Ketahui 13 Fungsi Baharu Yang Telah Diperkenalkan Dalam iOS 12… Comments Off on Ketahui 13 Fungsi Baharu Yang Telah Diperkenalkan Dalam iOS 12…

Seperti tahun-tahun sebelum ini, acara WWDC sememangnya sangat dinantikan oleh banyak pihak terutamanya pemilik peranti iOS kerana Apple akan memperkenalkan versi terbaru iOS yang menjanjikan penambahbaikan dan juga pembaharuan berbanding versi sebelumnya. Pengumuman iOS 12 ini mungkin sedikit mengecewakan sesetengah pihak kerana ia tidak membawakan pembaharuan pada penampilan antaramuka, sebaliknya Apple dilihat lebih memfokuskan pada prestasi dan juga penambahbaikan pada fungsi sedia ada pada iOS sebelum ini. Berikut adalah 17 fungsi atau ciri-ciri utama yang difokuskan oleh Apple dalam iOS 12…

1. Prestasi pengoperasian dipertingkatkan pada peranti iOS yang lama

Kebiasaannya kemas kini baharu yang diperkenalkan lebih memfokuskan kepada prestasi pengoperasian terutamanya untuk peranti iOS terbaru. Malah tidak menghairankan apabila rata-rata daripada pemilik peranti iOS yang lama dilihat masih teragak-agak untuk mengemaskinikan peranti mereka ke iOS baharu kerana ia menyebabkan pengoperasian peranti mereka menjadi lebih perlahan. Jadi dengan iOS 12, Apple telah menggunakan iPhone 6 dan berjaya memperlihatkan prestasi yang jauh lebih baik apabila aplikasi boleh dibuka 40% lebih pantas, sistem papan kekunci boleh diakses 50% lebih cepat dan pengaktifan kamera 70% lebih pantas.

2. Pengalaman AR yang lebih baik

Hasil kerjasama dengan Pixar, Apple akan menggunakan format fail terbaru yang direka khusus untuk aplikasi AR (Realiti Tambahan), dikenali sebagai USDZ. Tidak cukup dengan itu, pembangun aplikasi popular seperti Adobe, Autodesk dan juga Sketchfab turut mengumumkan untuk mengintegrasikan format fail baharu itu di dalam aplikasi yang akan dibangunkan. Melalui iOS 12, Apple telah memperkenalkan aplikasi baharu berasaskan AR yang dikenali sebagai ‘Measure’ yang membolehkan proses mengukur objek sebenar.

3. Aplikasi Photos sokong fungsi carian dan tab ‘For You’

Dengan iOS 12, aplikasi Photos yang menyimpan koleksi gambar yang telah diambil akan menyokong fungsi carian yang lebih berkuasa dan lebih mudah untuk digunakan. Anda hanya perlu menaip kata kunci dan secara automatik gambar yang berkaitan akan dipaparkan.Ia juga kini menyokong kaedah perkongsian gambar yang lebih baik. Tab baharu iaitu ‘For You’ pula akan memaparkan beberapa kategori berbeza seperti Memories, Featured Photos, Effects Suggestions dan juga Shared Album Activity.

4. Siri kini menyokong fungsi ‘Shortcut’

Siri pada iOS 12 berupaya memperkenalkan shortcut untuk pengaktifan suara di dalam perisian yang mereka bangunkan. Ini bermakna anda boleh memasukkan arahan tertentu pada aplikasi daripada pihak ketiga dan ia boleh digunakan terus di dalam Siri. Sebagai contoh, anda mampu memberi arahan kepada Siri untuk membuat carian kunci yang telah dipasang dengan alat penjejakan Tile. Bagi memudahkan pengguna, Apple telah menyediakan aplikasi khusus Shortcuts dalam iOS 12. Selain itu Siri juga menyokong fungsi cadangan yang lebih proaktif seperti penghantaran teks mesej yang memberitahu individu tertentu apabila anda terlambat untuk menghadiri janji temu.

5. Aplikasi News dan Stocks kini telah diperbaharui

Aplikasi Apple News telah menerima penambahbaikan kecil dengan sokongan tab Browse yang memudahkan melihat berita dari kategori mahupun saluran yang berbeza. Ia juga kini telah diintegrasikan dengan aplikasi Stocks bagi membolehkan anda untuk melihat berita berkaitan dengan saham yang anda berminat atau miliki dan aplikasi ini akan turut diperkenalkan pada iPad. Sokongan graf saham juga membantu anda untuk memantau pergerakan aliran saham tersebut.

6. Voice Memos menerima antaramuka baharu dengan sokongan iCloud

Antaramuka aplikasi Voice Memos pada iPhone kini telah diperbaharui agar tampil lebih efisien dan praktikal. Pengenalan fungsi sync pada iCloud secara tidak langsung membolehkan rakaman audio boleh diakses melalui semua peranti yang menggunakan Apple ID yang sama. Lebih menariknya ia juga akan diperkenalkan pada iPad buat pertama kalinya melalui kemas kini iOS 12.

7. iBooks dengan antaramuka baharu kini dikenali sebagai Apple Books

Apple bukan sahaja telah memperbaharui antaramuka asal aplikasi eBook iaitu iBooks, tetapi iOS 12 juga turut memperlihatkan penukaran nama baharu kepada Apple Books. Pencarian buku yang digemari juga terasa lebih mudah kerana ia disediakan dengan tab baharu iaitu Book Store yang mempercepatkan dan memudahkan proses carian.

8. Apple CarPlay menyokong aplikasi navigasi pihak ketiga

Akhirnya pemilik kenderaan yang menyokong fungsi Apple CarPlay berupaya menggunakan aplikasi navigasi pihak ketiga seperti Waze, Google Maps dan sebagainya. Ini bermakna anda tidak lagi perlu bergantung kepada aplikasi navigasi Apple Maps yang mungkin tidak begitu digemari oleh sesetengah pengguna.

9. Do Not Disturb berupaya menyembunyikan notifikasi dari lockscreen

iOS 12 turut membawakan fungsi baharu pada mod Do Not Disturb (DND) dengan keupayaannya untuk menyembunyikan notifikasi dari dipaparkan pada antaramuka lockscreen. Ini bertujuan untuk mengelakkan kecenderungan pengguna daripada memeriksa notifikasi ketika terbangun pada waktu malam untuk melihat jam. Malah anda juga boleh menentukan masa untuk mod Do Not Disturb dimatikan bergantung kepada masa, tempat ataupun acara.

10. Notifikasi kini dipaparkan mengikut kategori berbeza

Setelah sekian lama akhirnya Apple dilihat telah membuat pembaharuan pada fungsi notifikasi yang kini akan dipaparkan mengikut kategori aplikasi berbeza. Sebagai contoh, apabila anda menerima notifikasi WhatsApp dari individu ataupun kumpulan berlainan, kesemua notifikasi yang diterima dari aplikasi itu akan dipaparkan dalam satu tab yang sama dan pengguna boleh melihat kesemua notifikasi tersebut dengan hanya satu klik pada paparan lockscreen. Apa yang menariknya, anda juga boleh menutup notifikasi aplikasi tertentu dari dipaparkan.

11. Fungsi Screen Time memberitahu masa yang anda habiskan untuk setiap aplikasi

Bagi memastikan gaya hidup yang lebih sihat dan seimbang, iOS 12 telah memperkenalkan fungsi Screen Time yang akan memaparkan masa yang anda telah habiskan pada peranti dan juga setiap aplikasi yang digunakan. Fungsi ini akan memaparkan masa penggunaan berdasarkan kepada kategori aplikasi seperti games, media sosial dan sebagainya. Ia juga boleh digunakan untuk menjejaki aplikasi mana yang menghantar notifikasi paling banyak. Bagi membantu mengurangkan aktiviti tertentu pada peranti, pengguna boleh menetapkan peruntukan masa bagi setiap aplikasi dan notifikasi pemberitahuan akan dihantar apabila anda mencecah kuota yang ditetapkan.

12. Memoji menyokong avatar yang menyerupai wajah anda

iOS 12 turut memperkenalkan Memoji yang sama seperti Animoji, tetapi tampil dengan keupayaan untuk kelihatan lebih mirip seperti wajah pengguna. Berbeza dengan Samsung AR Emoji yang mampu memaparkan wajah secara automatik menggunakan kamera hadapan, Memoji pada iOS 12 perlu dibuat secara manual melalui pemilihan warna kulit, gaya rambut, aksesori dan sebagainya. Selain itu, Animoji juga turut menerima beberapa pembaharuan seperti keupayaan untuk menyokong pergerakan lidah dan juga tambahan karakter seperti hantu, koala, harimau dan t-rex.

13. Sokongan Face Time secara berkumpulan sehingga 32 orang

Buat pertama kalinya, iOS 12 telah membolehkan panggilan video menggunakan Face Time secara berkumpulan sehingga 32 orang pada satu-satu masa. Sokongan Face Time berkumpulan ini sememangnya sangat berguna sekiranya anda ingin bersembang dengan ahli keluarga, rakan-rakan mahupun untuk tujuan perbincangan perniagaan. Bagi memastikan perbualan yang lebih efisien, tetingkap individu yang sedang bercakap akan dibesarkan secara automatik. Tidak cukup dengan itu, setiap individu bebas menggunakan efek, Animoji dan juga Memoji.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend