iPhone 11 / 11 Pro / 11 Pro Max Dilancarkan Secara Rasmi, Mula Dijual Di Malaysia 27 September Ini Comments Off on iPhone 11 / 11 Pro / 11 Pro Max Dilancarkan Secara Rasmi, Mula Dijual Di Malaysia 27 September Ini 211

Apple iPhone 11, iPhone 11 Pro, dan iPhone 11 Pro Max akhirnya dilancarkan secara rasmi kepada umum. iPhone 11 hadir dengan dua kamera belakang manakala iPhone 11 Pro dan Pro Max dilengkapi tiga kamera belakang.

Kita mulakan dengan iPhone 11, peranti ini merupakan telefon pintar yang menggantikan iPhone XR pada tahun lalu. Saiz paparan telefon ini masih lagi mengekalkan skrin 6.1-inci Liquid Retina Display beresolusi HD 1792×828-piksel dengan sokongan Haptic Touch, True Tone, dan Wide colour (P3) dengan keterangan maksima 625 nits.

Kerangka badan juga masih menggunakan bahan jenis aluminium siri-7000 tetapi kini dengan sokongan kalis air dan debu IP68 yang boleh ditenggelamkan sehingga 2 meter di dalam air. iPhone 11 menawarkan dwi-kamera belakang, masing-masing dengan sensor 12MP lebar + 12MP ultra-lebar. Menariknya, walaupun tiada sensor telefoto, kamera ini boleh mengezum sehingga 2x optikal dan 5x secara digital.

iPhone 11 dan iPhone 11 Pro Max pula menawarkan paparan OLED berukuran 5.8-inci dan 6.5-inci Super Retina XDR dengan resolusi mencecah 458 ppi. Tiada lagi sokongan 3D Touch pada paparan tetapi pengguna masih lagi boleh membuka pilihan pintas dengan menekan seketika pada skrin. Apple juga telah menaik taraf teknologi paparan ini dan kini menawarkan keterangan skrin sehingga 1200 nits (dengan HDR).

Kedua-dua versi Pro ini hadir dengan tiga kamera belakang menempatkan sensor 12MP lebar + 12MP ultra-lebar + 12MP telefoto. Apa yang membezakan kamera ini dengan kamera pada iPhone 11 ialah, kamera pada dua peranti ini boleh mengambil gambar potret dengan lebih mengagumkan malah turut disertakan sokongan mengezum sehingga 4x optikal dan 10x digital. Untuk kerangka badan, versi Pro dilengkapi kerangka besi tahan karat yang dipadankan mengikut warna peranti.

Ketiga-tiga iPhone 11 diperkasakan cipset terbaru, Apple A13 Bionic yang turut menjalankan sistem operasi terkini iOS 13. Melalui perisian terbaru ini, pengguna juga kini ditawarkan ciri penggambaran malam yang dipanggil Night mode. Apple juga telah memasukkan sejumlah ciri tambahan untuk fotografi iaitu enam kesan potret antaranya ialah Natural, Studio, Contour, Stage, Stage Mono, High-Key Mono.

Sementara pada kamera depan pula, Apple buat pertama kalinya telah meletakkan sokongan rakaman video gerak-perlahan yang dinamakan Slofie. Manakala sistem nyahkunci peranti masih lagi menggunakan teknologi FaceID, tetapi kini 30% lebih pantas berbanding iPhone terdahulu. Sambungan WiFi pula juga lebih stabil dan kukuh dengan sokongan WiFi 6 Standard.

Daripada segi bateri, Apple tidak mendedahkan berapa kapasiti yang ditawarkan tetapi mendakwa iPhone 11 boleh memainkan semula video selama 14 jam, 18 jam untuk iPhone 11 Pro, dan 20 jam untuk iPhone Pro Max.

Tahun ini juga Apple telah menyertakan palam kuasa pengecas pantas 18W terus dari kotak iPhone 11 Pro dan Pro Max. Sementara pemilik iPhone 11 perlu mendapatkannya secara berasingan.

iPhone 11, iPhone 11 Pro, dan iPhone 11 Pro Max didatangkan dengan tiga konfigurasi pada harga bermula RM3399:

  • iPhone 11 (Black, Green, Yellow, Purple, , White)
    • 64GB – RM3399
    • 128GB – RM3599
    • 256GB – RM4099
  • iPhone 11 Pro (Gold, Space Grey, Silver, Midnight Green)
    • 64GB – RM4899
    • 256GB – RM5599
    • 512GB – RM6499
  • iPhone 11 Pro Max (Gold, Space Grey, Silver, Midnight Green)

    • 64GB – RM5299
    • 256GB – RM5999
    • 512GB – RM6899

Pada kali ini, Malaysia juga telah menjadi antara negara yang terawal menawarkan iPhone terbaru kepada pengguna. Bagi anda yang berminat dengan salah satu peranti terbaru daripada Apple ini, ia akan mula dijual pada 27 September 2019 di semua wakil penjual sah seluruh negara.

Baca juga:

Apple Watch Series 5 Kini Rasmi Dengan WatchOS 6, Paparan ‘Always-On Retina’ Dan Kompas Terbina-Dalam

iPad Generasi Ketujuh Diperkenalkan Dengan iPadOS, Skrin 10.2″ Retina Display Dan Cipset Apple A10 Fusion

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend