Honor V20 Dilancarkan Secara Rasmi Dengan Kirin 980, Kamera Swafoto 25MP Pada Skrin Dan Kamera Utama 48MP Comments Off on Honor V20 Dilancarkan Secara Rasmi Dengan Kirin 980, Kamera Swafoto 25MP Pada Skrin Dan Kamera Utama 48MP

Peranti pertama keluaran Honor yang tampil dengan rekaan lubang kamera swafoto pada skrin iaitu model Honor V20 akhirnya telah dilancarkan secara rasmi di China hari ini. Apa yang pasti, kemunculan Honor V20 di pasaran sudah tentunya memberikan saingan kepada peranti kelas pertengahan yang lain di pasaran kerana ia menjanjikan sokongan spesifikasi yang berkuasa.

Honor V20 menjanjikan prestasi antara yang terbaik dengan sokongan pemproses 7nm daripada Kirin 980, ruang storan dalaman sehingga 256GB, dan juga kapasiti RAM sehingga 8GB. Bahkan ketahanan baterinya juga tidak mengecewakan kerana hadir dengan bateri berkapasiti 4000 mAh dengan sokongan teknologi pengecasan pantas 22.5W atau bersamaan 4.5V5A.

Apa yang membuatkan Honor V20 lebih istimewa adalah sokongan paparan skrin penuh IPS LCD tanpa takuk berukuran 6.4 inci FHD+ (2310 x 1080 piksel). Lebih menariknya, kedudukan kamera swafoto beresolusi 25MP pada peranti ini telah ditempatkan di dalam skrin dengan kehadiran lubang pada skrin berdiameter 4.5mm.

Dioperasikan dengan antaramuka EMUI 9.0 berasaskan Android 9.0 Pie, Honor V20 turut menyokong teknologi GPU Turbo bagi memastikan kelancaran prestasi grafik. Tidak cukup dengan itu, sistem penyejukan cecair yang dikenali sebagai ‘The NINE’ juga berupaya membebaskan haba untuk komponen berbeza seperti kamera, CPU dan juga litar bersepadu pengecas.

Honor V20 turut menjanjikan keupayaan penggambaran yang lebih canggih dengan sokongan dwi kamera yang disusun secara melintang. Kamera utama menampilkan lensa beresolusi 48MP daripada Sony IMX586, manakala kamera keduanya pula menggunakan lensa stereo daripada 3D ToF (Time of Flight) yang digunakan untuk tujuan AR (Realiti Tambahan).

Sokongan lensa 3D ToF ini bukan sahaja boleh mengukur kedalaman, tetapi ia juga berupaya membuat pengecaman struktur tulang, mengenal pasti pergerakan, dan juga pembentukan badan 3D. Ketersediaan ciri-ciri sebegini secara tidak langsung membolehkan Honor V20 untuk menyokong permainan berasaskan somatosensori 3D.

Honor V20 ditawarkan dalam tiga warna pilihan dengan efek pantulan cahaya yang sangat menarik pada panel belakangnya iaitu Magic Night Black, Charm Blue Sear dan juga Charm Red. Terdapat dua varian akan diperkenalkan dan akan dijual pada harga seperti berikut:

  • 6GB + 64GB – CNY2,999 (kira-kira RM1,815)
  • 8GB + 128GB – CNY3,499 (kira-kira RM2,118)

Honor juga turut bekerjasama dengan jenama mewah dari Itali iaitu MOSCHINO untuk memperkenalkan edisi Honor V20 MOSCHINO yang menyokong konfigurasi memori lebih besar iaitu 8GB + 256GB. Edisi istimewa ini akan dijual pada harga CNY3,999 iaitu kira-kira RM2,420 bermula 28 Disember 2018 nanti.

Honor V20 akan dilancarkan untuk pasaran global di Perancis pada 22 Januari 2019 nanti.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend