Poco F1 Diperkenalkan – Peranti Murah Berspesifikasi Tinggi Daripada Sub-Jenama Xiaomi Comments Off on Poco F1 Diperkenalkan – Peranti Murah Berspesifikasi Tinggi Daripada Sub-Jenama Xiaomi

Penantian Poco F1 akhirnya berakhir apabila Xiaomi memperkenalkan sub-jenama mereka di India semalam. Produk sulong Poco ini dilengkapi perkakasan dengan spesifikasi tinggi dan apa yang menariknya ialah tanda harga yang jauh lebih murah berbanding peranti daripada jenama lain.

Poco F1 hadir dengan skrin bertakuk 6.18-inci beresolusi FHD+. Ia dikuasakan cipset Qualcomm Snapdragon 845 serta memori 6GB RAM disamping storan seluas 128GB. Malah untuk varian yang lebih atas, Poco F1 ditawarkan dengan memori 8GB RAM dan 256GB storan berteknologi UFS 2.1 untuk pemindahan data yang pantas terutamanya semasa menggunakan storan luaran misalnya OTG.

Melalui tubuh badan logam, Poco F1 dilengkapi dwi kamera utama yang menempatkan sensor 12MP dan 5MP sementara kamera depan dengan sensor 20MP. Seperti peranti induk lain di pasaran, kamera-kamera ini juga menawarkan penggambaran AI untuk pengalaman fotografi yang lebih sempurna.

Poco F1 dibekalkan dengan bateri yang cukup besar. Bateri berkapasiti 4,000mAh ini boleh dicas pantas menggunakan kabel USB Type-C menerusi teknologi Quick Charge 3.0. Menurut Xiaomi, ia boleh memainkan permainan mudah alih sehingga 8 jam dan 6 jam untuk main semula video FHD. Untuk mengurangkan haba semasa telefon beroperasi, Xiaomi telah meletakkan Poco F1 ini dengan sistem penyejukan cecair. Jadi, peranti ini boleh dikategorikan sebagai telefon pintar gaming yang setanding dengan Xiaomi Black Shark.

Daripada segi perisian, Poco F1 dijana antaramuka MIUI khas yang dipanggil MIUI for Poco. Ciri lain yang turut dimuatkan ialah Poco Launcher dan Turbocharged Engine dimana ia berupaya untuk tingkatkan prestasi pemproses dalaman. Xiaomi memaklumkan, dengan antaramuka terbaharu ini ia membolehkan pengguna Poco F1 menerima kemas kini perisian lebih awal dan tambah Xiaomi ia akan dilanjutkan ke peranti Poco lain di masa akan datang.

Poco F1 didatangkan dengan pilihan warna seperti Graphite Black, Steel Blue, Rosso Red, dan warna istimewa Armored Edition yang diperbuat daripada bahan gentian asli Kevlar. Ia dijual pada harga bermula Rs19,999 (~RM1,171) untuk varian permulaan, Rs22,999 (~RM1,347) untuk varian pertengahan, dan Rs27,999 (~RM1,640) untuk varian 8GB + 256GB!

Namun harga yang ditawarkan adalah untuk penjualan kumpulan pertama di India. Untuk pasaran Malaysia pula, Xiaomi masih belum umumkan apa-apa. Bagaimanapun, kami ada dengar pengedar terbesar Satu Gadget Dot Com bercadang untuk membawa Poco F1 masuk.

Spesifikasi

  • 6.18″ IPS LCD FHD+ 2246 x 1080p
  • Corning Gorilla Glass 5
  • Android 8.1 Oreo + MIUI for Poco
  • Qualcomm Snapdragon 845
  • Memori sehingga 8GB RAM
  • Storan sehingga 256GB UFS 2.1
  • Bateri 4,000mAh QC 3.0
  • Kamera utama 12MP + 5MP AI
  • Kamera depan 20MP AI
  • Audio sokong Dirac HD Sound dan Dual Smart PA
  • Bluetooth v5.0, LTE+, VoLTE, Penyejukan cecair, bicu audio

Pembetulan: Bodi bukan logam tetapi plastik polikarbonat.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend