[Pra-Pandang] Huawei Nova 4 Dengan Rekaan Kamera Depan Di Dalam Skrin 0 581

Walaupun disasarkan untuk segmen pasaran kelas pertengahan, Huawei Nova 4 telah menjanjikan satu kelainan berbanding pesaingnya yang lain kerana ia hadir dengan rekaan kamera depan di dalam skrin. Jadi sementara menunggu ketersediaan jualan Huawei Nova 4 ini secara rasmi di pasaran Malaysia pada 14 Februari nanti, apa kata kita ‘usha’ dulu rekaan fizikal peranti ini…

Spesifikasi asas Huawei Nova 4:

  • EMUI 9.0.1 (Android 9.0 Pie)
  • Kirin 970 (10 nm)
  • 4x Cortex-A73 2.36 GHz + 4x Cortex-A53 1.8GHz
  • 8GB RAM + 128GB
  • Tiada slot kad memori microSD
  • 6.4 inci IPS LCD, FHD+ (2310 x 1080 piksel)
  • Kamera utama: 20MP RGB (f/1.8) + 16MP Ultra-wide (f/2.2) + 2MP Depth sensing (f/2.4)
  • Kamera depan: 25MP (f/2.0)
  • 3750 mAh (9V2A)
  • 157 x 75.1 x 7.77mm / 172g
  • Pilihan warna: Crush Blue dan Black

Paparan skrin

Panel depan Huawei Nova 4 telah didominasi dengan paparan skrin sentuh tanpa rekaan takuk, tetapi sebaliknya ia hadir dengan rekaan baharu yang menempatkan kamera depan di dalam skrin. Walaupun dijual pada harga di bawah RM2000, rekaannya sangat menonjol dan kelihatan premium.

Kamera depan

Saiz bezel pada bahagian atas dan kedua-dua sisi Huawei Nova 4 juga kelihatan nipis, sekaligus memberikan pandangan skrin penuh yang sangat baik. Apa yang istimewanya, bahagian kiri atas skrin peranti ini telah menempatkan satu lubang khas bagi menempatkan kamera depan beresolusi 25MP.

Bezel bawah nipis

Berbeza dengan model Huawei Nova 3 yang diperkenalkan pada tahun lepas, saiz bezel di bahagian bawah skrin pada Huawei Nova 4 ini tampil lebih nipis. Memandangkan ia telah dioperasikan dengan antaramuka EMUI 9.0 berasaskan Android 9.0 Pie, butang kawalan pada skrin tidak lagi diperlukan kerana ia menyokong sistem navigasi skrin penuh.

Panel belakang kaca dengan warna kecerunan


Sebagaimana rekaan panel depannya yang unik, panel belakang Huawei Nova 4 ini juga menampilkan kemasan yang sangat menarik untuk dilihat. Menggunakan panel kaca yang melengkung pada kedua-dua sisinya, efek warna kecerunan pada Huawei Nova 4 akan berubah dari warna biru ke warna ungu apabila dilihat pada sudut tertentu.

Kamera utama dan pengimbas cap jari

Jika anda perasan, sokongan tiga kamera pada Huawei Nova 4 ini kelihatan mirip seperti rekaan tiga kamera pada Huawei P20 Pro. Walaupun sama, ia sebenarnya sama sekali berbeza kerana Huawei Nova 4 menyokong konfigurasi tiga kamera 20MP (f/1.8) lensa RGB + 16MP (f/2.2) lensa sudut luas + 2MP (f/2.4) lensa bokeh. Di panel belakangnya itu juga turut menempatkan sensor pengimbas cap jari.

Bicu audio 3.5mm

Anda bebas untuk menggunakan fon telinga berwayar pada Huawei Nova 4 kerana ia tersedia dengan bicu audio 3.5mm pada bahagian atas kerangkanya. Jika diperhatikan, mungkin ada di antara anda yang berpendapat bahawa peranti ini turut menyokong dengan port inframerah, ternyata jangkaan itu tidak betul kerana ia sebenarnya merupakan sensor proximity yang hadir dengan rekaan inovatif ‘Light Bending’ yang telah dipatenkan. Sensor ini digunakan untuk memadamkan skrin secara automatik apabila anda menjawab panggilan.

Port USB Type-C

Bahagian bawah kerangkanya pula telah tersedia dengan speaker berkualiti mono, port USB Type-C dan juga satu lubang mikrofon. Sama seperti rekaan Huawei Nova 3, bahagian ini turut menempatkan dua jalur antena. Selain itu ia juga menyokong teknologi pengecasan pantas yang sama dengan output maksimum 18W (9V2A).

Butang fizikal

Seperti biasa sisi kanan Huawei Nova 4 telah tersedia dengan dua butang fizikal iaitu butang melaras suara dan juga butang kuasa yang memiliki permukaan yang licin sama seperti kemasan kerangka peranti ini. Bahagian ini turut kelihatan satu lagi jalur antena yang dibina rata pada permukaan kerangkanya.

Slot kad SIM


Sisi kirinya juga turut menempatkan satu lagi jalur antena dan juga satu slot kad SIM yang boleh dibuka menggunakan pin yang tersedia dalam kotak pembungkusan. Apabila ditarik keluar, slot kad itu hanya tersedia dengan dua slot untuk kad SIM bersaiz nano dan tiada slot kad microSD ditemui pada Huawei Nova 4.

“Nantikan ulasan penuh Huawei Nova 4 daripada kami tidak lama lagi…”

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend