Huawei MateBook X Pro Hadir Dengan Kamera Dalam Butang Papan Kekunci 0 398

Acara terbesar Huawei yang akan berlangsung minggu hadapan tidak hanya tertumpu pada barisan telefon pintar malah syarikat gergasi ini juga akan melancarkan laptop terbaharu mereka ke pasaran global. Memandangkan kami telah diundang ke satu taklimat tentang produk awal pagi tadi. Pihak Huawei telah memberi peluang kepada kami untuk memegang dan melihat laptop ini secara lebih dekat.

Huawei MateBook X Pro yang pernah dipamerkan di MWC2018 didatangkan dengan paparan sebesar 13.9-inci beresolusi 3K dengan dua pilihan cip pemproses Intel Core i7 atau i5. Ciri utama laptop ini antaranya adalah paparan yang luas hingga ke hujung bingkai dan kamera tersembunyi tersedia di dalam butang pada papan kekunci.

Melalui dua ciri ini, apa yang kami boleh katakan Huawei telah menjadi syarikat yang pertama mengimplementasikan teknologi ini pada sebuah laptop kerana sebelum ini tiada pengeluar yang berbuat demikian untuk penjualan komersial.

Huawei MateBook X Pro turut menawarkan sistem audio yang gempak kerana kebolehan quad-speaker ini mampu menyalurkan bunyi sekeliling menerusi teknologi Dolby Atmos. Butang kuasa pula boleh dijadikan sebagai pengimbas cap jari untuk sistem nyahkunci dan keselamatan.

Bagi pengguna yang berada di dalam ekosistem Huawei, mereka diberi kemudahan memindahkan fail dengan lebih pantas menerusi ciri Huawei Share. Menurut Huawei, untuk memindahkan 1,000 keping foto laptop ini dapat melakukannya dalam masa lebih kurang tiga minit. Kaedah ini juga dilihat 100% lebih pantas berbanding pindahan menggunakan Bluetooth.

Huawei MateBook D (kanan)

Tidak habis dengan itu, sebuah lagi laptop turut dipamerkan dalam taklimat ialah Huawei MateBook D. Laptop ini memiliki saiz paparan berukuran 14-inci dengan bezel nipis. Pada harga yang mungkin lebih rendah berbanding MateBook X Pro, laptop ini juga hadir dengan ciri Huawei Share, quad-speaker Dolby Atmos, kalis percikan air, dan bateri sebesar 56Wh menyokong pengecasan pantas.

Malaysia antara negara yang terawal akan menerima dua model ini, tetapi kita akan melihat maklumat ketersediaan serta harganya pada majlis pelancaran 16 Oktober ini.

Huawei Talk Band B5 Bakal Tiba Ke Pasaran Malaysia Selepas China

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend