OnePlus Concept One Sembunyikan Lensa Kamera Menggunakan Teknologi Cermin Kereta McLaren? Comments Off on OnePlus Concept One Sembunyikan Lensa Kamera Menggunakan Teknologi Cermin Kereta McLaren?

Di acara CES 2020, anak syarikat BBK Electronics iaitu OnePlus telah berjaya mencuri tumpuan pengunjung menerusi telefon pintar konsep yang dipamerkan. Dinamakan OnePlus Concept One, ianya merupakan peranti yang diinspirasikan daripada supercar McLaren.

Di sini OnePlus telah menggunakan kaca penutup lensa yang sama diguna pakai pada bumbung kereta produksi McLaren. Kaca ini boleh mengubah ketelusan cahaya mengikut tindak balas elektrik.

Gambar: Austin Evans

Senang cakap, kaca elektrokromik ini boleh menggelapkan dan menglutsinarkan kaca mengikut kehendak pengguna. Contoh kaca elektrokromik yang boleh anda jumpa adalah pada tingkap penumpang pesawat Boeing 787 Dreamliner sekiranya kereta McLaren terkini sukar ditemui di Malaysia.

Berbalik kepada telefon tadi, OnePlus turut meletakkan ND filter terbina pada kamera OnePlus Concept One. Ianya merupakan penapis cahaya yang sering digunakan pada kamera DSLR untuk rakaman persekitaran luar. Jika anda tahu bagaimana penapis ini berfungsi, ianya boleh mengurangkan pendedahan cahaya bagi menjadikan rakaman jadi lebih sempurna.

Gambar: Austin Evans

Menurut OnePlus, lensa kamera telefon ini akan muncul sebaik aplikasi kamera dilancarkan. Masa yang diambil untuk menyembunyikan/mengeluarkan lensa pula sekitar 0.7 saat.

Kita beralih pula pada bahagian binaan, OnePlus Concept One tampak mewah melalui bingkai bersalut emas tulen. Panel belakang yang dilapisi kulit tulen berwarna jingga yang sama seperti digunakan untuk ruang dalaman kereta McLaren juga menambah nilai estetik peranti.

Gambar: Austin Evans

Warna Papaya Orange telah digunakan sebelum ini, contohnya pada OnePlus 7T Pro McLaren Edition. Namun kali ini warnanya hampir meliputi 70 peratus badan OnePlus Concept One.

Telefon konsep ini menggunakan perkakasan dengan spesifikasi tertinggi tetapi adakah ia sesuai dipasarkan secara komersial. Kami pasti harganya melambung tinggi dan tidak mungkin OnePlus mahu menjual telefon mereka lebih mahal dari sebuah iPhone.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend