Meizu Lancar 3 Model Terbarunya Iaitu 15 Plus, 15 Dan M15 – Sokong Pengecasan Pantas Sehingga 24W Comments Off on Meizu Lancar 3 Model Terbarunya Iaitu 15 Plus, 15 Dan M15 – Sokong Pengecasan Pantas Sehingga 24W

Kebocoran berita tiga peranti terbaru keluaran Meizu bukanlah sesuatu yang baru kerana kami pernah berkongsi tentang kehadiran model Meizu 15 Plus, 15 dan M15 (turut dikenali sebagai M15 Lite) pada awal Mac yang lalu.

Kini ketiga-tiga model itu akhirnya telah dilancarkan secara rasmi di China dan ia jelas disasarkan untuk segmen pasaran yang berbeza iaitu Meizu 15 Plus sebagai model flagship, Meizu 15 untuk kelas pertengahan, dan juga Meizu M15 yang dikategorikan dalam segmen peranti mampu milik.

Meizu 15 Plus

Model ini merupakan yang terbaik boleh anda miliki kerana ia telah menggunakan pemproses 10 nm LPE iaitu Exynos 8895 yang sebelum ini digunakan pada peranti flagship keluaran Samsung iaitu Note 8 dan juga Galaxy S8/S8+. Malahan Meizu 15 Plus ini juga turut menampilkan paparan skrin AMOLED berukuran 5.95 inci dengan resolusi 2K (2560 x 1440 piksel). Bahkan saiz bezel yang disokongnya juga adalah yang ternipis di dunia iaitu hanya 1.175 mm sahaja.

Meizu 15 Plus turut menjanjikan penggambaran yang lebih baik dengan sokongan dwi kamera 12 Megapiksel + 20 Megapiksel, Aperture f/1.8, dteknologi penstabilan OIS + EIS, dan juga keupayaan zum optikal sebanyak 2x serta zum ‘lossless’ sebanyak 3x. Keupayaan kamera swafotonya pula dibantu dengan lensa beresolusi 20 Megapiksel.

Dilengkapi RAM berkapasiti 6GB, terdapat dua pilihan ruang storan disediakan iaitu 64GB atau 128GB, dan tiada slot kad microSD disediakan pada peranti ini. Apa yang lebih istimewanya, sokongan sistem tindakbalas haptik mEngine terbaru dari Meizu ini dikatakan setanding dengan Taptic Engine yang digunakan pada peranti keluaran Apple.

Ciri lain yang disokong oleh Meizu 15 Plus termasuklah speaker stereo, dan juga bateri berkapasiti 3500 mAh dengan port mengecas USB Type-C yang mampu menyokong pengecasan pantas 24W (12V2A).

Meizu 15

Meizu 15 juga turut menampilkan sokongan panel AMOLED, tetapi ia memiliki saiz skrin lebih kecil iaitu berukuran 5.46 inci dengan resolusi FHD (1920 x 1080 piksel). Bagi aspek prestasi pula, ia dikuasakan dengan pemproses 14 nm dari Qualcomm Snapdragon 660 yang merupakan antara pemproses peranti kelas pertengahan yang terbaik boleh anda miliki.

Dengan RAM berkapasiti 4GB, Meizu 15 turut menawarkan pilihan ruang storan yang sama iaitu 64GB dan 128GB. Selain itu ia turut menyokong teknologi pengecasan pantas 24W (12V2A), tetapi dengan kapasiti bateri yang lebih kecil iaitu hanya 3000 mAh.

Aspek penggambaran Meizu 15 juga tampil sama seperti Meizu 15 Plus iaitu 12 Megapiksel + 20 Megapiksel untuk kamera utamanya, dan 20 Megapiksel untuk kamera swafoto. Tetapi berbeza dengan Meizu 15 Plus, model ini hanya menyokong teknologi penstabilan OIS sahaja.

Meizu M15

Antara ketiga-tiga model ini, Meizu M15 (Meizu 15 Lite) merupakan varian paling rendah kerana dikuasakan dengan pemproses 14 nm dari Qualcomm Snapdragon 626. Malahan hanya satu varian sahaja ditawarkan iaitu 64GB + RAM 4GB, dan ia juga menyokong skrin berukuran 5.46 inci FHD (1920 x 1080 piksel) dengan panel LTPS LCD.

Meizu M15 juga hanya disediakan dengan satu kamera utama sahaja iaitu beresolusi 12 Megapiksel dengan saiz piksel berukuran 1.4 µm serta Aperture f/1.9. Namun begitu, keupayaan penggambaran hadir dengan teknologi auto fokus Dual Pixel yang menjanjikan kecepatan ketika memfokus. Kamera swafoto model ini dikekalkan sama seperti model lain iaitu 20 Megapiksel.

Dengan saiz bateri sebesar 3000 mAh, Meizu M15 menawarkan teknologi pengecasan pantas mCharge yang menjanjikan output mengecas 18W (9V2A).

Harga

Meizu 15 Plus:

  • 64GB + RAM 6GB – CNY2,999 (kira-kira RM1,865)
  • 128GB + RAM 6GB – CNY3,299 (kira-kira RM2,050)

Meizu 15

  • 64GB + RAM 4GB – CNY2,499 (kira-kira RM1,550)
  • 128GB + RAM 4GB – CNY2,799 (kira-kira RM1,740)

Meizu M15

  • 64GB + RAM 4GB – CNY1,699 (kira-kira RM1,055)

 

 

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend