OPPO R15 Pro: Perkara Yang Perlu Anda Tahu Sebelum Membeli Peranti Ini Comments Off on OPPO R15 Pro: Perkara Yang Perlu Anda Tahu Sebelum Membeli Peranti Ini

OPPO jenama yang tidak perlu diperkenalkan lagi terkini tampil dengan peranti kelas induk yang diberi nama OPPO R15 Pro. Beruntung juga kita di Malaysia kerana terima varian Pro. Dengar sahaja Pro, kita boleh jangka perantinya mestilah lengkap dengan barang-barang yang ‘baik’.

OPPO R15 Pro dibawa masuk ke pasaran tempatan bulan lalu dengan tanda harga yang sedikit tinggi. Walaupun begitu, ciri-ciri yang dimuatkan dikatakan mampu membuatkan pengguna tertarik. Apabila kami menerima peranti ini, antara ciri yang dibawakan ialah skrin bertakuk, sistem dwi kamera, pengecasan pantas berteknologi VOOC, dan rekaan unibodi yang premium.

Harga : RM2,399

Aspek #1 – Warna Dua Tona

Reka bentuk pada peranti ini dibina dengan badan berasaskan gelas. Sebaik kami mengangkat peranti ini, ia terasa premium lebih-lebih lagi warna yang ditawarkan pula didatangkan dengan warna dua tona. Untuk unit ulasan, kami menerima Cosmic Purple dan difahamkan terdapat satu lagi warna yang dibawa masuk iaitu Ruby Red.

Aspek #2 – Skrin 19:9 FHD+

Skrin bertakuk telah menjadi kebiasaan untuk telefon pintar tahun 2018. Ia masih janggal untuk sesetengah pengguna yang tidak sukakan takuk pada skrin. Namun, skrin yang digunakan bukan biasa-biasa malah menyokong resolusi berkualiti tinggi FHD+ 1080 x 2280 piksel. Teknologi OLED yang diguna pakai pula tidak sama seperti peranti OPPO yang lain. Skrin OLED ini berfungsi dengan mematikan piksel apabila paparan skrin memaparkan warna hitam. Maka bila warna hitam ia benar-benar berwarna hitam.

Aspek #3 –  Dwi Kamera Sony IMX

Kami tahu telefon pintar dengan dwi kamera sudah banyak di pasaran, ada juga yang dijual pada harga dibawah RM1,000. Tapi, untuk OPPO R15 Pro ia dibekalkan dengan sensor berteknologi IMX daripada Sony. Gabungan sensor 16MP dan 20MP menjadikan jabatan kamera mantap bersama bantuan LED flash disamping aperture f/1.7. Ringkasnya, penggambaran dalam gelap masih lagi kelihatan cerah.

Aspek #4 – Kamera Depan AI versi 2.0

Kamera depan pada takuk bersebelahan earpiece

Bagi golongan yang gemarkan swafoto cantik, R15 Pro menawarkan kamera depan 20MP berteknologi AI. Integrasi AI ini membolehkan peranti mengenal pasti keadaan persekitaran sekaligus mengubah serta melaras gambar menjadi lebih baik. Terdapat 120 scene pada sistem ini bersama ciri 3D lighting yang pertama digunakan pada peranti OPPO. Apa itu 3D Lighting, teruskan membaca..

Aspek #5 – Unit Pengecasan VOOC

Dibahagian bawah terdapat bicu audio, bicu microUSB, dan speaker

Sistem pengecasan menjadi perkara penting dalam pemilihan telefon pintar. Untuk OPPO R15 Pro, ia menyokong pengecasan pantas flash charge VOOC dengan kuasa output tinggi 5V/4.5A (standard 5V/1A). Melalui sistem ini, anda boleh menjimatkan masa tanpa menunggu lama. Namun, apa yang menyedihkan ialah port yang disediakan masih berada di zaman Blackberry kerana tidak menggunakan USB Type-C.

Aspek #6 – Pemproses Yang Bertenaga

Aspek ini menjadi perkara penting dalam pemilihan telefon pintar. Tapi, ada juga segelintir yang tidak endahkan faktor ini selagi telefon itu kelihatan cantik di mata mereka. Untuk model ini, OPPO telah meletakkan cip pemproses Qualcomm Snapdragon 660 (kelas pertengahan) dengan memori RAM 6GB dan storan seluas 128GB. Perisian pula menawarkan antaramuka ColorOS 5.0 berasaskan Android Oreo. Dengan kombinasi pemproses dan memori yang berkuasa, membuka aplikasi game akan menjadi lebih lancar dan stabil.

Aspek #7 – Kalis Air Serta Debu IP67

Lapisan getah yang berfungsi untuk menghalang air daripada masuk kedalam peranti

Apa yang membuat sesebuah telefon pintar itu mahal salah satunya ialah ia mesti dilengkapi tubuh badan kalis air dan debu. Jadi, selepas kami meneliti keseluruhan peranti ini, benar OPPO R15 Pro juga menyokong sokongan kalis air dengan pengiktirafan IP67.

Spesifikasi

  • 6.28” OLED FHD+ (1080 x 2280p)
  • Qualcomm Snapdragon 660
  • Android 8.1 Oreo / ColorOS 5.0
  • 6GB RAM / 128GB ROM
  • Dwi 16MP + 20MP Sony IMX519 f/1.7
  • 20MP f/2.0 Selfie AI 2.0
  • 3,430mAh VOOC flash charge
  • Kalis air dan debu IP67
  • Face unlock / pengimbas cap jari
  • NFC / Bluetooth v5.0 / bicu audio 3.5mm
  • Slot kad hibrid (nano+nano / nano+microSD)
  • Cosmic Purple / Ruby Red
  • 180g

Set Pembelian

(Kotak premium) Didalam terdapat sarung pelindung getah, kabel microUSB, adapter, fon telinga, manual, dan peranti

Ujian Prestasi

Sepanjang menggunakan peranti ini, kami masih belum mengalami sebarang isu lagging, bagaimanapun ujian penanda aras (benchmark) tetap akan dilakukan. Menerusi dua aplikasi terkenal AnTuTu dan GeekBench, kami lihat peranti ini mampu memberikan skor yang agak baik – mungkin disebabkan kapasiti RAM yang besar.

Ujian Pengecasan

Salah satu tarikan yang ada pada peranti ini ialah sistem pengecasan pantasnya. Teknologi VOOC memang terbukti tidak mengecewakan apabila ia hanya mengambil masa yang singkat sahaja untuk bateri dipenuhkan. Setelah melakukan ujian, bateri daripada 6% ke 100% hanya mengambil masa selama 94 minit atau lebih kurang 1 jam 34 minit.

Antaramuka

OPPO R15 Pro dioperasikan dengan antaramuka ColorOS 5.0 yang dibangunkan khusus untuk skrin bertakuk. Setiap aplikasi pra-pasang didalam peranti ini dipaparkan secara penuh lantas menjadikan pengalaman berinteraksi antara telefon dan pengguna lebih mesra.

Mod Game Khas

OPPO R15 Pro menawarkan ciri khusus untuk bermain game yang dinamakan Game Acceleration Mode. Mod pintar ini ditugaskan untuk mengawal pemprosesan telefon dalam masa sama melaras sistem menjadi lebih berprestasi supaya pengalaman bermain game lebih lancar. Mod ini diaktifkan secara automatik dan kami merasakan ia memberikan ketenangan minda kerana tiada notifikasi masuk disamping rangkaian internet juga tidak mudah terputus.

3D Lighting

Ada 5 efek khas pada 3D Lighting untuk dipilih

Ciri ini disediakan pada R15 Pro buat pertama kalinya dalam barisan peranti keluaran OPPO. Ia membolehkan anda mengambil gambar dengan latar belakang kabur bersama efek bokeh yang menarik (seakan iPhone X). Ciri kamera seperti ini tidak banyak ditawarkan pada peranti di luar sana. Jadi bagi yang inginkan kelainan dalam fotografi, R15 Pro mampu menggalasnya.

AR Sticker

Fungsi AR ada pada bahagian kamera depan dan belakang

Bagi anda yang gemarkan efek animasi dan efek yang ceria, kamera depan dimeriahkan lagi dengan adanya ciri AR Sticker. Ciri ini boleh diakses di menu kamera utama atau depan dan anda boleh gunakan ia sebagai rakaman gambar dan video.

Hasil Gambar

Rumusan

Pada awalnya kami menjangkakan peranti ini mampu beraksi lebih baik dan ada unsur ‘wow’, tetapi selepas menggunakan selama beberapa hari ia berada di tahap yang sederhana. Kebanyakan ciri yang dibawakan ada pada peranti jenama lain. Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan ia mempunyai rupa luaran yang seksi terutamanya pada warna dan binaan badan yang solid. Sistem antaramuka yang kemas pada ColorOS terbaru ini membuatkan ia lebih mudah digunakan serta tidak banyak bloatware (aplikasi tidak penting).

Pada harga melebihi RM2,000, kami yakin tidak ramai yang mahu membelanjakan wang mereka. Apa yang pasti, minat seseorang tidak sama dengan minat orang lain. Jadi, jika anda berminat untuk mendapatkan OPPO R15 Pro, ia antara telefon pintar tercanggih OPPO setakat ini di Malaysia.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend