HUAWEI nova 7 Pro, 7, 7 SE Diumumkan Secara Rasmi – Harga Bermula RM1478 Comments Off on HUAWEI nova 7 Pro, 7, 7 SE Diumumkan Secara Rasmi – Harga Bermula RM1478

Tempoh hari kita telah melihat imej yang tertiris menunjukkan reka bentuk peranti terbaru nova 7. Awal pagi tadi peranti itu telah dilancarkan secara rasmi di China. Ia juga diikuti dua model lain yang mana kesemuanya menyokong 5G.

nova 7 Pro

HUAWEI nova 7 Pro hadir dengan paparan OLED 6.57-inci FHD+ melengkung di sisi disamping menempatkan dwikamera depan berlubang pada skrin. Sensor 32MP + 8MP juga menawarkan swafoto bersudut ultralebar dan pada panel skrin terdapat sokongan pengimbas cap jari.

Peranti nova merupakan siri yang terkenal dengan keupayaan kamera. Di belakang, nova 7 Pro menyunsunkan sensor utama 64MP, ultralebar 8MP, periskop 8MP yang menyokong zum 5x optikal dan 50x hibrid, dan makro 2MP.

Cip pemproses Kirin 985 juga digandingkan bersama memori 8GB RAM dan 128GB/256GB storan. Peranti dibungkus dengan bateri 4000mAh yang menyokong pengecasan pantas SuperCharge 40W.

nova 7 Pro didatangkan dalam pilihan warna hitam, hijau, perak, dan ungu serta dijual pada harga CNY3700 (~RM2278) untuk 8GB+128GB dan CNY4100 (~RM2524) untuk 8GB+256GB.

nova 7

HUAWEI nova 7 sedikit berbeza dengan versi Pro yang mana skrinnya adalah rata bersaiz 6.53-inci FHD+ dengan satu kamera depan 32MP yang terbenam pada skrin. Panel OLED ini juga membawakan fungsi pengimbas cap jari pada skrin.

Di belakang, nova 7 menyertakan kamera utama 64MP, ultralebar 8MP, telefoto 8MP dengan zum 3x optikal dan 5x hibrid (berbanding periskop pada versi Pro), serta sensor keempat iaitu 2MP untuk makro.

Telefon dikuasakan cipset Kirin 985 diikuti memori 8GB RAM, storan sehingga 256GB, bateri sebesar 4000mAh yang menyokong SuperCharge 40W.

nova 7 tiba dengan warna hitam, hijau, merah, perak, dan ungu yang mana masing-masing mengenakan tanda harga CNY3000 (~RM1847) dan CNY3400 (~RM2093) untuk konfigurasi 8GB+128GB dan 8GB+256GB.

nova 7 SE

Peranti yang ketiga ini adalah sedikit ringan dan menduduki kategori pertengahan yang mana dikuasakan cip pemproses Kirin 820. Paparan berukuran 6.5-inci ini adalah daripada panel IPS LCD dan disebabkan itu pengimbas cap jari telah dialihkan ke sisi kerangka.

Tetapan kamera pula juga direndahkan kepada 64MP utama, 8MP ultralebar, 2MP kedalaman, dan 2MP makro. Tiada lensa periskop atau telefoto untuk versi ini. Ia dijana bateri 4000mAh dengan SuperCharge 40W.

HUAWEI nova 7 SE diperkenalkan dengan warna seperti hitam, hijau, perak, dan ungu pada harga CNY2400 (~RM1478) untuk 8GB+128GB dan CNY2800 (~RM1724) untuk 8GB+256GB.

nova 7 Pro, nova 7, dan nova 7 SE menjalankan sistem operasi EMUI 10.1 berasaskan Android 10 dan sekali lagi tanpa kehadiran Google Mobile Services (GMS) jika ia memasuki pasaran Malaysia kelak.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend