HUAWEI Lancar Telefon Pintar Bajet Y6P Dan Y5P Serta Tablet Bajet MatePad T8 Comments Off on HUAWEI Lancar Telefon Pintar Bajet Y6P Dan Y5P Serta Tablet Bajet MatePad T8

Baru semalam berita tentang telefon pintar bajet HUAWEI Y6P dan HUAWEI Y5P tertiris, ternyata kedua-dua model itu sudahpun dilancarkan secara rasmi untuk pasaran di Romania dan Kemboja. Lebih menariknya, HUAWEI turut melancarkan tablet MatePad T8 untuk pasaran di negara itu.

HUAWEI Y6P

HUAWEI Y6P telah dikuasakan dengan cipset Helio P22, dan dioperasikan oleh EMUI 10.1 berasaskan Android 10 tanpa sokongan GMS (Google Mobile Services). Sebaliknya kesemua aplikasi daripada Google telah digantikan dengan HUAWEI Mobile Services (HMS).

Dilengkapi skrin 6.3 inci IPS LCD HD+, ia memiliki takuk kecil untuk menempatkan kamera depan beresolusi 8MP. Manakala panel belakangnya tersedia dengan tiga kamera beresolusi 13MP + 5MP (Ultra Wide) + 2MP (Depth), dan juga sensor pengimbas cap jari.

Ditawarkan dalam satu varian iaitu 3GB + 64GB, HUAWEI Y6P dengan sokongan bateri 5000mAh ini akan dijual pada harga RON799 (~RM774).

HUAWEI Y5P

Dilengkapi dengan cipset yang sama iaitu Helio P22, HUAWEI Y5P turut dioperasikan dengan EMUI 10.1 + HMS berasaskan Android 10. Ia menyokong spesifikasi lebih rendah dengan menawarkan RAM berkapasiti 2GB dan juga storan dalaman sebesar 32GB.

Saiz skrin TFT LCD berukuran 5.45 inci HD+ dengan kehadiran bezel tebal pada bahagian atas skrin peranti ini telah menempatkan kamera swafoto beresolusi 5MP, dan juga dwi kamera utama beresolusi 8MP + 2MP (Depth).

HUAWEI Y5P dengan bateri berkapasiti 3020mAh ini tersedia dalam tiga warna pilihan iaitu hitam, biru dan hijau. Ia ditawarkan pada harga RON599 (~RM580) untuk pasaran Romania.

HUAWEI MatePad T8

Selain dua model telefon pintar bajet, HUAWEI turut melancarkan tablet bajet terbaharunya iaitu HUAWEI MatePad T8. Tablet ini telah dikuasakan dengan cipset MediaTek MT8768, 2GB RAM dan juga pilihan storan 16GB atau 32GB.

Ia turut menyokong paparan skrin IPS LCD berukuran 8 inci HD (1280 x 800 piksel), bateri berkapasiti 5100mAh, dan dioperasikan oleh EMUI 10.0.1 (Android 10) dengan sokongan HMS.

HUAWEI MatePad T8 tersedia dalam satu warna sahaja iaitu biru, dan ia akan dijual pada harga bermula daripada RON500 (~RM484).

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend