Huawei P20 Lite (2019) Tertiris Dengan Kuad-Kamera Belakang, Skrin Berlubang Comments Off on Huawei P20 Lite (2019) Tertiris Dengan Kuad-Kamera Belakang, Skrin Berlubang 269

Hampir setiap bulan Huawei akan memperkenalkan telefon pintar baharu. Terkini, beredar di internet adalah maklumat mengenai Huawei P20 Lite versi 2019 yang dikatakan akan diperkenalkan di beberapa negara di Eropah.

Versi ringan kepada siri P20 kali ini hadir dengan rekaan serba baharu. Melihat kepada imej pengolokan, Huawei P20 Lite (2019) dilengkapi paparan skrin penuh dengan lubang kamera seakan Huawei Nova 4. Peranti ini didakwa menggunakan skrin 5.84-inci beresolusi FHD+ yang memiliki bezel tebal pada dagu.

Berdasarkan imej daripada Winfuture.de, panel belakang Huawei P20 Lite (2019) tampil dengan tetapan kuad-kamera salah satunya menggunakan sensor 24MP f/1.8 manakala tiga lagi sensor tidak didedahkan. Tetapi sumber menjangkakan ia mungkin dipadankan bersama sensor ultra lebar dan kedalaman memandangkan modul kamera ini timbul daripada permukaan panel belakang.

Peranti ini dikatakan akan dikuasakan oleh cip pemproses Kirin 710 yang digandingkan dengan memori 4GB RAM dan 64GB atau 128GB storan. Bateri pula berkapasiti 3,000mAh sama seperti versi terdahulu memandangkan saiz skrin tidak meningkat.

Huawei P20 Lite (2019) mungkin hadir dengan tiga pilihan warna iaitu biru, hitam, dan merah. Harga jualan di sana dijangka ditawarkan pada harga €280 hingga €330 atau lebih kurang dalam lingkungan RM1,312 hingga RM1,547 seunit bergantung kepada varian.

sumber

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend