Huawei Mate 20 Dan Mate 20 Pro – Apa Yang Diketahui Setakat Ini?! Comments Off on Huawei Mate 20 Dan Mate 20 Pro – Apa Yang Diketahui Setakat Ini?!

Huawei yang kini semakin popular di kalangan pengguna tegar peranti yang dikuasakan dengan Android bakal muncul dengan siri Mate terbaharunya nanti dengan penawaran tiga varian iaitu Huawei Mate 20, Huawei Mate 20 Lite dan juga Huawei Mate 20 Pro. Sebelum ini pelbagai pihak dilihat berusaha keras untuk mendapatkan maklumat awal berhubung siri Mate ini tetapi ia sekadar khabar angin yang tidak dapat disahkan kesahihannya.

XDA Forum nampaknya tampil dengan maklumat yang lebih meyakinkan, apabila baru-baru ini ia telah berjaya memperolehi maklumat awal tentang siri Huawei Mate terbaharu ini berdasarkan daripada fail firmware peranti tersebut. Berikut adalah antara pendedahan tentang spesifikasi dan juga maklumat berkaitan siri Huawei Mate 20 ini…

#1. Pemproses

Huawei Mate 20 dan Mate 20 Pro merupakan telefon pintar Android yang pertama akan dikuasakan dengan pemproses Kirin 980. Malah pemproses ini juga merupakan SoC pertama yang telah dibangunkan dari proses 7nm di pasaran. Walaupun maklumat rasmi pemproses ini masih belum didedahkan, ia dikhabarkan mampu menjanjikan prestasi 20% lebih berkuasa dan dalam masa yang sama 40% lebih efisien tenaga.

Malah Digitimes juga sebelum ini telah melaporkan bahawa Kirin 980 akan tampil menggunakan teras Cortex-A77 dengan kelajuan maksimum sehingga 2.8GHz. Kirin 980 akan diumumkan secara rasmi di dalam acara IFA 2018 yang akan berlangsung di Berlin tidak lama lagi.

#2. Bateri

Berbeza dengan peranti flagship yang lain, Huawei sememangnya terkenal dengan sikap murah hatinya dalam menyediakan bateri berkapasiti besar. Jika sebelum ini Huawei Mate 10 dan Huawei P20 Pro telah ditawarkan dengan sokongan bateri berkapasiti 4000 mAh, Huawei Mate 20 (mungkin juga Huawei Mate 20 Pro) akan memiliki kapasiti bateri lebih besar iaitu 4200 mAh.

Namun begitu, buat masa ini masih belum dapat disahkan lagi teknologi pengecasan pantas yang akan disokong pada siri Huawei Mate 20 ini nanti.

#3. Skrin

Melalui penemuan yang berjaya diperolehi dari fail firmware itu, ia telah memperlihatkan sokongan paparan skrin berukuran 6.3 inci dengan panel AMOLED. Sungguhpun begitu masih belum dapat dipastikan sama ada ia akan hadir dengan rekaan skrin bertakuk ataupun tidak dan saiz skrin ini tidak dapat disahkan sama ada merujuk kepada model Huawei Mate 20, Mate 20 Lite ataupun Mate 20 Pro. Tetapi jika diambil kira ketirisan maklumat sebelum ini, Huawei Mate 20 Pro dikatakan hadir dengan skrin sebesar 6.9 inci.

#4. Memori

Huawei Mate 20 telah disahkan akan menyokong kombinasi memori sama seperti Huawei P20 Pro iaitu ruang storan 128GB dengan RAM 6GB. Manakala dua lagi model iaitu Mate 20 Lite dan Mate 20 Pro tidak pula diketahui berapakan sokongan memori yang akan ditawarkan.

Huawei P20 Pro sebelum ini turut ditawarkan dalam satu kombinasi memori sahaja iaitu 128GB + RAM 6GB.

#5. Pengecasan tanpa wayar

Huawei Mate 20 juga telah disahkan akan menyokong teknologi pengecasan tanpa wayar dan ini secara tidak langsung mengesahkan rekaan panel belakang yang diperbuat daripada kaca. Sungguhpun begitu, tidak dapat disahkan sama ada ia menyokong teknologi pengecasan pantas tanpa wayar ataupun tidak.

Sokongan teknologi pengecasan tanpa wayar pada Huawei Mate RS Porsche Design kini akan ditawarkan pada Huawei Mate 20.

#6. Versi Android

Ketiga-tiga varian ini dikatakan akan dioperasikan dengan antaramuka EMUI 9.0 berasaskan Android P (Android 9.0). Pihak XDA sendiri ada cuba mengoperasikan aplikasi sistem tersebut pada Huawei Mate 10 dengan sokongan Android P, tetapi ia tidak dapat dioperasikan seperti biasa. Ini berkemungkinan besar disebabkan sokongan EMUI 9.0 yang jauh berbeza jika dibandingkan dengan EMUI 8.2.

#7. Pengimbas cap jari pada skrin

Di antara ketiga-tiga varian dari siri Huawei Mate ini, hanya varian Mate 20 Pro sahaja yang akan hadir dengan sokongan pengimbas cap jari pada skrin. Buat masa ini, hanya Huawei Mate RS Porsche Design sahaja yang menampilkan sokongan teknologi keselamatan biometrik inovasi tersebut.

#8. Senarai nombor model untuk siri Huawei Mate 20

Huawei Mate 20:

  • HMA–AL00
  • HMA–L09
  • HMA–L29
  • HMA–TL00

Huawei Mate 20 Lite:

  • SNE–AL00
  • SNE–AL00B
  • SNE–LX1
  • SNE–LX2
  • SNE–LX3
  • SNE–TL00

Jadi bagi memastikan kesahihan ketirisan maklumat ini, nantikan sahaja pengumuman rasmi dari Huawei yang baru-baru ini telah berjaya merampas kedudukan di tempat kedua sebagai pengeluar telefon pintar terbesar daripada Apple.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend