Nokia 6.1 Plus – Buatkan Kami Leka Dengan Skrin Dan Kamera Bothie 0 202

Kegemilangan Nokia terkubur sekitar tahun 2010 selepas pengguna mula beralih ke platfom Android. Kesilapan Nokia yang memilih Microsoft sebagai sistem operasi peranti pintar mereka membuatkan ramai pengguna tidak lagi memilih jenama Nokia. Kini Nokia telah bangkit semula dengan peranti terbaru menggunakan Android. Malahan hampir semua model yang dikeluarkan dibangun di bawah program Android One, termasuklah Nokia 6.1 Plus yang kami ketengahkan kali ini.

Spesifikasi

  • 5.8″ FHD+ IPS LCD 19:9 (2280 x 1080p)
  • 93% nisbah skrin-ke-kerangka
  • Qualcomm Snapdragon 636
  • Android asli + Android 8.1 Oreo
  • Memori 4GB + 64GB
  • Sokong microSD sehingga 400GB
  • Kamera utama 16MP AF f/2.0 + 5MP FF f/2.4
  • Kamera depan 16MP FF f/2.0
  • 3,060mAh USB Type-C (5V/2A)
  • Bluetooth 5.0 / Bicu audio / Pengimbas cap jari
  • Warna Hitam, Biru gelap, Putih
  • Berat 151g
  • RM1,149

Apa Yang Menarik?

#1 – Resolusi Skrin Tinggi dan Tajam

Nokia 6.1 Plus ialah satu daripada dua peranti Nokia yang dilengkapi takuk pada skrin. Skrin bersaiz 5.8-inci ini menyediakan paparan beresolusi FHD+ yang mana cukup baik untuk dilihat kerana ia tajam serta terang. Sebaik peranti dihidupkan wallpaper yang tersedia boleh membuatkan pengguna keliru dimana peranti ini seolah-olah menggunakan skrin paparan OLED.

#2 – Saiz Bezel Nipis

Nisbah skrin-ke-kerangka yang tinggi akan membuatkan sesuatu peranti kelihatan lebih kemas dan moden. Pada kali ini Nokia telah berjaya mengurangkan saiz bingkai di sekeliling skrin. Jika ditanya mengapa HMD Global tidak membuat skrin penuh, salah satu sebabnya ialah untuk mengurangkan risiko paparan retak sekiranya peranti terjatuh.

#3 – Saiz Badan Kompak

Peranti bersaiz besar memang menjanjikan kepuasan jika menonton video atau melayan media sosial. Namun begitu, kekurangan yang tidak dapat dielakkan ialah ia sebenarnya tidak selesa untuk dipegang lebih-lebih dengan sebelah tangan selain sukar dimasukkan ke dalam poket. Tetapi tidak pada Nokia 6.1 Plus, peranti ini memiliki saiz tubuh badan yang kompak dan saiznya yang ideal memudahkan jari kami mencapai hampir kesemua sudut paparan.

#4 – Binaan Premium

Tidak dinafikan sejak dahulu lagi Nokia terkenal dengan peranti yang berkualiti serta mantap. Oleh itu, falsafah yang Nokia terapkan pada setiap produk mereka tetap diteruskan sehingga ke hari ini. Apa yang kami nampak pada Nokia 6.1 Plus, peranti ini menjanjikan ketahanan badan yang baik. Menurut HMD, setiap satu unit peranti yang dihasilkan datang daripada seketul blok aluminium padu. Dari sudut lain, permukaan belakang pula diperbuat daripada panel gelas yang berkilau.

#5 – Antaramuka

Seperti sedia maklum, keistimewaan yang ada pada peranti janaan Android One ialah sistem antaramuka yang kemas dan bersih. Sistem android asli ini tampil tanpa sebarang bloatware atau untuk lebih senang difahami ialah tanpa aplikasi pihak ketiga terus daripada kotak. Kelajuan membuka laci aplikasi adalah sangat pantas serta lancar. Menariknya, peranti Android One juga akan diberikan keutamaan untuk menerima kemas kini daripada Google malah pada masa sama dijanjikan dua kali sistem Android terbaru di masa akan datang.

#6 – Kamera Bothie

Kelebihan yang ada pada Nokia 6.1 Plus tidak lain dan tidak bukan ialah mod penggambaran Bothie. Bothie membolehkan rakaman gambar dan video dibuat serentak menggunakan kamera depan dan belakang. Kebolehan ini sekaligus memudahkan pengguna membuat video secara langsung di media sosial atau membuat panggilan video bersama kenalan pada bila-bila masa. Bothie boleh dipilih dalam dua mod berbeza iaitu Dual atau P-I-P (gambar-dalam-gambar).

#7 – Diperkasa Snapdragon 636

Bagi yang meminati cipset keluaran Qualcomm, Nokia 6.1 Plus menawarkan sistem pemproses Snapdragon 636 yang dikatakan mampu memainkan permainan mudah alih tanpa sebarang masalah. Cipset ini juga adalah sama seperti yang digunakan pada peranti pertengahan-bawah iaitu Xiaomi Redmi Note 5 dan Asus ZenFone Max Pro (M1).

#8 – RAM dan ROM Besar

Bagi membantu prestasi peranti, kapasiti memori turut memainkan peranan penting dalam sistem operasi. Nokia 6.1 Plus didatangkan bersama 4GB RAM dan 64GB storan yang juga menyokong kad microSD sehingga 400GB. Perkakasan seperti ini setidak-tidaknyan dapat memastikan tempoh masa peranti untuk membuka permainan tidak terlalu lama dan tidak tersekat semasa permainan dijalankan.

#9 – Sambungan USB Type-C

Antara perkara penting yang kami lihat di sini ialah sambungan USB Type-C yang digunakan pada Nokia 6.1 Plus. Kelebihan yang ada pada sambungan ini berbanding microUSB ialah pemindahan fail dapat dilakukan lebih pantas berbanding biasa. Pada masa sama, tempoh mengecas juga tidak mengambil masa yang terlalu lama. Jadi, kita boleh katakan Nokia tidak kedekut untuk memberi sistem sambungan yang terbaru kepada para pengguna mereka.

#10 – Terlalu Banyak Wallpaper Cantik

Nokia memang pandai mengoptimumkan skrin paparan pada peranti ini. Lambakan wallpaper di bahagian tetapan memberikan pilihan yang banyak kepada pengguna. Pengguna boleh mencari wallpaper yang bersesuaian mengikut kategori yang digemari. Jujur kami katakan, terlalu banyak yang cantik-cantik. Alangkah baiknya kalau pengeluar lain ikut jejak Nokia dalam aspek ini.

Ujian Penanda Aras

AnTuTu dan Geekbench 4

Selepas melakukan ujian penanda aras, kami mendapati Nokia 6.1 Plus mencatatkan skor yang agak memuaskan. Skor yang diperolehi juga lebih tinggi sedikit berbanding dua peranti yang menggunakan cipset dan RAM bersaiz sama. Kami yakin ia disumbangkan oleh sistem operasi Android One berbanding sistem operasi antaramuka kustom daripada Xiaomi dan Android asli daripada Asus.

Ujian Pengecasan Bateri

Dibekalkan bersama bateri sebesar 3,060mAh, kami berjaya membuat pengecasan penuh daripada kosong peratus hanya dalam tempoh lebih kurang dua jam sahaja. Jumlah kuasa output boleh diklasifikasikan sebagai Quick Charge standard dan ia sudah cukup memadai selagi pengecasan penuh dapat dilakukan dalam tempoh tidak melebihi dua jam.

Hasil Gambar

Kamera utama Nokia 6.1 Plus begitu cemerlang bila mengambil gambar pada waktu siang. Cahaya organik yang memasuki lensa membantu kami mendapatkan gambar yang baik setanding peranti induk di pasaran. Cuma kurangnya ialah gambar diprose sidikit lama selepas butang shutter ditekan.

Pendapat TeknoRatz

Pada hemat kami, Nokia 6.1 Plus menawarkan peranti yang berkualiti daripada segi fizikal dan saiz yang kompak menjadikan ia amat mudah untuk dioperasikan. Kami tidak memerlukan dua tangan untuk menaip untuk mencapai atas skrin untuk menarik bar notifikasi. Selain itu kualiti paparan yang baik membuatkan kami menatap skrin sehingga kehabisan bateri.

Pada mulanya kami tidak menyangka kehebatan kamera pada peranti ini. Sungguhpun begitu, hasil yang diberikan tidak mampu menggelengkan kepala kami. Jika harga yang diletakkan tinggi, tapi perlu diingatkan ia dioperasikan di bawah program Android One. Kelancaran dan kepantasan tidak perlu diragukan, pada masa sama pengguna ditawarakan versi Android sehingga dua tahun. Selain itu, kemas kini kecil akan diterima dari masa ke semasa daripada Google.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend