Meizu Note 9 Dengan Snapdragon 675, Kamera 48MP Dan Bateri 4000 mAh Kini Rasmi Comments Off on Meizu Note 9 Dengan Snapdragon 675, Kamera 48MP Dan Bateri 4000 mAh Kini Rasmi

Bulan Mac ini telah menyaksikan pelancaran beberapa telefon pintar kelas pertengahan daripada pelbagai jenama termasuklah Realme 3 dan juga OPPO F11 Pro. Menariknya penawaran telefon pintar kelas pertengahan ini telah menjanjikan sokongan spesifikasi yang agak baik, dan yang terbaru Meizu bakal memberi saingan sengit apabila turut melancarkan model Meizu Note 9.

Dikuasakan dengan paparan skrin IPS LCD sebesar 6.2 inci FHD+ (2244 x 1080 piksel), Meizu Note 9 yang memiliki kerangka berukuran 153.11 x 74.34 x 8.65mm ini hadir dengan rekaan takuk kecil yang menempatkan sensor kamera depan beresolusi 20MP. Rekaan takuk kecil dan juga saiz bezel yang tidak terlalu tebal ini turut menjanjikan nisbah skrin-ke-kerangka mencecah 89.23%.

Dari segi aspek prestasi, ia telah dikuasakan dengan pemproses Qualcomm Snapdragon 675 (11nm), kapasiti RAM sehingga 6GB, ruang storan sehingga 128GB (tiada slot kad microSD), dan juga antaramuka Flyme 7.2 berasaskan Android 9.0 Pie. Bagi memastikan kelancaran grafik yang lebih baik, Meizu Note 9 turut menyokong teknologi Hyper Gaming bagi mempertingkatkan prestasi GPU.

Penggambaran pada Meizu Note 9 boleh diambil dengan sistem dwi kamera 48MP (Samsung ISOCELL Bright GM1) + 5MP (Depth sensor), dan ia turut dilengkapi dengan mod penggambaran malam yang mampu menghasilkan gambar yang lebih terang tanpa bantuan tripod. Panel belakang peranti ini turut menempatkan sensor pengimbas cap jari, selain turut menyokong fungsi Face Recognition 3.0 yang boleh digunakan di dalam persekitaran kurang cahaya.

Meizu Note 9 menawarkan ciri-ciri sambungan yang lengkap seperti WiFi 802.11ac (2.4GHz/5GHz), Bluetooth 5.0, bicu audio 3.5mm, dan juga port USB Type-C dengan sokongan pengecasan pantas mCharge Rapid Charging 18W. Ini secara tidak langsung menjanjikan masa pengecasan yang lebih pantas untuk bateri berkapasiti 4000 mAh yang disokongnya.

Ditawarkan dalam tiga warna iaitu biru, hitam dan putih, Meizu Note 9 dijual pada harga CNY1,398 (kira-kira RM853) untuk varian 4GB + 64GB, dan CNY1,598 (kira-kira RM975) untuk varian 6GB + 64GB serta varian 4GB + 128GB.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend