OPPO Reno3/Reno3 Pro Kini Rasmi Dengan Sokongan 5G, VOOC 4.0, Skrin 90Hz, Dimensity 1000L Comments Off on OPPO Reno3/Reno3 Pro Kini Rasmi Dengan Sokongan 5G, VOOC 4.0, Skrin 90Hz, Dimensity 1000L

Seperti yang dijadualkan, OPPO hari ini telah melancarkan barisan siri-Reno terbaru menerusi model OPPO Reno 3 dan Reno 3 Pro. Kedua-dua telefon ini hadir dengan spesifikasi tinggi cuma dibezakan dalam beberapa aspek, salah satunya ialah penggunaan cipset yang berada dalam kelas berbeza. Tetapi apa yang menarik, kedua-duanya menyokong rangkaian 5G dan cip pemproses terbaru.

OPPO Reno3 Pro

Reno3 Pro dilengkapi paparan OLED 6.5-inci dengan sokongan kadar segar semula 90Hz yang menyertakan lubang kamera pada skrin. Panel skrin ini dikatakan mempunyai kadar pengesanan sentuhan setinggi 180Hz untuk tujuan permainan yang lebih lancar. Ia turut menyokong DCI-P3 bersama HDR10+ bagi melengkapkan keupayaan skrin.

Reno3 didatangkan dengan kamera 5x zum hibrid yang menempatkan 2x zum optikal dengan keseluruhan empat lensa dibelakang. Konfigurasi kamera adalah 48MP + 8MP ultralebar + 2MP monokrom + 13MP telefoto selain 32MP kamera swafoto.

Reno3 dibekalkan bateri 4025mAh serta menyokong pengecasan pantas 30W VOOC 4.0 yang membolehkan bateri dipenuhkan daripada 0% ke 50% dalam masa 20 minit dan 70% pula hanya dalam tempoh setengah jam.

Telefon ini menyertakan pembesar suara stereo dan dijalankan di atas sistem operasi ColorOS 7 berasaskan Android 10. Reno3 Pro akan dijual mulai 10 Januari 2020 di China.

Ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu White, Black, Starry Night Blue, dan Sunrise, Reno3 Pro memakai tanda harga CNY3999 (~RM2359) untuk varian 8GB/128GB. Manakala untuk varian atas 12GB/256GB ia dijual pada harga CNY4499 (~RM2654) sebuah.

OPPO Reno3

Reno3 ialah peranti kelas pertengahan dengan paparan OLED 6.5-inci sama seperti model diatasnya. Bezanya ialah kamera depan dikurungkan didalam takuk titisan air tetapi menerusi sensor yang sama 32MP.

Dibahagian belakang, kamera dibariskan secara menegak menggabungkan sensor 64MP + 8MP ultralebar + 2MP monokrom + 2MP telefoto – sama seperti Reno3. Peranti ini masih mendapat teknologi sokongan pengecasan terbaru, VOOC 4.0 pada bateri berkapasiti 4035mAh. Pengimbas cap jari pada skrin dengan sistem operasi terbaru telah melengkapkan spesifikasi peranti.

Tersedia dalam pilihan warna White, Black, Starry Night Blue, dan Sunrise, Reno3 bakal berada di pasaran China pada hujung bulan ini dengan harga CNY3399 (~RM2005) untuk 8GB/128GB manakala pilihan varian 12GB/128GB berharga CNY3699 (~RM2182) sebuah.

OPPO Reno3/Reno3 Pro

Pada sistem pemproses, ada sedikit yang pelik disini kerana walaupun Reno3 Pro menggunakan nama Pro ia hanya dikuasakan cipset kelas pertengahan iaitu Snapdragon 765G sementara model bukan Pro menerima janaan cip MediaTek Dimensity 1000L.

Menurut pengeluar, MediaTek Dimensity 1000L dilengkapi empat Cortex-A77 dan empat Cortex-A55 selain menggunakan GPU Mali-G77. SoC ini mendapat gelaran dari pengeluarnya sebagai “SoC sub-6GHz 5G paling pantas di dunia” memandangkan ia mampu mencapai kepantasan muat turun sehingga 4.7Gbps menerusi rangkaian 5G.

Untuk pengetahuan anda, kedua-dua peranti masih menyokong 2G sekiranya pengguna berada di kawasan pedalaman yang mempunyai rangkaian terhad.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend