Peranti Gaming Nubia Red Magic Serta Spesifikasinya Kini Didedahkan Kepada Umum Secara Rasmi Comments Off on Peranti Gaming Nubia Red Magic Serta Spesifikasinya Kini Didedahkan Kepada Umum Secara Rasmi

Jika Razer hadir dengan peranti gaming pertama keluarannya dengan kemunculan Razer Phone, dan Xiaomi pula mempertaruhkan Black Shark, kini Nubia juga tidak mahu ketinggalan dengan memperkenalkan Red Magic untuk gamers di luar sana. Tetapi adakah kemunculan peranti gaming pertama dari Nubia ini mampu bersaing dengan dua lagi peranti gaming yang terlebih dahulu diperkenalkan sebelum ini?!

Dari segi rekaan luaran, Nubia Red Magic menampilkan ciri-ciri rekaan sebuah peranti gaming yang sememangnya mampu menarik perhatian kerana ia kelihatan unik dan sangat menyerlah dengan sokongan jalur LED pada panel belakangnya. Malah rekaan kerangkanya juga berupaya memastikan peranti tidak berhadapan dengan isu overheating kerana ia menyokong tiga lapisan grafit dan juga tiga gril aliran udara.

Terdapat satu jalur lampu LED pelbagai warna yang menyerlahkan lagi Nubia Red Magic sebagai peranti gaming yang serius.

Pengalaman bermain juga terasa lebih menyeronokkan kerana Nubia Red Magic hadir dengan teknologi audio DTS dengan sistem Smart Amplifier, dan juga integrasi DAC yang menjanjikan bunyi yang lebih berkualiti. Sokongan skrin 5.99 inci (2160 x 1080 piksel) dengan nisbah paparan 18:9 ini juga menjanjikan ketahanan yang lebih baik melalui penggunaan panel skrin NEG Dinorex T2X-1 yang tahan hentakan dan kalis calar.

Masa penggunaan Nubia Red Magic pula tidak begitu mengecewakan kerana ia menawarkan bateri berkapasiti 3800 mAh dengan teknologi pengecasan pantas. Bahkan berdasarkan kepada ujian di dalam makmal yang dijalankan, pengguna boleh memainkan permainan Arena of Valor sehingga mencecah 7 jam. Walau bagaimanapun, sedikit mengecewakan kerana peranti gaming ini hanya dikuasakan dengan pemproses Qualcomm Snapdragon 835, dan bukannya Snapdragon 845 yang terbaru.

Sokongan butang dedikasi GameBoost Switch membolehkan prestasi peranti dioptimumkan ketika bermain.

Nubia Red Magic boleh dibeli melalui laman Indiegogo mulai 26 April 2018 pada harga USD399 (kira-kira RM1,535). Manakala untuk pasaran di China pula ia tersedia di pasaran pada 25 April 2018 dengan harga jualan CNY2,499 (kira-kira RM1,535) untuk model 64GB + RAM 6GB, manakala model 128GB + RAM 8GB pula dijual pada harga CNY2,999 (kira-kira RM1,864).

Terdapat dua warna pilihan ditawarkan iaitu merah dan hitam.

Spesifikasi Nubia Red Magic:

  • Nubia Red Magic OS (Android 8.1 Oreo)
  • Dual SIM (Nano)
  • 4G LTE
  • 5.99 inci LCD FHD+ (2160 x 1080 piksel, 18:9)
  • Qualcomm Snapdragon 835 (Octa Core 2.45 GHz)
  • Adreno 540
  • RAM 6/8GB
  • ROM 64/128GB
  • Kamera utama : 24 Megapiksel (Isocell, Aperture f/1.7)
  • Kamera hadapan : 8 Megapiksel (76.9° wide-angle, Aperture f/2.0)
  • WiFi 802.11 a/b/g/n/ac, Bluetooth 5.0, GPS, GLONASS, BeiDou
  • Pengimnas cap jari
  • USB Type-C
  • Butang dedikasi GameBoost Switch
  • 3,800mAh (teknologi pengecasan pantas)
  • Pilihan warna : Red, Black

Sumber: REDMAGIC

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend