HONOR MagicBook Pro Turut Dilancarkan Dengan Skrin 16.1″ FHD, Intel Core-i7 Dan GeForce MX250 Comments Off on HONOR MagicBook Pro Turut Dilancarkan Dengan Skrin 16.1″ FHD, Intel Core-i7 Dan GeForce MX250 135

Selain melancarkan siri HONOR 9X secara rasmi di China, HONOR turut memperkenalkan komputer riba Windows generasi baharunya di dalam majlis yang sama. Berbeza dengan MagicBook generasi sebelum ini, MagicBook Pro kini tampil dengan pembaharuan pada rekaan fizikal dan juga penambahbaikan spesifikasi, seiring dengan namanya.

HONOR MagicBook Pro menjanjikan saiz paparan skrin lebih besar iaitu mencecah 16.1 inci FHD (1920 x 1080 piksel), dengan rekaan bezel yang sangat kecil berukuran hanya 4.9mm sahaja. Dengan sokongan nisbah skrin-ke-kerangka mencecah 90 peratus, HONOR mendakwa saiz komputer ribanya adalah lebih kompak berbanding kebanyakan komputer riba dengan skrin 15.6 inci di pasaran.

Dari segi prestasi, MagicBook Pro telah dikuasakan dengan pemproses Intel Core-i7-8565U, sokongan kad grafik NVIDIA GeForce MX250, RAM berkapasiti 8GB, dan juga storan SSD sebesar 512GB. Kehadiran bateri berkapasiti 56Wh pada komputer riba ini juga didakwa mampu menawarkan ketahanan penggunaan sehingga 14 jam.

Selain menyokong speaker stereo yang ditempatkan di kiri dan kanan papan kekunci, MagicBook Pro tersedia dengan kamera web yang tersembunyi di antara butang F6 dan F7. Sama seperti HUAWEI MateBook X Pro, anda hanya perlu menekan butang dedikasi kamera web itu apabila hendak menggunakannya.

Tersedia dalam dua varian berbeza, MagicBook Pro versi Intel Core-i5 akan dijual pada harga CNY5,499 (~RM3,291), manakala versi Intel Core-i7 pula berharga CNY6,199 (~RM3,710). HONOR turut mengesahkan varian tertinggi dengan sokongan 16GB RAM dan storan SSD 1TB akan diumumkan harganya pada Ogos depan.

Baca juga:

HONOR 9X Dan 9X Pro Kini Rasmi Dengan Kirin 810, Skrin Penuh Dan Kamera Depan Terangkat

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend