Huawei Akan Umum Telefon Pintar Dengan Skrin Boleh Lipat Yang Pertama Di Dunia Pada November Nanti 0 359

Huawei nampaknya semakin maju ke hadapan dalam arena pembuatan telefon pintar apabila mereka telah bercadang untuk memperkenalkan telefon pintar dengan skrin boleh lipat pada November 2018 nanti.

Berdasarkan kepada laporan yang dikongsikan oleh ETNews, Huawei kini sudahpun memulakan projek untuk membangunkan telefon pintar dengan skrin boleh lipat bagi memastikan mereka mampu menjadi pengeluar yang pertama di dunia tampil dengan inovasi tersebut. Malah Huawei juga sebelum ini sudahpun menjalinkan kerjasama dengan rakan niaga domestik dan luar negara yang memiliki keupayaan serta teknologi untuk menjayakan projek tersebut.

Selain Huawei, pengeluar seperti Samsung, LG dan juga Lenovo juga sebelum ini sudah merancang untuk memperkenalkan telefon pintar dengan skrin boleh lipat.

Projek untuk menghasilkan telefon pintar dengan skrin boleh lipat dari Huawei ini dikatakan akan menggunakan paparan OLED yang akan dihasilkan oleh LG Display. Namun begitu telefon pintar dengan skrin boleh lipat ini tidak akan terus dijual pada November nanti, sebaliknya ia akan hanya didedahkan kepada umum terlebih dahulu bagi membolehkan Huawei mendapatkan respons daripada pengguna.

Huawei juga dikatakan turut merancang untuk memperkenalkan telefon pintar dengan skrin boleh lipat yang menyokong rangkaian 5G pada suku kedua tahun 2019 nanti.

 

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend