Perlukah Anda Risau Tentang Sinaran Biru Yang Dipancarkan Dari Paparan Skrin Telefon Pintar?! Comments Off on Perlukah Anda Risau Tentang Sinaran Biru Yang Dipancarkan Dari Paparan Skrin Telefon Pintar?!

“Pernahkah anda terfikir kenapa kita lebih mudah tidur pada waktu malam berbanding waktu siang, malah ada sesetengah individu lebih cenderung untuk memastikan persekitaran yang sangat gelap untuk memudahkan mereka untuk tidur?”

Untuk pengetahuan anda pada waktu siang, kita terdedah dengan pancaran cahaya matahari yang memiliki sinar biru dan ini secara tidak langsung akan menyebabkan penghasilan melatonin di dalam badan telah dikurangkan. Kadar hormon melatonin yang rendah secara tidak langsung akan menyebabkan anda tidak rasa mengantuk. Jadi di dalam artikel ini, kami akan berkongsi dengan anda tentang sinar biru dan juga bahayanya terhadap kesihatan…

Peranti digital menghasilkan Sinar Biru

Selain cahaya matahari, tanpa anda sedar peranti digital yang digunakan dalam kehidupan seharian sebenarnya telah menjadi penyumbang utama terhadap pendedahan sinar biru pada tubuh kita. Berikut adalah antara peranti digital dan juga peralatan rumah yang menghasilkan sinar biru:

  • Telefon mudah alih / pintar
  • Komputer / Komputer riba
  • Televisyen LED / LCD
  • Tablet
  • Lampu kalimantang / LED

Apa itu Sinar Biru?!

Seperti yang kami kongsikan, sinar biru sebenarnya terdapat di mana-mana sahaja dan tidak dinafikan agak sukar untuk kita menghindarinya dalam gaya hidup serba moden ini. Menurut pakar oftalmologi iaitu Bernard Godley dari Yayasan Retina Barat Daya Dallas, Amerika Syarikat, sinar biru adalah bahagian cahaya yang paling bertenaga dalam spektrum cahaya tampak.

Jarak gelombang sinar biru ialah pada julat 380 hingga 500 nanometer (nm) dan ia dianggap paling berpotensi dan berbahaya terhadap sel-sel retina yang berada pada julat 415 hingga 455 nm. Berbeza dengan sinar cahaya tampak (warna kemerahan) menyokong panjang gelombang yang lebih jauh, sinar biru pula memiliki panjang gelombang yang lebih pendek sekaligus menyumbang kepada tenaga yang lebih tinggi.

Kesan negatif Sinar Biru terhadap kesihatan mata kita

Secara asasnya, kebanyakan peranti digital mempunyai satu perkara yang sama iaitu semuanya mengeluarkan sinar biru, sejenis cahaya bertenaga tinggi yang sangat berbahaya kepada mata kita. Sinar biru ada di mana-mana dan sentiasa dikeluarkan daripada pencahayaan belakang LED telefon pintar, komputer, komputer riba dan juga tablet.

Pendedahan yang bertambah dan berpanjangan kepada sinar biru boleh menyebabkan kerosakan retina iaitu lapisan tisu di belakang mata yang sensitif terhadap cahaya, dan kedua-dua retina dan makular (terletak di bahagian belakang retina) yang telah rosak tidak boleh dihasilkan semula atau diganti.

Apabila kerosakan berlaku, mata akan terdedah dengan lebih banyak kepada sinar biru, sinar UV daripada cahaya matahari dan lain-lain faktor alam sekitar yang berbahaya. Ini akan meningkatkan risiko kerosakan penglihatan untuk jangka masa panjang kerana sinar biru membawa kepada ketegangan mata yang akan menyumbangkan masalah seperti penglihatan yang kabur, mata kering dan sebagainya.

Pendedahan kepada sinar biru boleh membawa kepada degenerasi makular berkaitan usia

Kajian terkini mendapati bahawa pendedahan berterusan terhadap sinar biru boleh merosakkan sel-sel retina dan menyebabkan masalah degenerasi makular berkaitan usia (AMD). AMD ialah penyebab kerosakan visual dan penyebab buta yang  paling biasa berlaku di kalangan warga tua.

Retina ialah lapisan tisu yang sensitif kepada cahaya di belakang mata bahagian dalam. Ia boleh dirosakkan oleh radiasi tampak bertenaga tinggi seperti sinar biru ataupun sinar UV yang menembusi pigmen makular di dalam mata. Menurut satu kajian yang dijalankan oleh Institut Mata Schepens, pigmen makular dengan ketumpatan yang rendah boleh memberi faktor risiko kepada AMD dengan menjadi penyumbang kerosakan disebabkan oleh sinar biru.

Tidak semua sinar biru itu berbahaya…

Jika benar sinar biru itu berbahaya, kenapa kita tidak terus halang sahaja semua sinar biru ini pada setiap masa?! Sebenarnya ia bukanlah sesuatu yang patut dilakukan kerana pendedahan terhadap sinar biru masih ada kebaikannya terhadap kesihatan. Melalui penyelidikan yang pernah dijalankan, tenaga tinggi yang terdapat dalam sinar biru mampu membantu meningkatkan kewaspadaan, membantu ingatan serta fungsi kognitif, dan juga meningkatkan mood.

Malah, sinar biru juga turut dipraktikkan dalam terapi cahaya untuk merawat gangguan afektif bermusim (SAD) – sejenis kemurungan yang berkaitan dengan perubahan pada musim, dengan gejala biasanya bermula pada musim gugur dan berterusan hingga musim sejuk. Sumber cahaya untuk terapi ini memancarkan cahaya putih terang yang mengandungi sejumlah besar sinar cahaya HEV biru.

Langkah pencegahan atau mengurangkan pendedahan terhadap sinar biru

Kajian dari Universiti Manchester telah melaporkan bahawa gelombang pendek pada sinar biru yang dipancarkan daripada telefon pintar atau tablet boleh mengganggu metabolisme badan dan menyebabkan penghasilan hormon melatonin. Oleh itu adalah digalakkan untuk anda berhenti menggunakan peralatan elektronik sekurang-kurangnya sejam sebelum masuk tidur.

Selain itu, anda juga sebenarnya digalakkan untuk mengaktifkan mod untuk menyekat penghasilan sinar biru dari skrin telefon pintar atau tablet. Malah telefon pintar moden sekarang telah menyokong pengaktifan mod ini secara automatik bergantung kepada masa yang telah ditetapkan oleh pengguna. Bergantung kepada pengeluar telefon pintar, nama yang digunakan untuk mod ini adalah berbeza-beza seperti berikut:

  • Samsung – Blue light filter
  • Huawei – Comfort eye
  • Xiaomi – Read mode
  • Apple – True tone
  • ASUS – Night light
Previous ArticleNext Article

Send this to a friend