Huawei Mate 20 Pro – Android Paling Lengkap Setakat Ini 0 337

Pengenalan

Semenjak siri Huawei Mate 20 menerjah pasaran Malaysia, ramai diantara pengguna peranti pintar mula menunjukkan minat untuk mendapatkan salah satu model yang diperkenalkan. Ini kerana lambakan ciri-ciri yang ditawarkan Huawei Mate 20 membuatkan pengguna tidak sempat untuk menjenguk peranti berjenama lain. Salah satu yang diketengahkan oleh Huawei dalam siri ini ialah kamera Leica generasi terbaru.

Spesifikasi

  • 6.39-inci OLED melengkung
  • QHD+ 3120 x 1440 piksel (~538ppi)
  • Kirin 980 (2x Cortex A76 2.6GHz + 2x Cortex A76 1.9GHz + 4x Cortex A55 1.8GHz)
  • 6GB RAM + 128GB ROM
  • Android 9.0 Pie + EMUI 9.0 (GPU Turbo)
  • Kamera depan: Leica 24MP
  • Kamera belakang: Leica 40MP (lebar) + 20MP (ultralebar)+  8MP (telefoto)
  • 4,200mAh SuperCharge 40W (10V/4A)
  • 4G VoLTE, Dwi SIM, Bluetooth 5.0, NFC, Inframerah
  • Speaker stereo Dolby Atmos, Type-C, USB 3.1
  • IP68
  • 157.8 x 72.3 x 8.6mm (189g)
  • Warna: Twilight, Emerald Green, Black
  • RM3,599 (Beli di https://shop.huawei.com/my/)

Set Pembelian

Pada kami, kotak yang didatangkan adalah ringkas dan tidak seunik kotak pembungkusan Asus ROG Phone ataupun Samsung Galaxy Note 9. Namun begitu, ia hanyalah kotak semata-mata dan kami tidak jadikan ia sebagai isu.

Aspek Fizikal

Mesra Telapak Tangan

Huawei Mate 20 X (kiri) dan Mate 20 Pro

Huawei Mate 20 Pro adalah model yang paling kompak jika dibandingkan dengan dua model selebihnya. Reka bentuknya tidak terlalu lebar dan paling menonjol sekali ialah paparan skrin yang melengkung. Ruang bezel di sebelah dagu kini tidak lagi menempatkan butang kapasitif yang merangkap sebagai pengimbas cap jari, sebaliknya ia telah digantikan terus dengan pengimbas cap jari dalam paparan.

Dari Kereta ke Telefon

Kami sungguh tertarik dengan rekaan panel belakang peranti ini serta modul kamera yang ditampilkan. Menurut Huawei, konsep rekaan kamera yang dgunakan adalah hasil kerjasama dengan pengeluar kereta, Porsche. Oleh itu, kita boleh melihat susunan lensa-lensa ini mirip seperti lampu hadapan yang terdapat pada kereta Porsche masa kini.

Skrin Melengkung

Mate 20 Pro merupakan peranti pintar kedua yang hadir dengan skrin melengkung berteknologi OLED (selepas Mate RS Porsche Design). Setiap bucu paparan kini direka lebih melengkung untuk diselarikan dengan rekaan kerangka peranti. Di bahagian takuk pula, ia kini dibina lebih nipis dan tidak setebal takuk pada peranti P20 Pro. Takuk yang lebar ini adalah bertujuan untuk memberi laluan kepada sensor pengimbas wajah 3D yang terbaru.

Butang Merah

Kebanyakan peranti di pasaran ianya memiliki butang kuasa dengan warna yang sama seperti kerangka. Tidak pula pada Mate 20 Pro, butang kuasanya telah dicat dengan warna merah sepenuhnya. Selain itu ia memberikan kontra warna dan paling utama untuk tujuan kosmetik.

Tiada Gril Speaker

Disebabkan saiz yang kompak, jurutera Huawei terpaksa meletakkan speaker utama ke dalam port USB Type-C. Sementara tempat kebiasaan speaker telah digantikan dengan slot kad SIM dan NM. Rekaan bawah juga kelihatan lebih kemas dan selari memandangkan gril mikrofon tidak lagi wujud seperti yang boleh dilihat pada generasi terdahulu.

Sensor Inframerah

Bahagian atas kerangka tidak dibiarkan kosong malah terdapat sensor inframerah atau dipanggil IR Blaster sebagai ciri tambahan untuk mengawal alat elektronik di dalam rumah. Bersebelahannya pula ialah mikrofon untuk rakaman suara.

Warna Serba Baharu

Warna cerun kali ini lebih gelap berbanding warna Twilight yang tersemat pada peranti P20 Pro. Pada kami lapisan khas yang melindungi permukaan panel belakang ini terasa seperti sedang menyentuh permukaan plastik kerana lapisan khas ini sebenarnya ialah untuk memberikan lebih genggaman kepada pengguna. Erti kata lain ia sebenarnya sedikit melekit. Bukan sahaja panel belakang dikemaskan dengan warna Twilight, Huawei juga menghasilkan kerangka badan dengan warna yang sama – lihat betapa terperincinya pasukan Huawei hari ini.

Ruang Slot

Storan tambahan untuk peranti ini memerlukan kad memori bersaiz nano. Saiz sebesar kad SIM ini adalah yang pertama pernah digunakan pada telefon pintar dan ia jual secara berasingan. Buat masa ini harga untuk NM card 128GB di Malaysia ialah RM298.

Perkakas Dalaman

Pemproses Paling Kecil di Dunia

Perbezaan prestasi antara Kirin 980 dan Snapdragon 845

Mate 20 Pro dan dua model yang lain telah diperkasakan cip pemproses terkini HiSilicon Kirin 980. Cipset berasaskan 7nm ini adalah yang pertama digunakan pada peranti pintar Android serta dibangunkan khusus untuk memberi kuasa maksima, cekap dan lancar, serta jimat tenaga. Memori yang besar juga menyumbang kepada kelancaran peranti dalam melakukan kerja-kerja multi-tasking dan yang paling utama ialah cip ini dapat menghasilkan hasil gambar yang sempurna.

Pie Pertama Huawei

Antaramuka Android 9.0 Pie terbaharu telah ditawarkan terus daripada kotak. Sebaik meneliti ruang tetapan, kami temui sistem navigasi untuk skrin penuh. Jadi, selepas mengaktifkan fungsi tersebut kami dapat menikmati skrin penuh tanpa butang navigasi malah hanya perlu meleret jari untuk kembali atau buka recent apps.

Perkara paling ketara yang ada pada sistem operasi Android Pie ialah ia dapat dihidupkan dengan sangat pantas malah terasa seperti menghidupkan iPhone pula – tidak banyak masa yang diperlukan.

Bateri Gergasi

Ini adalah ciri yang paling berjaya menambat hati kami. Pada mulanya kami agak hairan bagaimana telefon se-kompak ini mampu memuatkan bateri sebesar 4,200mAh. Oleh itu ia menjadikan peranti ini satu-satunya peranti mercu kelas premium yang menawarkan bateri bersaiz gergasi.

Kuasa Mengecas Terlampau

Meizu Super mCharge yang pernah diumumkan sebelum ini dikatakan menyokong kuasa output sehingga 55W sekaligus menjadikan ia teknologi pengecasan paling pantas untuk telefon pintar di atas muka bumi. Namun teknologi tersebut masih belum dikomersialkan seperti yang telah dilakukan oleh Huawei hari ini. Menerusi SuperCharge 40W yang tersedia pada Mate 20 Pro, kami difahamkan ia dapat memenuhkan bateri dari 0% hingga 70% dalam masa hanya 30 minit.

Tidak cukup dengan fakta itu, kami turut melakukan ujian sebenar (bukan di dalam makmal) untuk mengetahui adakah fakta itu benar atau sekadar auta. Jadi, selepas selesai membuat pengecasan penuh apa yang boleh diberitahu ialah kami sangat teruja dengan tempoh masa yang diberikan. Dari 0% ke 100% hanya mengambil masa dalam 1.25 jam atau 75 minit. Ya, untuk bateri berkapasiti melebihi empat ribu, selalunya akan mengambil masa lebih kurang 2 jam atau lebih.

‘Reverse Wireless Charging’

Uniknya Huawei Mate 20 Pro ialah fungsi pengecasan-balik tanpa wayar yang mampu mengecas peranti lain dengan hanya meletakkan ia antara satu sama lain. Ujian kami untuk fungsi ini mendapati proses mengecas menggunakan kabel lebih pantas dan stabil berbanding menggunakan ‘Reverse Wireless Charging’.

Ujian Penanda Aras

Ujian dibuat di AnTuTu, GeekBench, dan A1 SD Bench

Skor yang diperoleh adalah sangat tinggi untuk sebuah peranti Android. Jika dibandingkan dengan peranti lain yang menggunakan cipset Snapdragon 845 atau Exynos 9810 (Note 9), mereka sudah semestinya ketinggalan jauh. Skor ini telah dibantu oleh sistem dwi NPU (dua otak) yang dipadatkan di dalam Kirin 980. Bagi gamers tegar, skor ini sangat membantu mereka dalam membuat pilihan mendapatkan peranti gaming di pasaran. Selain daripada itu, integrasi GPU Turbo sekaligus dapat memaksimakan prestasi permainan sepanjang masa.

Keselamatan

3D Face Unlock

Setelah mengaktifkan sistem pengecaman wajah 3D ini, kami sangat berpuas hati dengan tindak balas yang diberikan. Tidak seperti P20 Pro sebelum ini, sensor pada peranti ini sangat responsif sebaik ia menatap wajah kami. Belum sempat jari menekan skrin untuk diimbas, peranti sudahpun dinyahkunci. Walaupun dalam persekitaran yang gelap (seperti bilik tidur), ia masih lagi mampu melakukan imbasan dengan baik serta cepat.

Pengimbas Cap Jari Dalam Skrin

Oh ya, pilihan alternatif lain untuk menyahkunci peranti ialah menggunakan pengimbas cap jari dalam paparan. Seperti contoh kami tidak ingin mengangkat peranti dari meja, kami hanya perlu melakukan imbasan jari terus pada skrin. Fungsi ini bagi kami mungkin boleh digunakan semasa anda menggunakan topi keledar ataupun memakai topeng muka.

Kamera Utama

Kamera Leica generasi yang terbaru ini tidak lagi hadir dengan sensor monokrom seperti yang terdapat pada peranti Mate 10 Pro dan P20 Pro sebaliknya telah digantikan dengan sensor ultralebar. Pada hemat kami ada kelebihan dan kekurangan untuk setiap lensa. Misalnya, anda ingin mengambil gambar pasangan yang berlatarkan sebuah bangunan tinggi, anda amat memerlukan lensa bersudut ultralebar. Sementara jika anda ingin mengambil gambar di persekitaran yang gelap untuk kontras yang lebih baik sensor monokrom adalah pilihan yang terbaik.

Lensa ultralebar

Penambah baikan yang dilakukan juga ialah pada sistem zum. Kini pengguna dapat mengambil gambar jauh dengan lebih dekat menggunakan sensor telefoto 8MP. Menerusi zum optikal 5x, kami dapat mengambil gambar tanpa gegaran dan tulisan pada papan tanda pula masih boleh dibaca menggunakan zum digital 10x. Pengezuman ini turut dibantu oleh kecerdasan buatan generasi terbaharu daripada Kirin 980.

Kami juga tahu ada diantara anda yang sudah ke bilik pameran untuk merasai sendiri pengalaman sementara dengan barisan Huawei Mate 20, tetapi anda mungkin tidak dapat membawanya keluar dari bilik pameran untuk bermain dengan kameranya. Ciri penggambaran yang telah menjadi imej tumpu kali ini ialah Super Macro, dimana pengguna boleh mengambil gambar sedekat 2.5cm – yang tidak mampu dilakukan di mana-mana telefon pintar lain. Ciri ini sangat membantu kami ketika mengambil gambar secara dekat. Misalnya gambar serangga atau tekstur pada sesuatu objek, hasilnya lebih terperinci.

Klik pautan berikut untuk melihat hasil gambar Huawei Mate 20 Pro:

Hasil Gambar Huawei Mate 20 Pro Dari Tangan Kami

Kamera Depan

Kamera depan pada peranti ini telah dimuatkan dengan sensor 24MP berteknologi Leica. Kelebihan yang ada pada kamera ini salah satunya ialah penapis efek yang membolehkan diri kelihatan lebih menarik tanpa perlu membuat suntingan menggunakan aplikasi pihak ketiga.

Bagaimanapun aplikasi kamera ini sangat mengelirukan kami, Huawei seolah-olah mencampuradukkan dua fungsi yang berbeza dalam satu pilihan. Contohnya, kami bersedia untuk mengambil gambar swafoto dan secara tiba-tiba jari terleret ke sebelah kanan, mod Night Shot khas untuk kamera belakang akan diaktifkan. Jika ingin kembali semula, kami perlu mengaktifkan kamera depan semula.

Kami perasan, masalah antaramuka kamera ini telah wujud sejak EMUI 8 terdahulu. Sehingga kini, pihak Huawei masih lagi belum melepaskan sebarang kemas kini khusus untuk mengatasi masalah tersebut.

Pendapat TeknoRatz

Huawei Mate 20 Pro ialah sebuah peranti yang boleh dikagumi kerana ia sarat dengan pelbagai ciri yang diperlukan untuk sebuah telefon pintar. Kami sangat berpuas hati dengan reka bentuk yang dilakukan Huawei pada kali ini. Peranti ini sangat selesa berada di telapak tangan malah skrin melengkung meningkatkan lagi pengalaman menonton video dan hiburan. Walaupun tubuh badan peranti ini nipis, ketahanan bateri yang diberikan boleh membuatkan kami tidak berhenti bermain dengannya sepanjang hari.

Buat masa ini, ia antara telefon berkamera yang paling baik pernah kami cuba. Lensa ultralebar yang dimuatkan sangat-sangat berguna ketika ingin mengambil gambar pemandangan. Jika anda seorang yang suka merakam gambar jarak jauh, sensor Leica generasi keempat ini mampu memberikan hasil yang terbaik. Bantuan penggambaran Master AI juga dapat menjadikan pengalaman fotografi anda ke tahap yang lebih tinggi.

Proses menyahkunci peranti tidak ada isu, seperti yang kami katakan fungsi pengecaman wajah 3D sangat responsif, jarang sensor ini gagal mengecam wajah kami. Sementara, pengimbas cap jari dalam paparan pula pada kami sedikit lambat dan kami lebih suka dengan pengimbas cap jari biometrik yang ada pada Mate 20 dan Mate 20 X. Bagaimanapun, secara keseluruhan tiada masalah untuk kami membuka peranti.

Namun begitu, ada kekurangan kami temui. Ianya bunyi daripada speaker. Ada kalanya telefon pintar pada harga lebih murah memiliki speaker yang lebih kuat dan lantang. Mungkin disebabkan ia tidak memilki gril speaker, bunyi yang dihasilkan juga menjadi terhad. Selain itu, bicu audio yang telah tiada bakal membuatkan anda berbelanja lebih untuk mendapatkan fon kepala bluetooth secara berasingan.

Bagi anda penggemar fotografi, skrin beresolusi tinggi, bateri tahan lama, dan reka bentuk moden, Huawei Mate 20 Pro perlu diberikan perhatian. Pada kami tanda harga yang diletakkan juga setimpal dengan ciri-ciri yang diberikan.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend