Honor Play Melawan Huawei Nova 3i – Mana Satu Yang Patut Dibeli? 0 1602

Semakin hari semakin banyak model peranti terbaharu dilancarkan di negara ini sekaligus menjadikan orang ramai yang berkeinginan membeli berasa keliru untuk membuat pilihan. Seperti contoh, buat masa ini ada yang bertanyakan soalan kepada kami apakah perbezaan antara Honor Play dengan Huawei nova 3i?

Jawapan kami mudah saja, bezanya ialah satu peranti memfokuskan fotografi dan satu peranti lagi memfokuskan permainan mudah alih. Oleh kerana dua peranti ini berkongsi tanda harga yang sama, mari kita lihat apa perbezaan untuk dua telefon pintar ini secara ringkas.

Binaan Badan

Warna istimewa Iris Purple

Binaan badan yang menggunakan panel kaca sudah menjadi trend dalam tempoh setahun ini termasuklah Huawei nova 3i yang hadir dengan warna gradien Iris Purple seakan warna Twilight. Bagi mereka yang tidak ingin kelihatan menonjol atau lebih meminati telefon berbadan logam, Honor Play mungkin peranti yang sesuai. Bagi kami dua jenis bahan binaan ini ada kelebihan dan kekurangannya masing-masing. Salah satu sifat badan logam ialah ia kurang memerangkap kotoran cap jari tetapi agak licin untuk dipegang, sementara badan dengan panel kaca pula bersifat sebaliknya.

*unit reviu Huawei nova 3i yang kami terima ialah berwarna hitam dan bukan Iris Purple

Pemenang → Seri

Pemproses

Gambar semasa pelancaran rasmi Honor Play tempoh hari

Daripada segi teras kuasa, Honor Play menggunakan cip in-house iaitu Kirin 970. Cipset ini merupakan teknologi pemproses yang terbaik setakat ini pernah dikeluarkan oleh Huawei. Untuk Huawei nova 3i pula, ia telah dikuasakan menerusi cipset kelas pertengahan iaitu Kirin 710. Perbezaan antara dua cipset ini telah dikelaskan di bawah siri yang berbeza, Kirin 970 berada di paling atas dan Kirin 710 berada di kelas pertengahan. Walaubagaimanapun, Kirin 710 adalah teknologi yang baru sahaja dibangunkan tahun ini oleh sebab itu ia relevan untuk kegunaan dalam tempoh masa 2 ke 3 tahun akan datang.

Pemenang → Honor Play

Sistem Operasi

Paparan skrin Huawei nova 3i (kiri) dan Honor Play tampil dengan saiz yang sama 6.3″ FHD+

Honor Play dan Huawei nova 3i menggunakan antaramuka yang sama iaitu EMUI 8.2 berdasarkan Android 8.1 Oreo. Apa yang boleh dibezakan ialah Honor Play menyokong integrasi GPU Turbo terus daripada kotak dimana Huawei nova 3i tidak didatangkan sebaik peranti dihidupkan. Menurut pihak Huawei, peranti ini akan menerima kemas kini GPU Turbo bermula bulan ini secara berperingkat. Sistem yang mengoptimumkan pemproses ini sekaligus dapat memainkan permainan mudah alih dengan lebih lancar dan lebih cepat disamping kuasa bateri yang efisyen.

Pemenang → Seri

Bateri

Teknologi bateri lebih maju pada Honor Play

Dari sudut kuasa, kami lihat kelebihan berpihak kepada Honor Play kerana ia dibekalkan bateri berkapasiti 3,750mAh dan menyokong pengecasan pantas 9V/2A (18W) manakala Huawei nova 3i pula menggunakan bateri yang lebih kecil iaitu sebesar 3,340mAh dengan teknologi pengecasan standard 5V/2A (10W). Apa-apapun untuk proses pengecasan bateri pada Honor Play lebih cepat untuk dipenuhkan.

Pemenang → Honor Play

Kamera

Jika anda suka mengambil gambar menerusi kamera belakang secara teknikal Huawei nova 3i dan Honor Play mampu memberikan hasil gambar yang sama. Ini disebabkan konfigurasi kamera menggunakan sensor yang serupa dan ia juga menyokong penggambaran AI.

Akses kepada fungsi HDR Pro dan AI Camera pada Huawei nova 3i

Berbeza pula dengan kamera depan, Huawei nova 3i nampaknya lebih maju dalam mengambil gambar swafoto. Fungsi HDR Pro dan AI Camera sekaligus membantu pengguna mendapatkan gambar yang lebih jelas dan cantik. Bukan katakan Honor Play tidak baik tetapi dengan kekurangan dua ciri yang disebutkan tadi menjadikan hasilnya kurang menarik.

Pemenang → Huawei nova 3i

Sambungan Port

Dimensi hampir sama di kedua-dua peranti tetapi Huawei Nova 3i lebih ringan

Sambungan USB Type-C sangat-sangat membantu pengguna sekiranya mereka ingin mencucuk kabel di dalam bilik yang gelap. Selain itu, ia juga dapat memindahkan data daripada telefon ke komputer dengan lebih cepat. Tahniah diucapkan kepada Honor yang meletakkannya pada peranti Honor Play. Untuk pesaingnya, jauh ketinggalan di belakang kerana masih kekal dengan sambungan microUSB. Sedih!

Pemenang → Honor Play

Harga

Bagi yang memperuntukkan bajet setinggi RM1,250, setakat ini dua peranti ini sahaja yang menawarkan perkakasan dengan ciri-ciri yang mantap. Apa kami boleh katakan ialah ia agak berbaloi dengan wang yang akan anda keluarkan kerana buat masa ini masih belum ada peranti yang setara dengannya untuk dibandingkan khususnya daripada segi spesifikasi dan nilai.

Pemenang → Seri

 Rumusan

Pengalaman yang hampir serupa sebenarnya

Untuk mengurangkan kebingungan anda dalam membuat pilihan sama ada Honor Play atau Huawei nova 3i. Kami berpendapat, bagi yang lebih cenderung untuk berinteraksi di media sosial, Huawei nova 3i ialah pilihan yang lebih tepat kerana ia didatangkan dengan dwi kamera depan berkuasa AI malah turut membawakan ciri 3D Qmoji. Sementara kepada yang mengutamakan permainan mudah alih khususnya, kami sarankan anda mendapatkan Honor Play. Bukan itu sahaja, prestasi Honor Play juga setanding dengan peranti induk lain di pasaran.

Baca juga:

Honor Play Dilancarkan Pada Harga RM1,249 Dengan Kuasa GPU Turbo

,Huawei Nova 3 Dan Nova 3i Kini Dilancarkan Di Malaysia Pada Harga Bermula Dari RM1,249

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend