Kedai Taobao Terbesar di Malaysia Kini Dibuka di MyTown Comments Off on Kedai Taobao Terbesar di Malaysia Kini Dibuka di MyTown 420

Konglomerat Alibaba Group hari ini telah merasmikan kedai Taobao terbesar di Malaysia yang dinamakan Taobao Store by Lumahgo. Cawangan yang dibuka di pusat beli-belah MyTown ini menawarkan lebih daripada 1000 produk, termasuk produk barangan ibu dan anak, gajet berteknologi tinggi, kecantikan, kediaman, dan peralatan rumah pintar.

Dibina di atas kedai berkeluasan 5000 kaki persegi di tingkat bawah pusat membeli-belah, Taobao Store by Lumahgo membawakan pengunjung pengalaman membeli-belah berkonsepkan online-ke-offline melalui teknologi yang dipanggil New Retail.

Konsep New Retail yang dimaksudkan ialah di mana proses pembelian dipersembahkan melalui kombinasi kaedah digital dan fizikal. Pelanggan boleh mendapatkan sesuatu produk dengan mengimbas kod QR yang dipamerkan di rak barangan, kemudian membuat pembayaran terus melalui aplikasi. Pengguna turut diberi pilihan sama ada ingin membuat penghantaran ke rumah ataupun mengambilnya di kaunter.

Konsep sebegini tidak sama seperti membeli barangan secara dalam talian, yang mana pembeli tidak dapat melihatnya secara depan-depan. Namun begitu, hanya barangan terpilih sahaja yang boleh diambil di kaunter kedai.

Selain daripada barangan, Taobao Store by Lumahgo turut menyediakan kafe, taman permainan untuk kanak-kanak, dan kawasan santai kepada para pengunjung. Terdapat cermin ajaib (Magic mirror) diletakkan di dalam kedai bagi memudahkan pelanggan ‘mencuba’ pelbagai jenis solekan hanya dengan melihat pada cermin sebelum membuat pembelian.

Tawaran Pelancaran dan Sambutan Tempatan

Bersempena dengan pelancaran Taobao Store by Lumahgo, terdapat beberapa tawaran istimewa diberikan kepada para pengunjung bermula hari ini hingga 1 Disember 2019.

  • ¥5 untuk setiap ¥80 (RM48) yang dibelanjakan.
  • ¥50 untuk setiap ¥500 (RM297) yang dibelanjakan.
  • diskaun maksimum ¥200 (RM119) untuk ¥1000 (RM594) dan ke atas.

Bagi pemegang kad RHB pula, mereka boleh mendapatkan diskaun tambahan sehingga ¥30 untuk ¥169 (RM100) yang dibelanjakan untuk pembelian seterusnya. Bagaimanapun, ia hanya diberikan kepada 200 pelanggan pertama yang membeli pada 30 Nov dan 200 pengguna lagi pada 1 Dis.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend