HTC Umum Dua Model Terbarunya, HTC Desire 12 Dan Desire 12+ Comments Off on HTC Umum Dua Model Terbarunya, HTC Desire 12 Dan Desire 12+

Pada awal bulan Mac yang lalu, kami ada berkongsi dengan anda tentang pendedahan awal spesifikasi peranti terbaru keluaran HTC yang tampil dengan nama kod ‘Breeze’ dan ‘Breeze Plus’. Hari ini HTC telah mengesahkan kewujudan kedua-dua peranti itu melalui pengumuman ringkas yang dibuat melalui akaun Twitter rasmi mereka.

Melalui perkongsian tweet yang berasingan itu, HTC telah mengumumkan kehadiran model Desire 12 dan Desire 12+ yang menampilkan rekaan paparan skrin moden dengan nisbah 18:9. Melalui perkongsian itu, HTC Desire 12 dan Desire 12+ mengekalkan ciri rekaan panel kaca ‘liquid surface’ yang mula diperkenalkan pada pertengahan tahun lepas melalui model HTC U11.

HTC Desire 12 menampilkan paparan skrin berukuran 5.5 inci HD+ (1440 x 720 piksel) dengan sokongan satu kamera utama beresolusi 13 Megapiksel. Ia ditawarkan dalam dua pilihan storan berbeza iaitu 16GB + RAM 2GB, dan juga 32GB + RAM 3GB yang sudah tentunya disasarkan untuk segmen pasaran yang lebih rendah.

Manakala HTC Desire 12+ pula menyokong saiz skrin yang lebih besar berukuran 6.0 inci HD+ (1440 x 720 piksel), penyediaan dwi kamera utama beresolusi 13 Megapiksel + 2 Megapiksel, dilengkapi LED flash untuk kamera hadapan, dioperasikan oleh Android Oreo, hadir dengan pemproses lapan teras berkelajuan 1.8GHz, dan juga ruang storan berkapasiti 32GB + RAM 3GB.

Namun begitu, HTC masih lagi belum berkongsi tarikh pelancaran rasmi kedua-dua model ini dan juga tiada sebarang harga jualan dapat diperolehi setakat ini.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend