honor 7A : Apa Yang Perlu Anda Tahu Tentang Peranti Mampu Milik Ini?! Comments Off on honor 7A : Apa Yang Perlu Anda Tahu Tentang Peranti Mampu Milik Ini?!

honor bukanlah satu jenama yang asing lagi di kalangan peminat peranti Android di Malaysia kerana ia sudah sinonim dengan peranti yang menawarkan sokongan spesifikasi antara yang terbaik di dalam kelasnya, dan dalam masa yang sama dijual pada harga yang lebih mampu milik di pasaran. Jadi bagi membolehkan anda melihat sendiri dengan lebih dekat tentang model terbaru honor 7A, ikuti ulasan daripada kami ini…

SPESIFIKASI

  • EMUI 8.0 (berasaskan Android 8.0 Oreo)

  • Qualcomm MSM8937 Snapdragon 430

  • Tiga slot berasingan (2x nanoSIM + 1x microSD)

  • 16GB + RAM 2GB / 32GB + RAM 3GB

  • microSD sehingga 256GB

  • 5.7 inci HD+ (1440 x 720 piksel), 18:9

  • Kamera utama: 13 Megapiksel (Single LED Flash)

  • Kamera hadapan: 8 Megapiksel (Selfie Toning Light)

  • WiFi 802.11 b/g/n, Bluetooth v4.2, microUSB 2.0

  • 152.4 x 73 x 8.05mm / 150g

  • 3000 mAh (5V1A)

  • Accelerometer, Proximity sensor, Ambient Light sensor, Fingerprint sensor

 

HARGA JUALAN

  • 16GB + RAM 2GB – RM479

  • 32GB + RAM 3GB – RM569

PAKEJ PEMBELIAN

 

FIZIKAL

Paparan skrin 18:9

Mengikuti trend semasa telefon pintar di pasaran, honor 7A menampilkan paparan skrin Honor FullView Display dengan nisbah 18:9 berukuran 5.7 inci HD+ (1440 x 720 piksel). Dari segi warna kejituan warna dan juga tahap keterangan skrin, ia kelihatan memuaskan bagi peranti dalam kelas harga sebegini. Malah ia turut menyokong fungsi Eye Comfort dan juga tetapan Color Mode yang membolehkan pengguna melaras suhu warna paparan.

Kamera hadapan

honor 7A menyokong kamera hadapan beresolusi 8 Megapiksel dengan sokongan aperture f/2.2. Kualiti penggambaran swafoto peranti ini telah dibantu lagi dengan sokongan mod Beauty yang boleh dilaras secara manual. Lebih istimewanya, ia turut didatangkan dengan bantuan pencahayaan lampu LED hadapan yang dikenali sebagai Selfie Toning Light untuk penggambaran di dalam gelap.

Kamera utama

Berbeza dengan varian honor 7A untuk pasaran di sesetengah negara yang menyokong dwi kamera, varian yang diterima untuk pasaran tempatan hanya menawarkan satu kamera sahaja beresolusi 13 Megapiksel. Selain mod Beauty, ia turut menyokong tujuh mod tambahan iaitu HDR, Panorama, All-focus, Filter, Watermark, Document Scan dan juga Good Food.

Sensor pengimbas cap jari

Untuk mengakses peranti ini, anda boleh menggunakan pengimbas cap jari yang tersedia pada bahagian belakang kerangkanya. Sensor ini juga sebenarnya boleh digunakan untuk mengawal peranti menggunakan kaedah sentuhan atau leretan ketika mengambil gambar, menjawab panggilan, mematikan jam penggera, memaparkan panel notifikasi dan banyak lagi.

Face Unlock

Selain keselamatan biometrik menggunakan cap jari, honor 7A juga turut menyokong satu lagi fungsi tambahan iaitu Face Unlock. Ini bermakna anda boleh terus mengakses peranti dengan kaedah pengecaman wajah menggunakan bantuan kamera hadapan.

Kemasan kerangka

Jika dilihat secara fizikalnya, mungkin ramai di antara anda yang menyangka honor 7A tampil dengan kerangka yang diperbuat daripada logam. Namun begitu, untuk pengetahuan anda ia sebenarnya tampil dengan kemasan kerangka yang diperbuat daripada plastik secara keseluruhannya. Tetapi ini tidak bermakna ia kelihatan murah kerana kemasannya dihasilkan dengan baik sekali.

Slot kad

Antara keistimewaan utama honor 7A adalah penyediaan tiga slot kad yang berasingan iaitu dua slot kad SIM bersaiz nano dan juga satu slot kad microSD yang mampu menyokong kapasiti maksimum sehingga 256GB. Malah anda juga bebas untuk menentukan slot kad SIM mana yang akan disambungkan ke rangkaian 4G melalui tetapan yang disediakan.

Speaker

Mungkin ramai di antara yang beranggapan peranti mampu milik sudah tentunya menyokong speaker yang tidak berkualiti sebagaimana peranti flagship. Sebenarnya tanggapan anda itu ternyata salah kerana honor 7A yang menyokong satu speaker berkualiti mono ini menjanjikan bunyi audio yang pada pendapat kami sangat berkualiti dan lantang setanding peranti yang jauh lebih mahal. Sokongan amplifier SMART PA mampu menghasilkan efek bunyi keliling dengan tahap kelantangan sehingga 88 dB.

Bicu audio

honor 7A dilihat masih mengekalkan sokongan bicu audio standar berukuran 3.5mm dan ia ditempatkan pada bahagian atas kerangka. Apa yang agak mengecewakan adalah pakej pembelian tidak didatangkan sekali dengan aksesori fon telinga.

ANTARAMUKA

honor 7A hadir dengan sokongan antaramuka EMUI 8.0 yang berasaskan platform Android 8.0 Oreo. Dengan antaramuka ini anda diberikan pilihan untuk menggunakan gaya homescreen Standard honor ataupun Drawer yang mirip seperti antaramuka Android yang asli.

Viewfinder Kamera Utama

Viewfinder Kamera Hadapan

CIRI ISTIMEWA!

Dual Bluetooth

Sokongan fungsi Dual Bluetooth pada honor 7A membolehkan anda untuk menyambungkan dua aksesori Bluetooth secara serentak pada satu-satu masa. Ini bermakna anda boleh mendengar muzik menggunakan speaker Bluetooth dan dalam masa yang sama menjawab panggilan menggunakan fon telinga tanpa wayar.

Selfie Toning Light

Dengan honor 7A, anda boleh mengambil gambar swafoto dalam apa jua pencahayaan tanpa perlu risaukan hasil gambar yang gelap kerana ia dilengkapi dengan bantuan lampu LED flash yang dikenali sebagai Selfie Toning Light. Malah anda juga boleh melaras tahap keterangan cahaya lampu LED itu secara manual.

PRESTASI BENCHMARK

AnTuTu 7
Geekbench

HASIL GAMBAR

Makro
HDR – penggambaran ini dibuat dalam cuaca yang agak mendung pada waktu pagi.
Swafoto menggunakan kamera hadapan beresolusi 8 Megapiksel.

 

KOMEN TEKNORATZ

Pada pendapat kami, honor 7A bukanlah sebuah peranti yang memfokuskan kepada aspek prestasi tinggi sebaliknya ia dilihat sebagai sebuah peranti yang menawarkan fungsi yang agak lengkap. Tidak dinafikan sekiranya anda merupakan seorang pengguna yang sangat aktif bermain permainan mudah alih dengan grafik tinggi, honor 7A bukanlah pilihan yang terbaik boleh anda miliki di pasaran kerana pemproses Qualcomm Snapdragon 430 berasaskan proses 28nm ini kurang sesuai untuk aktiviti tersebut. Tidak dinafikan juga kami ada berhadapan dengan beberapa isu lag ketika mengoperasikan peranti ini, dan diharapkan isu ini dapat diatasi melalui kemas kini terbaru nanti.

Namun dengan harga jualan bawah RM500 untuk varian 16GB + RAM 2GB, honor 7A boleh dianggap sangat berbaloi untuk dimiliki oleh kebanyakan pengguna yang tidak memerlukan sebuah peranti berprestasi tinggi. Bahkan sokongan fungsi dan ciri istimewa yang tidak terdapat pada peranti lain seperti speaker berkualiti dengan sokongan amplifier SMART PA, Dual Bluetooth dan juga Selfie Toning Light sememangnya menjadi antara faktor menarik yang patut dipertimbangkan.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend