
Pertengahan September 2019 yang lepas, OPPO Malaysia telahpun melancarkan telefon pintar kelas pertengahannya iaitu OPPO A9 2020, serentak dengan model OPPO A5 2020 untuk pasaran tempatan. Dijual pada harga RM1199, OPPO A9 2020 mula dijual secara rasmi di negara ini pada 28 September 2019.
Tidak dinafikan lagi bahawa persaingan telefon pintar dalam segmen harga sebegini sememangnya agak sengit kerana terdapat pelbagai model yang turut menawarkan sokongan spesifikasi dan juga harga yang kompetitif. Jadi bagi membantu anda untuk melihat sendiri kelebihan dan keistimewaan OPPO A9 2020, berikut adalah 9 yang perlu anda tahu tentangnya?!
#1. Skrin sebesar 6.5 inci dengan takuk kecil

Sekiranya anda sering menggunakan telefon pintar untuk menonton video ataupun melayari laman sosial, OPPO A9 2020 mampu memberikan lebih kepuasan. Ini kerana ia menyokong panel skrin IPS LCD berukuran 6.5 inci dengan rekaan takuk kecil yang sedikit sebanyak mampu mengurangkan gangguan pada paparan skrin.

Namun apa yang agak mengecewakan adalah paparan skrin peranti ini yang hanya menyokong setakat resolusi HD+ atau 1600 x 720 piksel. Selain menyebabkan paparan imej yang agak kurang tajam, kualiti penstriman video seperti di YouTube juga dihadkan pada resolusi 720p sahaja.
#2. Rekaan panel belakang ergonomik
Walaupun OPPO A9 2020 hadir dengan sokongan skrin yang besar, ia masih mampu memberikan rasa pegangan yang selesa. Ini kerana permukaan panel belakangnya menampilkan rekaan ergonomik 3D dengan permukaan melengkung pada kedua-dua sisi kiri dan kanan kerangkanya.

Tidak dinafikan rekaan panel belakangnya kelihatan seperti kaca, tetapi untuk pengetahuan anda ia sebenarnya diperbuat daripada polikaborbonat. Selain lebih mudah tercalar sekiranya tidak dijaga dengan baik, ia juga lebih mudah menerima kesan cap jari. Sungguhpun begitu, penampilannya kelihatan premium kerana kemasan warna cerun yang gelap ditengah ini menyokong efek biasan cahaya yang menarik.
#3. Kuad kamera 48MP daripada Sony IMX586
Keupayaan penggambaran peranti ini tidak mengecewakan kerana ia tersedia dengan lensa utama beresolusi 48MP (f/1.8) menggunakan sensor Sony IMX586. Selain daripada itu ia turut menyokong tiga lensa tambahan iaitu 8MP (Ultra Wide Angle, f/2.2), 2MP (Monochrome, f/2.4) dan juga 2MP (Depth sensor, f/2.4).

Dilengkapi dengan fungsi penggambaran AI, OPPO A9 2020 mampu menjanjikan hasil gambar yang lebih menonjol kualiti warnanya apabila anda mengaktifkan mod ‘Dazzle Color’. Manakala mod ‘Night’ pula memastikan hasil gambar yang lebih terang apabila anda mengambil gambar dalam persekitaran yang agak gelap.
#4. Bateri 5000mAh dengan pengecasan 10W
Ketahanan bateri pada OPPO A9 2020 sememangnya tidak mengecewakan kerana ia dilengkapi dengan bateri berkapasiti 5000mAh. Saiz bateri yang sangat besar ini dibantu lagi dengan penggunaan paparan skrin HD+ yang lebih jimat penggunaan bateri berbanding paparan skrin penuh. Tidak cukup dengan itu, anda juga boleh menggunakannya sebagai powerbank melalui penyediaan fungsi ‘Reverse Charging’.

Namun apa yang sangat mengecewakan adalah proses pengecasan yang akan mengambil masa jauh lebih lama untuk mengecas penuh baterinya. Ini kerana ia hanya tersedia dengan sokongan pengecasan 10W (5V2A) sahaja.
#5. Port sambungan USB Type-C

Jika sebelum ini peranti keluaran OPPO yang ditawarkan dalam segmen harga bawah RM1200 diperkenalkan dengan sambungan port microUSB, OPPO A9 2020 akhirnya telah dilengkapi dengan port sambungan jenis USB Type-C. Sokongan port sebegini sekurang-kurangnya memudahkan anda untuk menyambungkan kabel pada peranti ini walaupun di dalam gelap.
#6. Tiga slot kad berasingan
Sekiranya anda memiliki dua slot kad SIM yang aktif, OPPO A9 2020 membolehkan anda menggunakan kedua-dua kad pada slot yang disediakan. Malah anda juga boleh menggunakan kad microSD sehingga 256GB pada slot dedikasi yang disediakan pada peranti ini.
#7. Speaker stereo dengan Dolby Atmos

Kelebihan paling utama yang ada pada OPPO A9 2020 jika dibandingkan dengan pesaingnya yang lain adalah sokongan speaker stereo yang terletak pada bahagian bawah kerangka dan juga speaker kedua pada bahagian lubang earpiece. Tidak cukup dengan itu, kualiti audio daripada Dolby Atmos mampu menghasilkan bunyi keliling dan juga bass yang lebih berkuasa.
#8. Sokongan memori besar
Dikuasakan dengan cipset Qualcomm Snapdragon 665 dan dioperasikan oleh antaramuka ColorOS 6.0 (Android 9.0 Pie), ia turut menyokong memori yang agak besar. Tersedia dalam satu varian sahaja, OPPO A9 2020 didatangkan dengan ruang storan pantas jenis UFS 2.1 sebesar 128GB dan juga memori RAM 8GB (LPDDR4X).

Pengalaman permainan menggunakan OPPO A9 2020 ini juga akan turut dibantu oleh fungsi Game Space yang mampu meningkatkan prestasi ketika bermain, dan dalam masa yang sama menyekat sebarang notifikasi yang akan mengganggu kelancaran permainan.
#9. Pakej pembelian yang baik
OPPO A9 2020 boleh terus digunakan sebaik sahaja anda membelinya di kedai kerana ia siap diberikan dengan perlindungan asas seperti pelindung skrin biasa yang siap terpasang pada skrin, dan juga sarung pelindung jenis silikon jernih. Malah berbeza dengan pesaingnya yang ditawarkan dalam segmen harga yang sama, fon telinga berwayar turut diberikan secara percuma di dalam kotaknya.
Spesifikasi OPPO A9 2020:
- ColorOS 6 (Android 9.0 Pie)
- Qualcomm Snapdragon 665 (11nm)
- Lapan teras (4x 2.0GHz Cortex-A73 Kryo 260 Gold + 4x 1.8GHz Cortex-A53 Kryo 260 Silver)
- Adreno 610
- 8GB (LPDDR4X) + 128GB (UFS 2.1)
- microSD sehingga 256GB
- 6.5 inci HD+ IPS LCD Waterdrop Screen (1600 x 720 piksel)
- Kamera depan: 16MP (f/2.0)
- Kamera utama: 48MP (Sony IMX586, f/1.8) + 8MP (Ultra Wide Angle, f/2.2) + 2MP (Monochrome, f/2.4) + 2MP (Depth sensor)
- Rakaman video: 4K @ 30fps, 1080p @ 30fps, 720p @ 30fps
- WiFi 802.11ac, Bluetooth 5.0, USB Type-C, USB OTG
- 5000mAh (10W)
- Geomagnetic sensor, Proximity sensor, Light sensor, Acceleration, Gyro sensor
- 163.6 x 75.6 x 9.1mm / 195g
- Pilihan warna: Blue-Violet Gradient, Dark Green Gradient
- Harga: RM1,199
Hasil Gambar
Kesimpulan:
Dengan harga sekitar RM1200, tidak dinafikan terdapat beberapa model lain di pasaran yang menjanjikan sokongan spesifikasi yang lebih baik berbanding OPPO A9 2020. Ini jelas dapat dilihat melalui sokongan cipset lebih berkuasa, kehadiran teknologi pengecasan pantas dan juga paparan skrin dengan resolusi HD penuh.
Namun sekiranya anda sangat mementingkan kualiti audio yang terbaik, OPPO A9 2020 boleh dikatakan pilihan yang terbaik dan sukar ditemui pada peranti lain dalam segmen harga yang sama. Ini kerana ia dilengkapi dengan speaker stereo dengan sokongan Dolby Atmos yang menjanjikan kualiti bunyi yang sangat baik.
Video buka kotak OPPO A9 2020:
Baca juga: