Jam Tangan Pintar Honor Watch Magic Ditawarkan Pada Harga Kurang RM600 Comments Off on Jam Tangan Pintar Honor Watch Magic Ditawarkan Pada Harga Kurang RM600

Bersama-sama pengumuman harga Honor View 20 di Malaysia, Honor turut mengumumkan jam tangan pintar terbaharu mereka iaitu Honor Watch Magic. Jam tangan pintar ini akan mula dijual pada 26 Januari 2019 pada harga mesra dompet iaitu RM599 seutas.

Apa yang menarik, jam ini mampu bertahan untuk tempoh yang panjang dengan ketahanan bateri sehingga tujuh hari. Malah dengan rekaan ringan serta nipis ia mampu memberikan keselesaan kepada pengguna.

Honor Watch Magic diperkenalkan dengan dua variasi iaitu dengan tali jam getah dan satu lagi dengan tali jam kulit. Bagaimanapun untuk pasaran Malaysia, hanya tali jam getah yang dibawa masuk. Tali jam getah ini turut dipadankan dengan kerangka badan berwarna hitam dengan sedikit kemasan berwarna merah.

Pada bahagian skrin pula, ia menggunakan paparan AMOLED bersaiz 1.2-inci ini yang mampu memaparkan muka jam dengan lebih terang serta mampu menjimatkan bateri. Dicipta untuk mereka yang gemarkan aktiviti bersukan dan juga bersenam, jam ini menawarkan beberapa mod seperti Fitness Mentor, Cycling, Mountaineering, dan Swimming.

Selain daripada itu, ia juga boleh memantau kadar degupan jantung mengikut masa sebenar menerusi sensor berteknologi TruSeen TM 3.0. Seperti jam tangan pintar lain, tali jam Honor Watch Magic juga boleh dicabut serta digantikan dengan tali jam yang lain (bercorak). Tetapi, buat masa ini ia masih belum ditawarkan dan mungkin akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Sempena pelancaran Honor View 20 di Malaysia, Honor Watch Magic ini akan diberikan secara percuma kepada 200 pelanggan yang terawal. Jika anda inginkan maklumat lanjut mengenai promosi, anda boleh terus ke artikel yang berkenaan.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend