Honor Buang Bezel Untuk Skrin Yang Lebih Luas – Honor 8X 0 550

Lambakan telefon pintar di pasaran telah membuatkan ramai orang keliru untuk memilih sesuatu peranti – lebih-lebih lagi jika telefon pintar itu dijual pada harga yang mampu dimiliki semua. Setelah diberi peluang untuk membuat ulasan Honor 8X, kami berpendapat peranti ini sama sahaja dengan yang lain. Tetapi, ada kelainan yang dibawakan Honor untuk kali ini. Honor 8X kini tampil dengan paparan hampir penuh dan ruang dagu lebih nipis.

Spesifikasi

  • 6.5″ IPS LCD 19:9 (2340 x 1080p)
  • 91% nisbah skrin-ke-kerangka
  • HiSilicon Kirin 710
  • EMUI 8.2 + Android 8.1 Oreo
  • Memori 4GB + 64GB
  • Sokong microSD sehingga 256GB
  • Kamera utama 20MP f/1.8 PDAF + 2MP bokeh
  • Kamera depan 16MP f/2.0
  • 3,750mAh microUSB (5V/2A)
  • Bluetooth v4.2 / Face Unlock / Pengimbas cap jari
  • Warna Hitam, Biru, Merah, Merah Jambu
  • Berat 175g
  • RM1,099 (anggaran)

Kotak Pembungkusan

Memandangkan kami terima unit ulasan, sarung pelindung dan pin ejektor tidak disertakan

Aspek Luaran

Paparan

Ini merupakan kali pertama Honor mengeluarkan peranti dengan skrin hampir penuh dengan ruang dagu yang nipis. Menggunakan skrin 19:9 bertakuk, peranti ini direka dengan nisbah skrin-ke-kerangka sehingga 91% sekaligus menjadikan ia peranti berbadan 5.5-inci tetapi memiliki paparan 6.5-inci.

Bukan setakat dengan itu, Honor turut menawarkan teknologi TUV Rheinland pada paparan skrin Honor 8X buat julung kalinya. Melalui teknologi ini, ia menyediakan paparan yang lebih selesa untuk ditatap agar mata tidak berasa keletihan ketika menggunakan peranti dalam persekitaran gelap.

Kamera Swafoto

Pengalaman swafoto pada kamera depan Honor 8X agak biasa bagi kami dan apa yang boleh dibanggakan ialah sensor 16 Megapiksel ini boleh mengambil gambar berlatar belakang kabur. Selain itu, efek lensa AR dengan sejumlah animasi yang boleh dipilih turut ditawarkan sebaik aplikasi kamera dilancarkan.

Kamera Utama

Honor 8X menerima baik sokongan dwi kamera, jadi ia dibekalkan dengan sensor 20 Megapiksel f/1.8 bersama sensor kedalaman 2 Megapiksel untuk penggambaran bokeh. Selari dengan perkembangan teknologi semasa, Honor telah memasukkan teknologi AI Camera pada peranti ini. Bantuan sampingan seperti LED flash secara tidak langsung membantu kami mengambil gambar pada waktu malam. Kekurangannya pula ialah pada sistem pemfokusan yang agak perlahan jika dibandingkan dengan teknologi Dual Pixel pada peranti yang sama harga di pasaran.

Pengimbas Cap Jari

Sistem keselamatan nyahkunci peranti menggunakan cap jari tidak dinafikan ialah antara yang paling popular digunakan oleh ramai orang. Walaupun begitu, kami juga sebenarnya ada pilihan yang lain iaitu menyahkunci menggunakan pengecaman wajah, Face Unlock.

Panel Gelas

Bagi meningkatkan nilai estetik peranti ini, Honor 8X dibina dengan panel gelas di belakang. Kelebihan yang ada pada panel gelas ialah ia kelihatan lebih premium berbanding penggunaan bahan aluminium. Selain itu, genggaman juga lebih grip dan tidak berasa licin tetapi yang menjengkelkan ialah kotoran cap jari yang mudah terperangkap dan perlu dibersihkan dengan kerap.

Nota: Sarung pelindung TPU jernih yang didatangkan di dalam kotak pembelian setidak-tidaknya dapat mengurangkan kotoran cap jari malah dalam masa sama mampu melindungi peranti daripada kerosakan luaran.

Sambungan MicroUSB

Ya, peranti ini masih lagi menggunakan sistem pengecasan dan pemindahan data menerusi microUSB. Agak ketinggalan untuk penggal terakhir tahun 2018, tetapi apakan daya pihak pengeluar masih tidak mahu gunakan port jenis USB Type-C.

Tiga Slot

Bagi memudahkan kami membuat panggilan telefon dalam masa sama inginkan juga akses internet daripada dua SIM yang berbeza, Honor 8X mampu menawarkan keperluan tersebut. Kami juga tidak perlu berserabut kepala untuk memindahkan atau mengalihkan kad SIM yang telah dimasukkan kerana terdapat satu lagi slot untuk kad microSD jika-jika kami inginkan storan tambahan.

Persembahan Antaramuka

EMUI 8.2

GPU Turbo

Gabungan GPU Turbo + 4D Gaming

Antaramuka Honor 8X direka sama seperti kebanyakan peranti terbaharu Huawei. Jadi, ia dioperasikan oleh EMUI 8.2 berasaskan Android 8.1 Oreo lantas menyokong integrasi GPU Turbo untuk kegunaan permainan mudah alih.

Game Suite

Melalui ciri ini, kami dapat bermain permainan mudah alih tanpa diganggu oleh kenalan yang membuat panggilan atau menghantar mesej. Game Suite boleh digunakan pada mana-mana aplikasi permainan yang digemari, malah jika butang Game Acceleration ditekan, peranti akan menaikkan prestasi ke tahap maksimum supaya pengalaman permainan menjadi lebih imersif.

4D Smart Shock

Tetapan boleh dibuat di dalam aplikasi pra-pasang Game Suite

Honor 8X merupakan peranti kedua yang menyokong 4D Smart Shock selepas Honor Play. Kami mencuba permainan PUBG Mobile dan ternyata efek gegaran ini memberikan sedikit keterujaan semasa bermain. Gegaran yang berbeza boleh dirasakan semasa di medan tempur (mengikut senjata). Tetapi untuk menjimatkan bateri, kami telah memadam efek ini daripada berterusan.

Prestasi

Prestasi yang ditunjukkan oleh peranti ini tidak mengecewakan kami. Memandangkan teknologi Kirin 710 ialah yang terbaharu, jadi ia mampu memberikan kelancaran dan kepantasan kepada pengguna tanpa sebarang masalah lag. Tiada isu kepanasan sepanjang ulasan cuma untuk aplikasi tertentu seperti permainan ‘berat’ barulah peranti ini mula mengeluarkan haba yang banyak (perkara normal).

Hasil Gambar

Pengamatan kami, kamera berkuasa AI pada peranti ini agak baik jika diikutkan daripada segi harga. Talaan gambar dengan bantuan AI dapat memberikan efek yang ketara lebih-lebih lagi jika kamera dihalakan ke arah langit. Efek HDR dan gabungan AI telah menaikkan lagi warna langit yang pudar menjadi lebih menonjol. Bagaimanapun, apa yang kami tidak suka ialah gambar rumput yang nampak keterlaluan warna hijau-nya. Swafoto pula, kami perhatikan hasilnya agak baik walaupun tidak diberikan kuasa AI, pemprosesan imej telah melakukan tugasnya dengan baik sekali.

Kesimpulan

Secara keseluruhan Honor 8X dapat memberikan pengalaman penggunaan yang baik kepada pengguna. Walaupun harganya masih menjadi tanda tanya, kami yakin pihak Honor Malaysia tidak akan menjualnya dengan harga yang melebihi kemampuan rakyat Malaysia. Kami cuba membuat tekaan awal harga untuk peranti ini. Kemungkinan ia akan dipasarkan pada harga lebih kurang RM1,000. Peranti ini akan dilancarkan secararasmi akan diadakan pada 9 Oktober 2018.

Tiga perkara yang kami ingin rumuskan ialah Honor 8X memiliki skrin yang besar. Binaan badannya pula diperkemaskan dengan gelas yang tampak premium. Selain daripada itu, kami juga boleh tabalkan Honor 8X sebagai peranti kelas pertengahan terbaik setakat ini.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend