Honor 8X Dan Honor 8X Max Diumumkan – Saiz Berbeza Takuk Tak Sama Comments Off on Honor 8X Dan Honor 8X Max Diumumkan – Saiz Berbeza Takuk Tak Sama

Honor hari ini telah tampil dengan produk terbaharu mereka yang dipanggil Honor 8X dan Honor 8X Max. Dua model ini telah dilancarkan di China semalam memperlihatkan peranti dengan spesifikasi pertengahan yang mana salah satunya memiliki skrin paparan yang besar.

Honor 8X ialah model yang kecil, ia dilengkapi cipset Kirin 710 serta memori 4GB atau 6GB RAM diikuti storan seluas 128GB. Peranti ini dijana bateri sebesar 3,750mAh untuk menguasakan paparan skrin 6.5-inci bertakuk dengan resolusi FHD+ 2340 x 1080 piksel.

Tugas fotografi pula telah diberikan kepada unit dwi kamera utama 20MP + 2MP dan 16MP untuk kamera depan. Terdapat tiga slot disediakan kepada pengguna untuk memasukkan satu kad microSD dan dua SIM nano.

Sementara untuk model Honor 8X Max, sebuah skrin yang besar berukuran 7.12-inci telah dimuatkan bersama. Menariknya, takuk yang dihasilkan ialah lebih kecil berbanding 8X – tiada sensor yang duduk bersebelahan dengan kamera depan 8MP.

Pada bahagian kamera utama, ia menerima sensor yang kurang baik daripada model satu lagi. Hanya diberikan kamera 16MP + 2MP disamping sistem cipset Snapdragon 636 dan memori 4GB RAM. Difahamkan versi 6GB RAM dengan pemproses Snapdragon 660 akan diperkenalkan pada bulan Oktober depan. Dengan menggunakan nama ‘Max’, peranti ini memiliki bateri sebesar 5,000mAh yang boleh dicas pantas.

Harga yang ditawarkan untuk dua model ini ialah bermula CNY1,399 (~RM849) untuk Honor 8X dan CNY1,499 (~RM909) untuk Honor 8X Max. Kita mungkin melihat peranti ini di pasaran Malaysia kelak.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend