vivo NEX Dual Display tampil dengan kotak pembungkusan yang agak besar berwarna hitam. Dengan setiap pembelian peranti ini, anda akan menerima 1x unit Vivo NEX Dual Display yang siap dipasang dengan skrin pelindung pada panel depan dan belakang, 1x unit fon telinga, 1x unit kabel USB type-C, 1x unit palam kuasa dengan output pengecasan maksimum 22.5W, dan juga 1x unit bumper.

Baca juga:

Vivo NEX Dual Display Edition Dengan Dwi Skrin, Tiga Kamera Dan 10GB RAM Dilancarkan Secara Rasmi

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend