Kenapa Scand.a Jenama Telefon Pintar Malaysia Tidak Dapat Sambutan? – Ini Pendapat Kami Comments Off on Kenapa Scand.a Jenama Telefon Pintar Malaysia Tidak Dapat Sambutan? – Ini Pendapat Kami

Scand.a merupakan jenama telefon pintar tempatan yang diasaskan Tengku Faizwa Tengku Razif, seorang usahawan wanita yang berasal daripada keluarga diraja. Jenama ini agak baru di Malaysia kerana peranti pertama yang diperkenalkan ialah pada awal tahun ini iaitu sekitar bulan Februari.

Pada masa itu saya sendiri pernah hadiri majlis pelancaran sulung telefon pintar mereka yang diberi nama Scand.a. Pada awalnya saya menjangkakan harga yang mungkin ditawarkan ialah sekitar dibawah RM1,500. Namun, apa yang mengejutkan saya pada akhir majlis ialah ketersedian peranti ini diumumkan dengan harga yang jauh lebih mahal iaitu mencecah RM2,500 seunit dan mereka yang berminat hanya boleh dapatkannya di laman rasmi Scand.a, erm…

Banyak pengamal media yang terkejut dengan harga yang disebutkan kerana telefon pintar ini hanya menawarkan perkakasan asas seperti pemproses MediaTek MT6753, memori 3GB RAM, storan 64GB, dan kamera utama setakat 13MP – itupun sensor asas daripada Sony. Sistem operasi berasaskan Android Nougat pula nampaknya memburukkan lagi penampilan Scand.a. Reka bentuk telefon ini masih berada di takuk lama dimana pada masa itu banyak pengeluar sudah mula perkenalkan telefon dengan rekaan bezel yang nipis.

Oh ya, mungkin ada satu kelebihan yang ada pada scand.a iaitu fungsi projektor-nya. Syarikat ini memaklumkan mereka telah meletakkan unit projektor berkualiti tinggi pada Scand.a. Mereka menggunakan OSRAM LED 80 lumens yang membolehkan projektor memancar paparan sehingga 200-inci dengan resolusi berkualiti 720 piksel.

Walaupun tampil dengan sedikit kelainan berbanding telefon pintar lain di pasaran, sehingga hari ini kami langsung tidak mendengar jenama Scand.a di telinga dan kali terakhir ialah semasa keluar daripada pintu dewan majlis.

Apa yang saya boleh rumuskan ialah setakat ini Scand.a telah gagal memasarkan telefon pintar mereka di Malaysia – apa yang menyedihkan ialah di negara sendiri. Selain itu, permintaan orang ramai untuk telefon pintar projektor adalah sangat kecil dan bagi saya harga untuk sebuah telefon jenama tempatan haruslah sedap didengar dan yang paling penting BERBALOI untuk dimiliki.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend