[Perbandingan] Samsung Galaxy S10+ Dengan Huawei Mate 20 Pro – Manakah Lebih Baik? Comments Off on [Perbandingan] Samsung Galaxy S10+ Dengan Huawei Mate 20 Pro – Manakah Lebih Baik? 19368

Samsung telah memperkemaskan portfolio mereka dengan melancarkan siri Galaxy S10. Naik taraf yang dilakukan pada model ini juga menawarkan beberapa ciri menarik untuk sebuah peranti mercu. Kali ini tiga model diperkenalkan berbanding dua model pada tahun lepas.

Bagaimanapun dalam artikel ini kami ingin membuat sedikit perbandingan mengenai peranti terbaharu Samsung Galaxy S10+ dengan peranti mercu daripada China, Huawei Mate 20 Pro yang telah dilancarkan hampir lima bulan yang lalu. Dengan perbandingan ini juga, mungkin sedikit sebanyak dapat mengenal pasti manakah peranti yang terbaik buat masa ini.

Pusingan 1: Kuasa Pemproses

Di Malaysia, Samsung Galaxy S10+ dikuasakan cipset Exynos 9820 – berbanding Snapdragon 855 untuk sesetengah pasaran luar. Setakat ini, ia merupakan cip pemproses paling berkuasa daripada Samsung malah siri Galaxy S10 merupakan barisan pertama yang menggunakannya.

Sementara lawannya, Huawei Mate 20 Pro pula hadir dengan Kirin 980 – juga peranti Huawei pertama yang menggunakan cip generasi terbaharu ini. Kedua-dua cip pemproses ini menyokong pelbagai ciri terbaharu termasuk unit kecerdasan buatan termaju yang dibina di atas cip berasaskan 7nm.

Daripada segi prestasi, kebanyakan aplikasi penanda aras menunjukkan Exynos 9820 memperoleh skor yang sedikit tinggi berbanding Kirin 980. Bagaimanapun, kami percaya jika digunakan secara realiti, pengguna tidak akan menyedari perbezaan prestasi untuk kedua-dua peranti. Pusingan ini berpihak kepada S10+.

Samsung Galaxy S10+: 1

Huawei Mate 20 Pro: 0

Pusingan 2: Rangkaian Selular dan Sambungan Tanpa Wayar

Huawei merupakan peneraju dalam bidang rangkaian dan infrastruktur sambungan tanpa wayar. Ini sekaligus memberikan Huawei Mate 20 Pro satu kelebihan yang telefon pintar lain mungkin tidak dapat. Seperti contoh, Huawei Mate 20 Pro menawarkan sokongan teknologi dwi-VoLTE menerusi ciri dwi-SIM. Ciri ini seterusnya membolehkan pengguna menjawab dua panggilan pada masa yang sama daripada SIM yang berbeza.

Sementara pada Samsung Galaxy S10+ pula, ia hanya membawakan slot hibrid kepada pengguna. Jadi, pengguna tidak mampu menjawab dua panggilan pada masa yang sama yang mampu dilakukan oleh lawannya. Tetapi, peranti Samsung ini mempunyai satu kelebihan dimana ia menyediakan sokongan sambungan tanpa wayar yang lebih canggih. Menerusi teknologi 802.11AX Wi-Fi 6, ia membolehkan kelajuan Wi-Fi meningkat naik sebanyak 20% berbanding teknologi Wi-Fi standard.

Pusingan ini melihatkan kedua-dua peranti memiliki kelebihan dan kekurangan tersendiri. Jadi keputusannya dalah seri.

Samsung Galaxy S10+: 2

Huawei Mate 20 Pro: 1

Pusingan 3: Kapasiti Bateri dan Pengecasan

Samsung Galaxy S10+ menawarkan kapasiti bateri 4,100mAh sementara Huawei Mate 20 Pro pula menyediakan bateri yang sedikit besar iaitu 4,200mAh. Tidak cukup dengan angka yang membezakan bateri, Huawei turut hadir dengan teknologi pengecasan pantas SuperCharge 40W. Ia membolehkan pengguna pengecas peranti dalam tempoh yang singkat tanpa perlu menunggu lama – tidak seperti Samsung yang cuma menawarkan pengecasan Adaptive Fast Charging 20W.

Bagaimanapun, kedua-dua peranti ini menyokong pengecasan tanpa wayar yang pantas – terima kasih pada lilitan koil yang besar disebalik panel gelas. Tetapi, tidak semua pengguna gemarkan ciri ini kerana ia sebenarnya memerlukan masa yang lebih panjang berbanding mengecas meggunakan wayar. Apa-apapun pusingan ini adalah milik Mate 20 Pro.

Samsung Galaxy S10+: 2

Huawei Mate 20 Pro: 2

Pusingan 4: Teknologi Pengimbas Cap Jari

Bercakap tentang teknologi pengimbas cap jari, ini mungkin perkara yang tidak begitu kritikal kerana selagi ia menawarkan cap jari, pengguna akan terus menghargainya. Tetapi apa yang diterapkan pada Samsung Galaxy S10+ adalah teknologi pengimbas cap jari dalam skrin yang lebih maju.

Sensor pengimbas cap jari ultrasonik yang digunakan pada peranti Samsung ini merupakan pertama di dunia malah dilaporkan lebih pantas, lebih tepat, dan lebih selamat berbanding pengimbas cap jari tradisional. Tetapi kekurangannya pula adalah ia tidak mampu membaca cap jari pengguna sekiranya tempered glass yang digunakan agak tebal.

Pada Huawei Mate 20 Pro pula, ia hadir dengan teknologi pengimbas cap jari yang dipanggil sensor pengimbas cap jari optikal. Setiap kali jari diletakkan, paparan skrin akan menyala untuk menerangkan bahagian jari bagi memudahkan sensor membuat imbasan.

Kedua-dua teknologi ini melakukan kerja mereka dengan baik sekali. Tetapi berdasarkan pengalaman kami, pengimbas cap jari pada Mate 20 Pro adalah lebih cepat memberi respon. Oleh itu, pusingan ini kami berpihak kepada Huawei Mate 20 Pro.

Samsung Galaxy S10+: 2

Huawei Mate 20 Pro: 3

Pusingan 5: Bicu Audio 3.5mm

Pusingan yang mudah untuk kami membuat keputusan. Samsung Galaxy S10+ hadir dengan bicu audio 3.5mm yang semakin pupus – termasuklah pada Huawei Mate 20 Pro. Jadi pemenang pusingan ini anda pasti tahu siapa.

Samsung Galaxy S10+: 3

Huawei Mate 20 Pro: 3

Pusingan 6: Rekaan

Samsung Galaxy S10+ kini dikemas kini dengan elemen yang hampir sama dengan S8 dan siri S9 – menjadikan ia tampak biasa berbanding Huawei Mate 20 Pro yang kita sedia maklum menjalani perubahan kosmetik yang ketara. Lihat sahaja pada rekaan modul kamera yang lebih segar, kerangka badan yang lebih nipis, dan warna gradien yang memukau.

Ini sekaligus menjadikan Huawei Mate 20 Pro kelihatan lebih premium dan serba baharu yang membuatkan pengguna terasa lebih teruja untuk menggunakannya. Pusingan ini kami berikan kepada Huawei Mate 20 Pro kerana warna Twilight-nya yang menawan. Jadi, untuk rekaan dimenangi oleh Mate 20 Pro.

Samsung Galaxy S10+: 3

Huawei Mate 20 Pro: 4

Pusingan 7: Paparan

Samsung Galaxy S10+ didatangkan dengan paparan 6.4-inci QHD+ Dynamic AMOLED, sementara Huawei Mate 20 Pro pula hadir dengan skrin 6.39-inci 2K+ Flexible AMOLED. Melalui perbandingan kedua-dua paparan ini, peranti Huawei mungkin tidak setanding dengan peranti Samsung kerana ia tidak menyokong ciri HDR10+.

Selain daripada itu, takuk yang tersemat pada paparan Mate 20 Pro pula menjadikan ia kelihatan ketinggalan di belakang. Kita juga tahu trend tahun ini akan terarah kepada skrin berlubang. Akhir sekali, bingkai yang nipis pada Galaxy S10+ membuatkan pengguna pengalaman visual berasa lebih puas lebih-lebih lagi kontras dan warna paparan Samsung ini yang lebih jitu. Kemenangan berpihak kepada S10+.

Samsung Galaxy S10+: 4

Huawei Mate 20 Pro: 4

Pusingan 8: Prestasi Kamera

Samsung Galaxy S10+ telah menggegar senarai DxOMark apabila berjaya menduduki kedudukan yang sama dengan Huawei Mate 20 Pro. Dengan skor seri sebanyak DxOMark 109, kedua-dua peranti berjaya menghasilkan gambar yang baik untuk pelbagai situasi fotografi. Dibawah merupakan contoh hasil gambar daripada lensa bersudut lebar untuk kedua-dua peranti.

Oleh kerana dua peranti ini berjaya mendapatkan gambar yang sempurna dan cantik, kami berikan kemenangan pusingan ini kepada S10+ dan Mate 20 Pro.

Samsung Galaxy S10+: 5

Huawei Mate 20 Pro: 5

Pusingan 9: Keselesaan

Apabila bercakap tentang keselesaan, kami mendapati Samsung Galaxy S10+ memiliki butang fizikal yang jauh daripada capaian jari. Penggunaan satu tangan agak sukar kerana kami perlu beralih posisi tangan sewaktu mengoperasikan peranti ini.

Berlainan dengan Huawei Mate 20 Pro, hampir kesemua butang berada dalam capaian jari. Jadi, kami tidak perlukan tangan kedua untuk menyentuh peranti. Kami tahu kedua-dua peranti ini ada ciri one-hand-mode, tetapi kami yakin ciri ini jarang digunakan oleh pengguna.

Untuk mengimbas jari pula, kami rasakan pengimbas Mate 20 Pro berada sedikit di atas berbanding Galaxy S10+. Oleh itu, tidaklah kami rasakan jari ini perlu dibengkokkan sangat. Pusingan ini kami berikan kepada Huawei Mate 20 Pro.

Samsung Galaxy S10+: 5

Huawei Mate 20 Pro: 6

Pusingan 10: Storan dan Simpanan Tambahan

Samsung Galaxy S10+ didatangkan dengan teknologi storan simpanan yang berteknologi terkini UFS 3.0 – yang membolehkan peranti membaca dan menulis data pada tahap yang lebih pantas berbanding UFS 2.1 pada Huawei Mate 20 Pro. Selain daripada itu, peranti Samsung ini juga menyediakan dulang untuk kad memori dimasukkan – yang mana boleh mencapai sehingga 1TB.

Bukan Mate 20 Pro tidak menyokong ciri ini tetapi ia memerlukan kad memori bersaiz nano yang mana dijual pada harga yang tinggi. Contohnya untuk kad NM Huawei 128GB, pengguna perlu membelanja sebanyak RM298 untuk sekeping kad yang saiznya lebih kecil daripada syiling 5 sen. Pusingan ini kami sudah tentu berpihak kepada Galaxy S10+.

Samsung Galaxy S10+: 6

Huawei Mate 20 Pro: 6

Kesimpulan

Kedua-dua peranti Samsung Galaxy S10+ dan Huawei Mate 20 Pro berjaya mendapatkan markah seri 6-sama untuk keseluruhan pusingan. Dua peranti ini juga menawarkan kebaikan dan keburukan yang seimbang. Daripada segi harga, Huawei Mate 20 Pro kini dijual pada harga yang jauh lebih rendah berbanding Galaxy S10+. Jika anda inginkan peranti terbaharu, mungkin anda tidak kisah untuk berbelanja lebih, tetapi sekiranya inginkan penjimatan peranti Huawei mungkin jalan yang terbaik.

→ Jangan lupa ikuti kami di Facebook TeknoRatz!

Sumber

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend